Peranan ibu bapa dalam membentuk kecemerlangan anak-anak.

Ibu bapa merupakan tunjang dan teras keutuhan dalam suatu institusi kekeluargaan. Tanpa mereka, anak-anak ini akan hanyut dalam arus kehidupan yang penuh pancaroba ini. Atas dasar kesedaran inilah, ibu bapa haruslah peka dan lebih prihatin untuk membimbing anak-anak ke arah kecemerlangan dalam kehidupan mereka.

Salah satu peranan dominan ibu bapa ini ialah mendidik anak-anak ini sejak kecil lagi dengan ilmu dan asas kehidupan. Pendekatan didikan agama haruslah ditekankan agar anak-anak ini lebih telus kerohanian yang sangat penting dalam pembinaan sahsiah diri. Sebagai contohnya, keluarlah sedikit wang untuk menghantar anak-anak ini ke kelas agama dan program motivasi yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib. Tegasnya, didikan awal sangat penting demi membentuk kendiri yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diwar-warkan mantan perdana menteri kita.

Selain itu, kita perlu memastikan keperluan anak-anak dari segi batiniah dan jasmani cukup. Dalam mengharungi dunia siber ini, anak-anak perlu mendapat kelengkapan dan keperluan selengkapnya, tidak kira dalam pendidikan mahupun dalam kehidupan seharian. Tamsilnya, buku rujukan dan alatan pembelajaran yang sempurna wajar disediakan kerana kelengkapan tersebut merupakan medium untuk kecemerlangan pelajar. Pastikan anak-anak ini tidak ketinggalan dan menjadi katak di bawah tempurung hanya kerana ibu bapa terlalu kedekut untuk melabur masa hadapan anak-anak ini.

Seterusnya, ibu bapa sendiri perlulah menjadi contoh dan teladan yang cemerlang untuk memastikan anak-anak ini mengikut jejak langkah ibu bapa. Apa tidaknya, bukankan pepatah lama telah tertulis, di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasinya? Lantaran itu, ibu bapa hendaklah menjaga tutur kata, cara pergaulan dan segala kegiatan seharian mereka yang bakal diperhatikan oleh si anak-anak ini kelak. Jangan sampai anak-anak ini enggan mendengar nasihat si ibu bapa sebagai akibat perbuatan mereka laksana ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Konklusinya, asas pendidikan anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, bukannya di sekolah. Didikan ibu bapa sangat perlu kerana anak-anak ini ibarat kain putih, maka ibu-bapalah yang mencoraknya. Dengan ini, kita mampu melahirkan modal insan yang cemerlang demi pembangunan dan kemajuan negara selaras dengan visi satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

About these ads