Peribahasa : Nasi sudah menjadi bubur
Maksud : Perkara yang sudah tidak dapat diubah lagi.
Contoh karangan peribahasa :

Tangisan air mata darah sekalipun tidak mampu mengubah nasib dirinya. Dia hanya merenung kertas putih yang tertulis keputusan pemeriksaan darah yang diterimanya daripada doktor. Kini, sahlah dirinya menghidap penyakit yang masih tiada ubat atau vaksin iaitu penyakit HIV. Dia berasakan dunianya semakin berakhir kerana bukan sahaja dia bakal merana seumur hidup malah dihina oleh masyarakat sekeliling. Saat itulah dia mula terkenang nasihat dan kata-kata ibunya ketika dia alpa menikmati keseronokan pada zaman remajanya.
Ramli merupakan anak tunggal kepada Datuk Salman dan Datin Almah. Sebagai anak emas, dia dimanjakan dengan kemewahan harta benda sehinggakan apa-apa sahaja kehendak buah hatinya ini ditunaikan. Namun, di sebalik kemewahan yang diberikan oleh pasangan berada ini, mereka jarang meluangkan waktu berkualiti bersama Ramli. Akibatnya, Ramli berasa dirinya keseorangan sementelahan tiada adik-beradik untuk berkongsi masalah. Rompong kosong hatinya mula terisi apabila dia mula merapati teman-teman sebayanya. Ramli berasakan bahawa hanya rakan-rakannya sahajalah tempat dia bergembira dan mengubat kesepian hidupnya.
Walau bagaimanapun, rakan-rakan yang digauli oleh Ramli tergolong dalam kategori pelajar yang bermasalah. Bermula dengan ponteng sekolah, Ramli berjinak-jinak dengan rokok setelah dipelawa oleh rakan-rakannya. Dia terpengaruh dengan gejala negatif yang dibawa oleh kawan-kawannya. Lebih-lebih lagi, dia disenangi kumpulan rakannya kerana kemewahan dan wang ringgit yang ada pada Ramli. Tidak cukup dengan itu, dia terdorong pula ke arah kancah najis dadah. Biarpun pada mulanya dia enggan, atas desakan dan cabaran daripada teman-temannya, dia mengambil pil khayal. Lama-lama, dia mula gian akan nikmat sementara yang dialaminya ketika mengambil pil tersebut.
Kegiatan ponteng sekolahnya dihidu oleh pihak sekolah. Telah beberapa kali dia diberkas oleh pihak polis kerana ponteng, namun Ramli enggan insaf. Hampir-hampir dia hendak dibuang sekolah, tetapi pengaruh ibu bapa Ramli sebagai orang kenamaan menyebabkan dia sering terlepas dengan hukuman berat itu. Ibu bapanya cuba untuk menasihatkannya tetapi sudah pun terlambat. Hati Ramli bagai tertutup untuk menerima nasihat dan panduan daripada orang tuanya yang telah membesarkan Ramli dengan penuh kasih sayang. Bagi Ramli, nasihat yang diberikan umpama leteran yang tidak membawa sebarang erti. Pernah sekali ibunya menangis kerana Ramli mengherdiknya apabila dinasihati.
Semakin hari semakin teruk perangai Ramli di rumah. Dia sering pulang lewat kerana berpelesiran dengan rakan-rakannya. Kadangkala, dia tidak pulang langsung dengan alasan tinggal di rumah temannya. Dia mula mengambil dadah jenis ganja setelah muak dengan pil-pil khayal. Ternyata, penagihannya menjadi lebih kronik disebabkan pengambilan secara berlebihan. Sebagai akibatnya, ibu bapanya menghalaunya keluar dari rumah kerana tidak tahan akan sikap dan kegiatan Ramli. Sikap degilnya tetap tidak berubah, malah meneruskan lagi gejala yang tidak bermoral itu. Kehidupannya mula terhimpit kerana tidak mempunyai tempat bergantung lagi.
Dia mula mencuri untuk mendapat wang bagi menampung keperluan dadahnya. Malang sekali, dia diberkas oleh pihak polis lalu dihantar ke pusat serenti. Di sana, dia telah diperiksa secara rapi dan teliti oleh pakar perubatan. Dia disahkan menghidap HIV positif pada peringkat pertengahan. Nasi sudah menjadi bubur, segalanya sudah berlaku dan tidak dapat diubah lagi. Ramli mula mendekati dirinya dengan agama dan sentiasa berharap agar dia diampuni oleh Tuhan yang Maha Esa.

About these ads