Kertas 2 – Menulis karangan

Pendahuluan

Garis pandu serta perkara-perkara yang dibincangkan di bawah ini lahir daripada penelitian yang dibuat terhadap kesilapan-kesilapan serta kekurangan-kekurangan yang lazimnya terdapat dalam penulisan karangan para pelajar baik ketika membuat latihan di kelas mahupun ketika menjawab soalan peperiksaan. Saya akan membincangkan perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian dalam penulisan karangan, kesilapan-kesilapan yang lazimnya dilakukan pelajar ketika menulis karangan dan panduan-panduan yang saya rasa dapat membantu para pelajar memperbaiki kemahiran mereka dalam bidang ini.

Kelemahan-kelemahan serta kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam karangan yang berbentuk faktual dan perbincangan agak berbeza dengan yang selalunya didapati dalam karangan yang berbentuk naratif atau cerita. Dalam perbincangan ini, adakalanya saya berikan tumpuan khusus kepada kelemahan-kelemahan atau kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam karangan-karangan yang berbeza itu.

A)  Sebelum Menulis

1) Pemilihan tajuk/soalan :

Tugas penting yang perlu dilakukan pelajar sebelum menulis sesebuah karangan ialah membuat pemilihan topik atau soalan yang sesuai dengan kebolehan serta kemahiran bahasanya. Perkara-perkara yang perlu diberi tumpuan sebelum membuat pemilihan ialah :

a)                  isi-isi serta contoh-contoh yang dapat difikirkan pada waktu pelajar sedang membuat pemilihan. Jika pelajar dapat memikirkan lebih banyak isi serta contoh-contoh untuk sesuatu soalan, maka itu merupakan indikasi yang paling baik bahawa pelajar seharusnya memilih soalan itu.

b)                  Rekomendasi guru – berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan para pelajar sewaktu menulis karangan di sekolah, guru dapat memberikan panduan mengenai bentuk karangan yang lebih sesuai dijawab oleh mereka. Ada pelajar yang lebih mahir menangani karangan yang berbentuk perbincangan atau faktual manakala yang lain pula lebih berkebolehan menulis karangan yang berbentuk naratif atau cerita. Kelebihan dan kelemahan ini ada pada setiap orang. Dari itu, para pelajar harus tahu di mana letaknya kelebihan serta kelemahan mereka.

2) Perancangan :

Sesudah membuat pemilihan tajuk, maka pelajar seterusnya harus membuat perancangan. Ramai pelajar yang tidak merancang karangan yang ingin mereka tulis. Semua “perancangan” yang dibuat dibiarkan sahaja di minda. Akibatnya, pelajar mengalami masalah terlupa isi yang hendak ditulis atau terpengaruh dengan arus pemikiran pada waktu dia sedang menulis itu. Akibatnya, isi yang ditulis selalunya bukan sahaja berbeza daripada rancangan asal yang telah dibuat malah kadangkala pendekatan yang telah dipilih juga berubah. Jika ini berlaku, ia boleh menjejas prestasi karangan yang ditulis kerana pelajar mudah bingung dan kadangkala keliru sendiri. Panduan di bawah ini dapat menolong pelajar mengelakkan berlakunya masalah di atas:

  • Pertama kita harus menganalisa soalan yang diberi untuk mengetahui apakah yang sebenarnya dikehendaki oleh soalan itu.
  • Seterusnya, tuliskan isi-isi yang terfikir mengenai topik yang diberi dalam bentuk nota. Fikirkan sekali contoh-contoh yang boleh menguatkan isi-isi itu.
  • Susun isi-isi tadi mengikut urutan kronologi atau golongan / sub-tajuk (contoh: baik / buruk) yang ingin disampaikan.
  • Kemudian, ketepikan isi-isi yang kurang relevan.
  • Perancangan yang telah dibuat ini jangan dibuang. Jika ditakdirkan pelajar kekurangan masa untuk menamatkan karangan dengan sempurna, bolehlah disertakan kertas perancangan ini bersama kertas jawapan. Para pemarkah akan mengambil kira nota perancangan ini dalam penilaian mereka.

{Dalam lampiran satu, ada disertakan beberapa soalan karangan PMR ‘November 1997 serta contoh perancangan isi cadangan yang boleh digunakan pelajar sebagai latihan untuk meningkatkan kemahiran ini.}

B)   Ketika Menulis

Perkara yang harus diberi perhatian semasa menulis ialah cara penyampaian isi yang telahpun pelajar fikirkan dan susun dalam bentuk nota. Ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian di sini:

a)         Susunan / Penyampaian isi :

i)          Setiap karangan yang ditulis perlulah mengikut pendekatan lazim yang diambil oleh setiap pengarang, iaitu ia didahulukan dengan pembukaan / pendahuluan, kemudian diikuti dengan isi / pendapat dan berakhir dengan penutup atau kesimpulan. Karangan yang baik haruslah mengandungi setiap komponen ini yang diberikan variasi yang wajar dengan tajuk yang diberi. Pembukaan yang samar-samar atau penutup yang mendadak akan memincangkan karangan yang ditulis.

Biarpun demikian, janganlah pula pelajar memberikan tumpuan yang terlalu panjang kepada pembukaan sesuatu karangan sehingga isi yang sepatutnya diberikan lebih penelitian tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

ii)                  Pelajar perlu tahu cara penyampaian isi karangan yang berbentuk baik/buruk atau masalah/huraian yang baik. Pendekatan yang boleh diambil luas, namun, pelajar harus pastikan bahawa susunan isi yang dibuat adalah sistematik dan tidak mengelirukan.

Sebagai contoh, pelajar bolehlah menerangkan isi-isi yang menunjukkan kebaikan dahulu sebelum menerangkan isi-isi yang menunjukkan keburukan dalam menjawab karangan yang berbentuk baik/buruk. Dalam karangan masalah/huraian pula, bolehlah pelajar mengutarakan sesuatu masalah diikuti dengan huraiannya sebelum membincangkan masalah yang seterusnya.

iii)        Isi yang telah disusun rapi perlu pula disampaikan dengan cara yang meyakinkan. Ia harus disertakan dengan contoh-contoh yang relevan untuk menguatkan serta menyokong pendapat / isi yang diketengahkan. Terdapat dua perkara yang harus pelajar elakkan iaitu (1) hanya memberi pendapat atau isi dan terus berpindah kepada isi yang seterusnya, tanpa menjelaskan dengan terang apa yang dimaksudkan dengan isi yang sebelumnya dan (2) penggunaan statistik yang direka sendiri dan ketulenannya tidak mampu dibuktikan. Ini boleh menjejas nilai karangan yang ditulis sebagai sebuah karangan yang cetek.

b)         Laras bahasa yang digunakan dalam penyampaian isi

Ramai pelajar yang ghairah ketika menulis karangan, lebih-lebih lagi dalam peperiksaan dan apabila topik yang ‘keluar’ merupakan sesuatu yang mereka anggap menarik atau mudah. Bukan sahaja mereka tidak merancang isi-isi yang ingin dimuatkan, malah format serta laras bahasa yang sesuai juga tidak diberikan perhatian.

Para pelajar perlu menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan bentuk karangan yang dipilih. Misalnya, mereka harus elakkan daripada menggunakan gaya bahasa naratif ketika menjawab karangan berbentuk perbincangan atau  faktual, (begitu juga ketika menulis surat kiriman rasmi). Penggunaan laras bahasa lisan perlu dielakkan sama sekali, biarpun dalam penggunaan dialog. Cuba rujuk kepada contoh karangan di bawah ini:

“Majalah hiburan banyak membawa kesan negatif kepada para remaja. Beri pendapat kamu.”

Aku dan teman-teman remajaku yang lain selalu bertemu di restoran makanan segera Mac Donald’s sebelum kami menuju ke kedai buku The Popular Bookshop untuk mendapatkan majalah-majalah hiburan terkini yang kami gemari. Kami selalu berpakaian berjenama dan menggunakan bahan-bahan dandanan yang popular seperti yang selalunya diiklankan dalam majalah-majalah hiburan yang kami beli. Maznilah yang paling berani di antara kami. Dia akan berpakaian seperti artis-artis popular yang dipamerkan dalam majalah-majalah yang kami baca, pakaian-pakaian yang ketat dan memberahikan.

Cara hidup kami juga agak berbeza dengan remaja-remaja lain. Kami suka membaca ruangan gosip yang selalunya dimuatkan dalam majalah-majalah hiburan itu dan selalunya, cara hidup artis-artis popular yang kami sanjungi akan dibincangkan. Kami gemar meniru cara hidup mereka, saja kerana suka-suka dan untuk mendapatkan keseronokan. Kelab-kelab malam serta disko kami kunjungi kerana di situlah kami dapat merasakan nikmat yang sebenar seperti yang digambarkan dalam majalah-majalah hiburan yang kami baca.

Atas desakan teman-teman yang kami kenali semasa di disko dan kelab-kelab malam itu, kami bukan sahaja pernah merokok, malah mencuba pil ecstasy. Seronok juga rasanya. Namun, kami telah tertangkap pada suatu malam apabila disko yang kami kunjungi diperiksa polis. Aku dimasukkan ke rumah tumpangan budak-budak perempuan nakal manakala teman-temanku yang lain menghadapi nasib yang seburuk aku.

Aku setuju dengan topik di atas, bahawa majalah hiburan banyak membawa kesan negatif terhadap para remaja. Lihatlah apa yang telah berlaku kepada diriku serta rakan-rakanku. Akibat terlalu dipengaruhi oleh bahan-bahan bacaan yang terdapat dalam majalah hiburan yang aku gemari, aku kini terpaksa merempat di rumah kebajikan.

**  Karangan di atas sebenarnya penuh dengan isi yang relevan untuk menjawab soalan yang diberi. Penulis ingin menjadikan dirinya serta rakan-rakan sebayanya sebagai bukti bahawa tajuk yang diberi sangat disetujuinya.

Dalam perenggan yang pertama, penulis ingin menyampaikan bahawa remaja yang gemar membaca majalah hiburan boleh terpengaruh dengan fesyen pakaian atau bahan-bahan dandanan serta barang-barangan berjenama yang selalunya dipamerkan ataupun diiklankan dalam majalah-majalah tersebut. Adakalanya, fesyen pakaian itu terlalu mendedahkan aurat dan amat memberahikan.

Perenggan kedua pula ingin menunjukkan bahawa bahan-bahan bacaan yang dimuatkan dalam majalah hiburan juga selalunya mengisahkan gaya hidup artis-artis popular yang jauh berbeza dengan  cara hidup orang timur dan jika terpengaruh, remaja yang terlalu banyak membacanya mudah terikut-ikut dengan gaya hidup sedemikian. Perenggan ketiga pula cuba membutktikan bahawa tempat-tempat hiburan yang selalunya diberikan tumpuan  dalam majalah-majalah hiburan boleh menimbulkan masalah kepada remaja yang terbawa-bawa mahu mengunjunginya.

Perenggan keempat merupakan rumusan bahawa apa yang telah dibincangkan dalam perenggan I-3 membuktikan pendapatnya yang menyetujui pendapat seperti yang tertera dalam soalan.

Namun, cara penyampaiannya serta laras bahasa yang digunakan adalah tidak sesuai untuk menjawab soalan karangan yang berbentuk perbincangan ini. Ini tentunya akan menjejas markah yang akan diberikan untuk karangan yang ditulis bukan sahaja dari segi bahasa, malah juga isi kerana gaya bahasa yang digunakan tidak dapat menyampaikan isi dengan cara yang jelas dan teratur.

C)  Sesudah Menulis

Terdapat ramai pelajar yang tidak memeriksa semula karangan yang telah mereka tulis. Ini dilakukan kerana mungkin pelajar itu malas atau tidak tahu apa yang harus diperiksa semula. Di bawah ini ada beberapa panduan yang boleh dipraktikkan:

  • Beri tumpuan kepada kesilapan bahasa seperti :
  1. 1. penggunaan dua kata hubung :

“Kita tahu yang bahawa Kamal telah…”

  1. 2. penggunaan kata ganti yang tidak sesuai :

-          menggunakan ‘dia’ untuk “ayah atau ibu atau orang-orang yang lebih tua atau berpangkat”.

-          menggunakan ‘saya’ dan ‘aku’ secara tidak konsisten

  1. 3. penggunaan tanda baca : noktah, koma, …
  1. 4. penggunaan frasa-frasa yang diulang-ulang :

-          “Di dalam surat ini, saya akan menerangkannya seberapa yang mampu dalam lembaran ini.”

-          “Pantang larang seterusnya ialah jangan makan bertatang kerana jika makan bertatang akan banyak berhutang daripada orang.”

  1. 5. penggunaan kata ganda / majmuk yang tidak sesuai :

-     ramai pelajar-pelajar, para-para remaja, rakyat-rakyat, semua orang-orang,

  1. 6. penggunaan ‘ku’ yang sewenang-wenangnya :

-          “… Ku mula tidak menghadiri sekolah kerana tiada minat lagi. Setiap hari ku keluar memberitahu ibuku pergi belajar dengan sahabatku tetapi sebaliknya ku ke taman bersama kawan-kawanku yang lain….”

  1. 7. penterjemahan langsung dari bahasa Inggeris :

-                         “ …hendak membuat dagu orang terjatuh melihat mereka memakai barang berjenama dari hujung rambut ke hujung kaki”

-                   “ … saya tidak boleh percaya telinga saya…”

-                         “… apabila saya melihat surat beranak tersebut, dua biji mata saya hampir-hampir terkeluar…”

-                   “…  aku terjatuh lalu seorang tua memberikan tangannya…”

  1. 8. penggunaan perkataan / atau bentuk perkataan yang tidak sesuai :

-                         “… lama-lama kemudian kata-kata ibu tidak memperketatkan perangai saya…”

-          “… seorang jurutera mesti ada siswazah, bukan?”

-                         “… kawan saya telah membaca gambar yang diambil semasa cuti sekolah…”

-          “…  ibuku mencicirkan airmata sehari semalam …”

-          “…  aku meneran cuba mengingat di mana aku pernah …”

-           “…  aku berjumpa dengan surat khabar yang dibuang orang…”

-                         “… guru-guru juga harus ikut sama dan membawa buah-buah mereka ke sekolah. Beberapa minit sebelum waktu rehat, para pelajar akan diberi peluang untuk menukar buah-buah mereka bersama rakan-rakan mereka…”

  1. 9. kesilapan ejaan terutama sekali perkataan-perkataan yang berimbuhan:

-     Ramai pelajar yang masih keliru akan ejaan perkataan yang berakhir dengan huruf  ‘k’ seperti ‘banyak’, ‘layak’, ‘retak’  apabila diberikan imbuhan akhiran ‘an’, biarpun setelah diajar bahawa garis pandu yang perlu dilihat bergantung kepada  imbuhan yang akan menjadikan perkataan itu kata benda bentukan ataupun kata kerja. Untuk memudahkan pemahaman pelajar, maka bolehlah pelajar rujuk kepada nota di bawah ini sebagai panduan kasar:

Jika perkataan bermula dengan imbuhan ‘per’ atau ‘ke’ – maka perkataan dieja dengan satu ‘k’.  (misalnya;  pertunjukan, perletakan, kelayakan, kemasukan, kebanyakan)

Jika perkataan bermula dengan imbuhan ‘me’, ‘meng’, ‘menge’ dsbnya dan ‘di…’, maka perkataan itu dieja dengan dua ‘k’. (misalnya; … kita haruslah membanyakkan amalan berzikir…, …meretakkan persahabatan …, …melayakkan diri ke pusingan…, dia dimasukkan ke penjara…,  … diletakkan …, … dirosakkan..)

-     Satu lagi kekeliruan ialah ejaan perkataan yang diberi imbuhan ‘di’, sama ada ia perlu disambung atau diasingkan daripada kata dasarnya. Garis pandunya ialah:

Jika perkataan itu merupakan kata kerja, maka ia disambung. Misalnya ‘digigit’, ‘disambut’, ‘digemari’ dan sebagainya.

Jika perkataan itu menerangkan tempat atau masa, maka ia dijauhkan. Misalnya ‘di sekolah’, ‘di rumah’, ‘di perhentian bas’ , ‘di waktu aku sedang’, ‘di saat itu’.

  • Beri tumpuan kepada isi-isi yang tertinggal :

Jika terdapat isi-isi yang tertinggal, para pelajar harus tahu teknik menyisip isi yang tertinggal itu dengan sistematik. Jangan disalin semula karangan yang telah ditulis hanya kerana takut karangan itu comot atau tidak bersih. Masa yang ada boleh dimanfaatkan untuk keperluan lain. Gunakan tanda bintang (*) dan sebagainya untuk memandu pemarkah merujuk kepada isi-isi yang tertinggal itu.

D)    Kelemahan-kelemahan umum dalam penulisan karangan :
  • Ketika menulis karangan, ramai pelajar gagal merujuk kepada soalan. Mereka hanya membaca topik yang diberi sekali sahaja, membuat kesimpulan dan terus menjawab. Adakalanya, tafsiran mereka salah atau mereka terkeluar daripada landasan yang seharusnya mereka ikuti. Inilah yang menyebabkan berlakunya penyelewengan dalam penulisan mereka. Dari itu, para pelajar harus sentiasa merujuk kepada topik yang diberi sepanjang mereka menulis untuk memastikan isi-isi serta ayat-ayat yang digubah untuk menyampaikan isi-isi itu sesuai dengan kehendak soalan.
  • Satu lagi kelemahan yang terdapat dalam penulisan karangan pelajar (terutama sekali ketika menjawab karangan berbentuk faktual atau perbincangan) ialah penggunaan ayat-ayat yang terlalu umum dan kebenarannya boleh dipertikaikan. Sebagai contoh, lihat ayat-ayat di bawah ini:

1. “Semua remaja hari ini gemar membaca majalah hiburan.”

2. “Remaja yang gemar membeli barangan yang berjenama adalah  remaja yang nakal dan menganggotai kumpulan samseng remaja.”

Pendekatan yang sedemikian akan memberikan gambaran kepada pemarkah bahawa pelajar tidak berfikir panjang ketika menulis, belum matang fikiran dan kurang teliti menggunakan perkataan. Ini akan menjejas nilai karangan tadi dari segi pemarkahan impresionistik.

  • Berikutan dengan kelemahan ini ialah teknik pemerengganan yang lemah dan kurang tepat. Masih ramai pelajar yang memulakan perenggan yang baru secara sewenang-wenangnya, adakalanya mengikut bilangan ayat yang telah ditulis atau apabila mereka rasa sudah cukup panjangnya sesuatu perenggan itu. Lazimnya, perenggan yang baru dimulakan jika berlaku:
  1. peralihan dari satu isi kepada satu isi yang baru
  2. perubahan kepada situasi yang dibincangkan
  3. perubahan kepada pendekatan (baik  ‘lawan’   buruk)

4.   dialog antara dua atau lebih orang – setiap dialog yang berbeza penuturnya dimulakan dengan perenggan yang baru

E)    Perkara-perkara yang perlu dielakkan:

Mengira bilangan perkataan :

Satu tabiat yang diamalkan pelajar ketika menulis karangan yang bukan sahaja membuang masa malah kadangkala menjejas mutu karangan yang ditulis ialah kebiasaan mengira bilangan perkataan semasa mereka menulis. Kadangkala berlaku kegenjutan pada kelancaran isi yang disampaikan hanya kerana bilangan perkataan yang telah ditulis sudah mencapai bilangan minimum yang dikehendaki soalan. Apabila ini berlaku, pelajar tadi akan cuba mengakhiri karangannya seberapa ringkas yang boleh, biarpun masih terdapat isi-isi penting yang belum diterangkan. Dengan lain kata, ‘obsesi’ ini menguasai perkembangan isi karangan yang ditulis, bukan perancangan yang rapi yang seharusnya telah dilakukan pada permulaan proses penulisan karangan.

Untuk pengetahuan umum, bilangan perkataan yang diberikan dalam arahan pada permulaan soalan adalah panduan sahaja. Pemarkah tidak akan membuang masa mengira setiap perkataan yang ditulis oleh pelajar. Ini bukan soalan rumusan (summary writing!) Dari itu, pelajar haruslah membuang tabiat yang tidak mendatangkan faedah ini.

Garis pandu yang boleh diambil untuk menentukan panjangnya karangan yang boleh dikatakan telah memenuhi kehendak soalan ialah 1 ½  – 2 muka surat kalau pelajar menulis dengan tidak menglatkan garisan ataupun 3 – 4 muka surat kalau dilat (tidak kira sama ada tulisan pelajar besar atau kecil). Adalah penting juga para pelajar tidak menulis dengan  tulisan yang terlalu kecil. Ini akan menyusahkan para pemarkah yang memeriksa karangan. Pelajar yang mempunyai tulisan yang telah ditegur guru sebagai susah dibaca haruslah berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki tulisan mereka.

Menjawab karangan Naratif / Cerita tanpa persediaan yang betul:

Rata-rata, ramai pelajar gemar menjawab soalan karangan yang berbentuk cerita atau naratif. Pada sangkaan mereka, soalan bentuk ini lebih mudah, tidak perlu banyak memikirkan tentang isi yang perlu ditulis dan risiko karangan yang ditulis menyeleweng daripada kehendak soalan amat tipis. Laras bahasa yang diperlukan juga mudah kerana ia sama seperti yang digunakan dalam buku-buku cerita serta majalah-majalah yang mereka gemari.

Pendapat sedemikian boleh membawa padah, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan pelajar menjurus kepada sikap sambil lewa dan kurang berhati-hati. Sebenarnya, soalan yang berbentuk sedemikian memerlukan perancangan yang rapi juga. Adakalanya, kehendak soalan ini lebih susah daripada soalan karangan yang berbentuk faktual atau perbincangan. Cuba kita lihat contoh di bawah ini.

Pelajar dikehendaki menulis karangan yang berakhir dengan :

“Begitulah nasib yang menimpa dirinya. Perasaan tamak dan dengkinya itu akhirnya memakan dirinya sendiri.”

Perkataan-perkataan yang condong dan digelapkan merupakan penentu batasan serta tema yang perlu ada dalam cerita yang harus dikarang. Jika cerita yang disampaikan gagal menimbulkan perkara-perkara yang telahpun ditentukan dalam soalan, maka pelajar boleh dianggap sebagai telah menyeleweng atau tidak dapat menjawab soalan seperti yang dikehendaki.

Cerita yang diharapkan dapat dikarang pelajar harus berkisar kepada seseorang yang mempunyai sifat-sifat tamak dan dengki. Sifat-sifat ini pula merupakan kelemahannya yang akhirnya menyebabkan dirinya menderita.

Namun, ramai pelajar yang hanya menyentuh tentang sifat tamak watak utama sahaja. Sifat dengkinya hanya disebut tetapi tidak diberi penekanan yang sewajarnya. Ada pula yang tersilap tafsir dan menerangkan bagaimana sifat tamak dan dengki watak utama membawa padah kepada keluarganya atau orang-orang yang disayanginya, bukan terhadap watak utama itu sendiri. Ini adalah contoh-contoh yang menunjukkan kesilapan-kesilapan besar yang mungkin dilakukan oleh pelajar yang menjawab soalan-soalan berbentuk cerita atau naratif.

Seterusnya, ada juga pelajar yang tidak mempunyai penguasaan bahasa yang baik, kurang membaca dan kurang pengetahuan mengenai ciri-ciri penulisan cerpen yang baik yang juga ingin menjawab soalan yang berbentuk sedemikian. Hasil karangan yang ditulis sudah tentu akan mengandungi kekurangan-kekurangan dari segi isi, gaya dan bahasa.

Pelajar perlu tahu bahawa karangan berbentuk cerita ini mempunyai ciri-cirinya tersendiri. Ia memerlukan:

  • plot yang dirancang dan disusun rapi, menarik,unik dan asli/original, dan tidak membosankan
  • pengenalan watak-watak utama secara teratur; tidak mendadak dan tidak mengelirukan,
  • masalah atau saspens (climax) dan berakhir dengan suatu penyelesaian (anti-climax) yang menarik dan bukan sekadar mengambil jalan keluar yang mudah sahaja. Sebagai contoh, plot yang baik serta saspens yang menarik akan hancur jika pelajar mengakhiri ceritanya dengan mengatakan bahawa watak utamanya hanya bermimpi. Cerita yang berkesudahan dengan mimpi merupakan jalan mudah yang diambil pelajar setelah dia sendiri keliru dengan urutan cerita yang ingin disampaikan atau dia sudah kebuntuan idea.

Selain keperluan mekanis yang dibincangkan di atas, laras bahasa yang sesuai, bebas dari penggunaan bahasa lisan serta teknik pemerengganan yang baik juga amat diperlukan dalam penulisan karangan yang berbentuk cerita atau naratif agar cerita yang disampaikan bukan sahaja lancar, malah menarik dan berkesan.

Antara kelemahan-kelemahan bahasa yang terdapat dalam karangan berbentuk cerita yang ditulis pelajar selain yang telah dibincangkan sebelum ini ialah:

  • kelemahan dalam kemahiran tanda baca, lebih-lebih lagi ketika mereka menggunakan dialog dalam karangan itu
  • penggunaan bahasa lisan yang keterlaluan dan tidak sesuai (biarpun dalam bentuk dialog atau tukilan)
  • penggunaan bahasa yang berbunga-bunga untuk menerangkan keadaan sekeliling atau (setting) yang tidak terkawal sehingga hilang tumpuan terhadap isi yang seharusnya diberikan penekanan.

Dari itu, para pelajar haruslah berhati-hati ketika membuat pilihan bentuk karangan yang ingin mereka tulis. Ia harus sesuai dengan kebolehan serta penguasaan bahasa Melayu mereka. Mereka bolehlah merujuk kepada guru darjah yang telah banyak memarkah karangan yang mereka tulis di sekolah untuk memberikan nasihat yang wajar mengenai perkara ini.

F)     Kriteria Pemarkahan

Selain perkara-perkara yang telah dibincangkan di atas, pelajar juga harus sedar bahawa antara kriteria atau ciri-ciri yang diambil kira ketika pemarkah memberi markah kepada sesebuah karangan ialah penguasaan kosa kata serta keberanian pelajar mempelbagaikan teknik persembahannya, serta kebolehannya menggunakan perkataan-perkataan yang jitu untuk menerangkan sesuatu keadaan atau perkara dengan jelas. Ini termasuklah penggunaan perkataan-perkataan yang tidak lazim digunakan, simpulan bahasa serta peribahasa. Kriteria-kriteria ini akan mendedahkan kepada para pemarkah sama ada pelajar telahpun mencapai penguasaan bahasa seperti yang diharapkan ada pada seorang pelajar peringkat PMR atau belum.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah, menulis karangan yang tidak mengandungi kesilapan bahasa sekalipun tidak akan menjamin markah yang tinggi jika tahap bahasa yang digunakan tidak sesuai dengan tahap penguasaan bahasa seperti yang diharapkan ada pada seorang pelajar menengah 4 ekspres atau 5 normal. Pelajar perlulah menggunakan ayat-ayat yang bervariasi, ayat-ayat majmuk yang diselang-selikan dengan ayat-ayat tunggal, menggunakan simpulan bahasa atau peribahasa yang sesuai dan perkataan-perkataan yang tepat dan dapat menyampaikan makna dengan khusus dan jelas.

Penutup

Diharapkan, perbincangan yang dilakukan mengenai ciri-ciri penulisan karangan dan kelemahan-kelemahan lazim yang dikupas serta panduan-panduan yang diberi dapat membantu  para pelajar membaiki mutu karangan yang mereka tulis. Saya akan cuba mengumpul lebih banyak lagi nota serta contoh-contoh yang relevan untuk disertakan dalam nota ini di masa hadapan. Saya berharap guru-guru yang menggunakan nota ini dapat memberikan komen yang membina atau menyertakan perkara-perkara (nota-nota yang mereka simpan) mengenai topik perbincangan ini agar usaha membantu para pelajar memperbaiki kemahiran penulisan karangan mereka dapat diteruskan dan ditingkatkan.

Lampiran 1

Contoh membuat perancangan karangan.

Karangan fakta :  PMR  November 1997

Soalan 1 :       Langkah-langkah yang boleh diambil oleh pihak sekolah untuk menggalakkan para pelajar memakan makanan berkhasiat.

Soalan memerlukan calon memberikan LANGKAH-LANGKAH yang boleh diambil PIHAK SEKOLAH untuk MENGGALAKKAN para pelajar memakan MAKANAN BERKHASIAT.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian:

  1. Isi yang diharapkan harus merangkumi langkah-langkah yang luas, bukan tertumpu kepada satu sudut sahaja, misalnya, kantin sekolah.
  2. Langkah-langkah itu harus diambil oleh pihak sekolah, bukan pemerintah atau badan-badan pemerintah seperti klinik, balai rakyat dan sebagainya.
  3. Langkah-langkah itu haruslah yang berupa ‘menggalakkan’, bukan ‘memaksa’
  4. Karangan tidak tertumpu kepada penerangan apa itu makanan berkhasiat, definisinya serta sebab-sebab seseorang harus makan makanan seperti itu.

Isi-isi yang boleh disertakan :

a)                  melalui pendidikan – memberitahu para pelajar mengenai kebaikan memakan makanan berkhasiat dan keburukan mengabaikannya. Ini boleh dilakukan secara formal menerusi pelajaran kurikulum, misalnya dalam mata pelajaran sains atau ekonomi rumahtangga

b)                  mengadakan kempen / ceramah / peraduan  – mengenai makanan berkhasiat – dengan tujuan mendedahkan para pelajar tentang ciri-ciri makanan yang berkhasiat dan kebaikannya kepada kesihatan dan proses ketumbuhan seseorang – cara ini boleh membantu meningkatkan kesedaran mereka terhadap perlu memakan makanan berkhasiat

c)                  mengawal makanan yang dijual di kantin sekolah – pihak sekolah memastikan penjaja di kantin sekolah menjual makanan berkhasiat misalnya, buah-buahan, lauk bersayur, masakan yang tidak menggunakan terlalu banyak garam atau MSG atau terlalu berminyak

d)                 bekerjasama dengan ibu bapa pelajar-pelajar – pihak sekolah menggalakkan dan lebih baik lagi memastikan ibu para pelajar menyediakan makanan berkhasiat di rumah – para pelajar pula boleh digalakkan membawa bekal dari rumah yang telah disediakan oleh ibu bapa mereka

Soalan 2 :       Hidup sebagai seorang remaja sememangnya penuh bererti. Terangkan pengalaman pahit manis yang tidak dapat kamu lupakan.

Soalan memerlukan calon menerangkan pengalaman pahit manis yang pernah mereka alami sebagai seorang  remaja yang menjadikan hidup mereka penuh bererti (memberikan kesan yang positif / satu pengajaran) kepada mereka.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian :

Calon boleh menerangkan satu sahaja pengalaman pahit dan satu pengalaman manis ATAU mereka boleh menerangkan lebih daripada satu. Apa yang penting ialah mereka harus dapat mengaitkan pengalaman-pengalaman itu dengan ayat pertama, iaitu, dengan melalui pengalaman-pengalaman itu, mereka memperolehi pengajaran / menjadikan mereka lebih matang dan sebagainya.

Calon yang hanya menerangkan atau menceritakan satu pengalaman yang pahit atau manis yang tidak dapat mereka lupakan sahaja dan tidak mengaitkannya dengan kehidupan mereka sebagai seorang remaja yang menjadikannya penuh bererti boleh dikatakan tidak menepati kehendak soalan.

Isi yang diharapkan haruslah dapat memberikan gambaran yang mencakup kehidupan remaja secara keseluruhannya (bukan sebagai seorang anak kecil ataupun seorang dewasa).

**                    Isi contoh tidak diberikan kerana pengalaman seseorang berbeza-beza, tidak ada yang sama. Ia unik kepada individu itu sendiri. Maka untuk memberikan contoh di sini hanya akan menghalang kreativiti penulis.

Soalan 3 :       Tabiat membeli barangan berjenama di kalangan belia boleh menimbulkan kesan-kesan buruk. Bincangkan.

Soalan memerlukan calon membincangkan kesan-kesan buruk yang mungkin timbul akibat belia yang mempunyai tabiat membeli barangan berjenama.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian:

Kesan-kesan buruk yang mungkin timbul tidak hanya tertumpu kepada para belia itu sendiri, malah haruslah merangkumi kesan terhadap masyarakat umum, negara, ekonomi dan sebagainya.

Isi-isi yang boleh disertakan:

a)                  kesan terhadap individu:

i)                    membawa kepada sifat pembaziran, materialistik, sombong, megah diri, bongkak, sifat meninggi diri dan membeza-bezakan antara yang kaya dengan yang miskin

ii)                  prioriti hidup salah – tumpuan hanya kepada barang-barang itu dan cara-cara untuk mendapatkannya – sanggup bekerja bukan untuk membantu keluarga tetapi untuk kepentingan sendiri – lalai akan tanggungjawab terhadap pelajaran

iii)                sanggup mencuri – merosakkan masa depan individu serta meningkatkan kadar jenayah negara

b)                  kesan terhadap keluarga:

i)                    ibu bapa / keluarga terpaksa melayan kehendak anak-anak  – boleh mengakibatkan keperluan seharian terjejas

ii)                  jika tidak dilayani kehendak mereka – pergaduhan, lari dari rumah, biadap  – menjejas keutuhan / keharmonian rumahtangga

c)                  kesan terhadap negara:

i)                    generasi penerus yang mementingkan diri sendiri, yang tidak dapat menghargai kelemahan masyarakat kerana dari dulu lagi hanya memberi perhatian kepada yang ‘bertaraf tinggi’

ii)                  melahirkan generasi yang bukan sahaja materialistik dan mementingkan diri sendiri, malah tidak produktif – prioriti tidak tertumpu kepada meningkatkan produktiviti dan kemahiran sebagai pekerja tetapi kepada kepentingan diri sendiri

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 47 other followers