Dalam melangkah ke era globalisasi ini, semakin banyak perkara yang kurang enak didengar disiarkan melalui media elektronik kini. Tidak kurang juga dengan kes-kes buli yang sering menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar seolah-olah menjadi santapan harian kita. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi kewujudannya kerana banyak berita yang melaporkan kekerapan kes buli berlaku di sekolah-sekolah itu. Oleh itu, janganlah kita semua hanya menutup sebelah mata dengan tidak mengambil endah akan fenomena yang kian meruntuhkan akhlak remaja hari ke hari.

Terdapat pelbagai faktor yang mengakibatkan kes buli berlaku. Antaranya ialah ibu bapa yang kurang memberi perhatian kepada anak-anak. Ibu bapa yang sibuk bekerja merupakan penyebab utama anak-anak kehilangan tempat mengadu akhirnya menjerumuskan diri ke dalam gejala buli sebagai salah satu cara untuk memberontak. Anak-anak yang dahagakan kasih sayang ini mengambil kata putus untuk membuli semata-mata untuk mendapat perhatian. Tidak pernahkah terlintas di benak mana-mana ibu bapa bahawa merekalah menjadi penyebab utama anak-anak muda bertindak liar? Oleh itu, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak serta memberi didikan agama yang secukupnaya agar anak-anak tidak cenderung menjebakkan diri dalam gejala buli. Dengan ini, ibu bapalah yang menjadi maestro untuk menagani masalah sosial yang semakin menular ini.

Selain itu, pihak sekolah juga harus dipersalahkan kerana menjadi tempat pengenalan kepada anak-anak remaja kepada gejala buli. Penguatkuasaan undang-undang di sekolah yang kurang dipraktikkan di sekolah mengakibatkan kes buli semakin banyak berlaku. Guru-gur sepatutnya mengambil langkah yang bijak dengan mengetatkan pengutakuasaan undang-undang agar masalah ini dapat diatasi. Walau bagaimanapun, guru-guru tidak seharusnya mengambil ringan terhadap masalah remeh yang berlaku di sekolah. Hal ini kerana, kes-kes sosial yang besar bermulanya dengan masalah remeh yang dipandang enteng oleh guru-guru. Justeru, guru-guru dan juga mana-mana pihak sekolah haruslah bekerjasama untuk membasmi hal ini daripada terus berlaku.

Kadang kala kita tidak sepatutnya menyalahkan mana-mana pihak dengan masalah yang dilanda. Hal ini disebabkan semua masalah berpunca daripada sikap individu itu sendiri. Sikap remaja yang gemar memberontak sebenarnya yang memandu mereka semua untuk membuli. Mereka dahagakan perhatian dan ingin dipandang tinggi oleh orang lain. Namun, buli bukanlah caranya untuk mereka disanjung tinggi oleh masyarakat. Untuk mengatasi masalah ini, para remaja semestinya bijak mengisi masa senggang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Melalui cara ini, para remaja mungkin akan mendapat pulangan yang berfaedah menerusi aktiviti-aktiviti yang disertai.

Jelaslah di sini bahawa semua pihak wajar mengambil tindakan drastik agar kemelut ini tidak akan terus berlaku. Oleh itu, janganlah kita terus berpeluk tubuh dan membiarkan masalah ini terus menular.Dengan tekad ini, peganglah slogan ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’ dalam meniti kehidupan masing-masing agar fenomena ini dapat dipulihkan dari semasa ke semasa.