Mengapa wujudnya masalah-masalah sosial ?

Tidak dapat siapapun menafikan bahawa dunia pada hari ini penuh dengan berbagai-bagai ragam dan masalah, sama ada kecil ataupun besar, remeh ataupun sukar, melibatkan golongan atasan ataupun bawahan dan sesiapa sahaja sepertimana yang berlaku pada peristiwa tsunami yang melanda sekitar Asia pada 26 Disember 2004 yang lalu. Pokoknya, sebahagian besar daripada masyarakat bersetuju bahawa dunia hari ini mengalami masalah sosial. Timbulnya masalah-masalah sosial ini yang berpunca daripada pendapatan rendah memang boleh dijangkakan. Bezanya cuma dari segi keseriusan masalah tersebut dan sejauh mana kita mampu mengambil langkah-langkah pencegahan dan rawatan.

Mohd Shatar Sabran (2003) memberikan definisi masalah sosial sebagai satu masalah apabila sebahagian besar daripada ahli masyarakat ataupun sekumpulan masyarakat yang mempunyai pengaruh merasakan bahawa sesuatu perkara yang berlaku itu tidak baik dan bercanggah dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat. Lanjutan daripada itu, masyarakat dan kumpulan yang terlibat akan berusaha untuk mengubah ataupun memperbetulkan keadaan berkenaan.

Berpandukan kepada definisi masalah sosial ini, ia sebenarnya bersifat subjektif di mana berlakunya perubahan mengikut tempat, keadaan dan masa. Sesuatu perkara yang dianggap menyalahi dan menyimpang daripada norma masyarakat pada masa lalu tidak lagi dianggap sebagai masalah pada masa sekarang.

Bagi tujuan perbincangan ini, masalah sosial yang muncul setelah wujudnya penempatan yang tidak tersusun adalah sepantas penambahan setinggan yang berselerakan. Munculnya masalah yang berkaitan dengan komuniti setinggan yang tentunya sebahagian besarnya berpendapatan rendah menuntut setiap pihak untuk menilai semula perancangan bandar dan memaksa pihak kerajaan khususnya untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negara kita yang dianggarkan kira-kira 50,000 keluarga atau satu peratus daripada keseluruhan 25 juta orang penduduk negara (Utusan Malaysia, 3 Jun 2004). Daripada jumlah ini, seramai 10,000 keluarga tinggal di kawasan bandar dan memenuhi kawasan setinggan. Dengan keadaan persekitaran yang tidak kondusif dan tidak ada sistem yang baik, golongan ini gagal untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak mempunyai kelayakan akademik, di samping terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan gangsterisme.

Walaupun usaha gigih kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri dan pelbagai agensi yang terlibat, kadar kemiskinan belum dapat dihapuskan sepenuhnya, hanya dapat dikurangkan dari 16.5 peratus pada tahun 1990 ke 5.1 peratus pada tahun 2002. Bagi tempoh yang sama juga, kemiskinan di kawasan bandar telah berkurangan daripada 7.1 peratus ke 2.0 peratus. Walau bagaimanapun maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan 2004 melalui Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah menyatakan kadar kemiskinan tegar di negara ini ialah 0.7 peratus yang melibatkan 36,500 isi rumah.

Bagi sesetengah orang, memiliki rumah sendiri adalah salah satu keperluan primer yang perlu dipenuhi sebagai syarat bagi kesempurnaan hidup mereka. Misi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai matlamat setinggan sifar “menjelang tahun 2005” diharap dapat mempercepatkan proses pembangunan perbandaran yang lebih tersusun dan bersistematik.

Menurut kajian oleh Lawrence (1995), Nurizan (1991) dan Shahnaz (1996) (dalam Nurizan dan Laily Paim, 1999) menyatakan bahawa keadaan perumahan yang tidak menepati kelayakan minimum keperluan sesuatu projek perumahan akan memberi kesan yang negatif terhadap komuniti berkenaan seperti kesesakan, pencemaran persekitaran, tidak puas hati dan wujudnya kesan-kesan gejala sosial. Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ialah bagaimana mengatasi peningkatan yang mendadak penduduk bandar akibat daripada penghijrahan penduduk luar bandar yang meningkat dari 29 peratus pada 1970 ke 34 peratus pada 1980 seterusnya 50.5 peratus pada 1990 (Sixth Malaysian Plan, 1991).

Pembukaan bandar dan kawasan industri yang baru menarik minat penduduk luar bandar untuk mencari kerja di tempat-tempat ini di samping kemasukan tenaga buruh pekerja asing telah meningkatkan populasi di kawasan bandar yang memberi kesan secara langsung dan serius ke atas perkhidmatan perbandaran termasuk perumahan.