Salam sejahtera pembaca. Selamat bercuti dan Gong Xi Fa Chai untuk semua penganut Buddha yang meraikan tahun baharu mereka. Di sini, saya ingin terangkan secara ringkas sambutan masyarakat Cina ini untuk tatapan bersama!

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.

Tahun-tahun dalam zodiak haiwan cina.

Haiwan
Tikus         子 zǐ
Lembu         丑 chǒu
Harimau     寅 yín
Arnab         卯 mǎo
Naga         辰 chén
Ular         巳 sì
Kuda         午 wǔ
Kambing     未 wèi
Monyet         申 shēn
Ayam         酉 yǒu
Anjing         戌 xū
Khinzir     亥 hài

Sebelum Dinasti Qin, tarikh perayaan permulaan sesuatu tahun adalah tidak jelas. Barangkalinya, awal tahun ini bermula dengan bulan 1 ketika Dinasti Xia, bulan 12 ketika Dinasti Shang, dan bulan 11 ketika Dinasti Zhou di China. Namun, adalah diketahui bahawa “bulan lompat” yang dipakai untuk memastikan kalendar qamari selari dengan matahari, sentiasa ditambah selepas bulan 12 ketika Dinasti Shang (menurut catatan tulang orakel yang masih wujud) dan Zhou (menurut Sima Qian). Maharaja pertama China Qin Shi Huang menukar dan menetapkan awal tahun pada bulan 10 pada 221 SM. Sama ada Tahun Baru diraikan pada awal bulan 10 atau bulan 1, atau kedua-duanya, itu tidak diketahui. Pada 104 SM, Maharaja Wu yang memerintah sewaktu Dinasti Han menetapkan bulan 1 sebagai awal tahun, yang masih kekal sampai masa ini.

Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián (年) ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan (dalam versi-versi lain, dari bawah laut), yang muncul setiap 11 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru yang sulung. Guò nián (Cina Tradisional: 過年, Cina Ringkas: 过年), yang bermaksud “menyambut tahun baru”, membawa erti harfiah “meredah raksasa Nian”

Sambutan Tahun Baru Cina disambut dengan menziarah ahli keluarga saudara-mara dan sahabat, serta penggunaan warna merah yang berlebihan. Ang pau diberikan kepada orang muda dan kanak-kanak oleh orang tua dan yang telah kahwin.

Sebelum Tahun Baru

Pada hari-hari sebelum Tahun Baru Cina, keluarga-keluarga Cina membersihkan rumah mereka secara menyeluruh, kerana mereka percaya bahawa pembersihan ini menghalau nasib malang dan musibah yang menimpa pada tahun yang berlalu serta menyediakan rumah mereka untuk menjemput nasib baik. Penyapu dan pengumpul habuk disimpan pada malam sebelum Tahun Baru dan hari pertama agar nasib baik itu tidak boleh disapu keluar. Ada orang yang mengecat rumah, pintu dan sisi tingkap dengan warna merah. Rumah dihiasi potongan kertas yang ditulis pepatah mengucap kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina.

Acara terbesar pada malam Tahun Baru Cina ialah jamuan pertemuan semula. Hidangan yang terdiri daripada ikan terdapat di atas meja makan untuk tujuan paparan sempena jamuan ini. Di China utara, adalah juga menjadi adat untuk memakan ladu untuk jamuan ini. Ladu melambangkan kemewahan kerana bentuknya berupa tongkol emas Cina. Ang pau bagi ahli terdekat dalam keluarga kadang-kadang diberi sewaktu jamuan pertemuan semula. Paket ini sering mengandungi duit dalam bilangan nombor tertentu yang mencerminkan tuah dan kehormatan.