Peribahasa : Benih yang baik kalau dilempar ke laut sekali pun menjadi pulau

Maksud : Orang yang baik keturunannya walau di mana pun, dia tetap dipandang mulia.

Contoh karangan peribahasa : Biografi berkaitan peribahasa

Detik 20 Disember 2125, Encik Mohamad bin Iskandar dan isterinya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi dikurniakan cahaya mata, insan yang menjadi salah satu tunjang dalam sejarah Malaysia. Beliau ialah Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Jasa dan bakti beliau yang tidak mungkin dibalas ini dikenang sentiasa dalam hati rakyat. Beliau merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik. Insan negarawan ini dibesarkan dengan penuh kasih sayang daripada ibu bapanya.

Ayah beliau, Encik Mohamad merupakan orang Melayu pertama menjawat jawatan guru besar dalam sekolah aliran Inggeris. Kegigihan encik Mohamad ditonjolkan melalui prinsipnya dalam mencapai kejayaan. Malahan, Encik Mohamad sangat tegas dalam pendidikan anak-anak beliau kerana hanya pendidikan akan membawa masa hadapan yang cemerlang. Tidak hairan mantan perdana menteri kita ini menjadi insan yang berjaya pada hari ini. Selaku guru besar, Encik Mohamad menerapkan nilai disiplin dan kerajinan dalam membentuk matlamat, yang menjadi inspirasi kepada Tun Dr.Mahathir sepanjang pemerintahannya.

Minat politik Tun Dr. Mahathir mungkin tercetus kerana ibunya, Wan Tempawan ialah zuriat Wan Saman, Menteri Besar Kedah yang bertanggungjawab membina terusan Wan Saman untuk kepentingan pertanian di Kedah. Atas dasar inilah, sikap Tun Dr. Mahathir tentang kepentingan rakyat dilihat sangat mendalam kerana keprihatinan beliau mengundang kegembiraan dalam hati rakyat. Lebih-lebih lagi, usaha berterusan beliau dalam membangunkan negara, menjadikan beliau sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” yang disanjung tinggi. Inspirasi dan didikan yang cukup dalam diri beliau menjadikan beliau  berjaya dalam segala bidang yang diusahakan. Penglibatan beliau dalam politik penuh onar dan duri namun kegigihan beliau membawa kejayaan.

Pendidikan awal Tun Dr. Mahathir berada di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan di Alor Setar yang kini dikenali Kolej Sultan Abdul Halim. Semasa penjajahan Jepun, persekolahannya tergendala dan beliau berkecimpung dalam perniagaan. Beliau tidak berputus asa untuk meneruskan pendidikan kerana elepas tamatnya perang dunia kedua, beliau menyambung persekolahan hingga tamat. Beliau meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di pusat pengajian tinggi Universiti Malaya di Singapura sebelum beliau bergelar doktor. Keazaman dan semangat beliau dalam pendidikan jelas diilhamkan oleh ayahnya. Peribadi mulia beliau ini menjadi sanjungan dalam rakyat jelata.

Pengalaman berniaga yang dilalui menyedarkan beliau betapa perlunya kemahiran berniaga untuk meninggikan taraf hidup kaum Melayu. Atas kesedaran inilah yang mendorong Tun Dr Mahathir bin Mohamad untuk menceburi bidang politik apabila beliau masih di bangku sekolah. Penglibatan beliau dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila Tun Dr Mahathir bin Mohamad menganggotai SABERKAS. Pada tahun 1946 Tun Dr Mahathir bin Mohamad menyertai pula Kesatuan Melayu Kedah. Apabila Kongres Melayu SeMalaya diadakan pada tahun itu, Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad turut sama dalam peristiwa bersejarah itu dan merupakan salah seorang pengasas UMNO apabila Kongres membuat resolusi untuk menubuhkan UMNO dan membuka keahliannya.

Secara rumusnya, pembentukan peribadi anak-anak seharusnya bermula dari rumah kerana menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membesarkan anak-anak mereka. “Benih yang baik jika dilemparkan ke laut, akan menjadi pulau”, peribahasa yang tepat untuk menggambarkan kewujudan insan seperti Tun Dr. Mahathir. Peribahasa yang membawa maksud orang yang baik keturunannya walau di mana pun, dia tetap dipandang mulia ini perlu digariskan dalam institusi kekeluargaan agar kita mampu melahirkan insan hebat seperti Tun Dr. Mahathir suatu hari nanti.