Barangan buatan Malaysia didefinisikan sebagai hasil produk yang dikeluarkan oleh air tangan warga tempatan. Sebagai rakyat Malaysia , kita wajar menyokong hasil keluaran tempatan negara dengan cara mudah, membelinya.

Salah satu kepentingan membeli keluaran tempatan ialah membantu menaikkan taraf ekonomi negara. Usaha murni ini bukan sahaja memajukan negara tetapi mempersiapkan negara mencapai wawasan 2020.Permintaan tinggi produk tempatan mampu menjana aliran wang negara yang stabil tatkala kita menghadapi kegawatan ekonomi. Peluang perniagaan juga turut terbuka luas selain membuka lebih banyak ruang kerja untuk modal insan meraih sesuap rezeki di tanah air sendiri.

Seterusnya, kita mendekatkan diri kita dengan negara apabila membeli produk Malaysia ini. Dalam konteks ini, air tangan negara menjadikan kita lebih mencintai negara dan seterusnya membina jati diri menjadi insan yang cemerlang gemilang dan terbilang. Penghayatan kita dalam menjadi teras mandatori lantaran produk tempatan wajar dijadikan aset agar kita menjadi penduduk Malaysia yang sentiasa berpijak di bumi yang nyata. Hatta, perasaan patriotisme ini mampu disemai dalam jiwa rakyat andaikata produk tempatan ini menjadi nadi kehidupan kita, sebagaimana dilaungkan oleh mantan Perdana Menteri kita, keranamu Malaysia.

Selanjutnya, penggunaan barangan tempatan mampu mengurangkan pergantungan produk import. Berasas pada pemerhatian, produk jenama barat sentiasa membawa keraguan dari segi mentaliti mahupun rohani. Produk luar membawa inti pati kebaratan dan budaya kuning yang terlalu asyik menghanyutkan remaja kita. Pelbagai seruan telah dianjurkan dan sewajar produk sedemikian dikekang seratus peratus memberikan ruang alternatif baru negara, produk buatan sendiri. Secara umumnya, kita mampu mengelakkan unsur dan pengaruh luar yang cuba melalaikan generasi muda dengan penjajahan mental, sebaliknya melatih pewaris negara dengan dasar pandang ke timur.

Di samping itu, pembelian produk tempatan menunjukkan sikap menghargai titik peluh warga Malaysia yang selama ini berusaha membangunkan negara. Hal ini dilihat sebagai suatu penghormatan kepada negara kerana negara kita juga mampu berdaya saing dalam pasaran kompetitif dunia untuk menjana tranformasi negara.Jika kita tidak menyokong produk kita ini, maka masyarakat luar juga turut memberikan impresi negatif pada produk kita dan menjejaskan kuantiti dan kualiti eksport negara. Justeru, gunalah produk buatan negara sebagai rutin dan ruji kehidupan kita, moga-moga sokongan kita ini mampu menaikkan martabat penjenamaan negara demi masa hadapan yang gemilang.

Konklusinya, produk tempatan sangat signifikan dengan pencapaian dan produktiviti negara kerana pemerhatian serius negara dalam mencapai visi Satu Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Advertisements