LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK (UMUM)

 

Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik. Lebih-lebih lagi, kebanjiran hiburan dan pengaruh Barat yang melalaikan membimbangkan pelbagai pihak terutamanya apabila generasi muda inilah yang bakal mewarisi corak pemerintahan negara. Persoalannya kini, apakah langkah yang efisien dalam memupuk semangat patriotik ini agar terus membunga dalam generasi marcapada ini?

 

Salah satunya adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan. Umum mengetahui bahawa program yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu ini sememangnya mempunyai pelbagai maslahat yang amat berguna. Buktinya, tentatif program tersebut dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawat kaki, kursus menembak, dan aktiviti berkumpulan. Melalui aktiviti – aktiviti ini, pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati yang merupakan elemen penting dalam semangat patriotik, bak kata pepatah, ’bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

 

Di samping itu, tokoh-tokoh yang berjasa dan telah banyak menabur bakti kepada negara sewajarnya dikenali dan dihargai melalui pendidikan subjek Sejarah. Dalam konteks ini, semangat tokoh-tokoh yang berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja dan ’tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ agar tidak menjadi lipatan sejarah semata-mata. Sebagai contohnya, tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong perlulah ditekankan supaya menjadi inspirasi dan idola para remaja. Fokusnya, para remaja perlulah mengimplementasikan semangat patriotik ke arah yang positif seperti belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras memajukan negara, dan memartabatkan nama negara sehingga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

 

Selain itu, sambutan hari kemerdekaan dan bulan kebangsaan menjadi titik tolak dalam mengimbau bebas negara Malaysia daripada cengkaman penjajah. Hal ini dikaitkan dengan kemeriahan dan kehangatan suasana sambutan ini mampu membuka mata generasi muda agar tidak alpa dengan kemewahan dan keamanan yang dikecapi sebaliknya terus menyumbang bakti agar tanah air tercinta ini tidak ternoda dengan kemelut penjajah. Misalannya, pada bulan kemerdekaan ini, jalur gemilang berkibaran menanam rasa bangga akan negara dan keriuhan dalam perarakan mampu membangkitkan kesedaran dan kesetiaan kepada negara dan bangsa. Tegasnya, semangat patriotik haruslah diutamakan agar kita tidak lagi dijajah kerana sentiasalah kita diingatkan “sejarah mungkin berulang kembali” andai kata kita leka dan terlupa.

 

Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan. Tanpanya negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi pada hakikatnya kosong dan rapuh. Pendek kata, ”Negara Kita Tanggungjawab Kita” tema hari kemerdekaan akan direalisasikan oleh warga yang patriotik. Ayuh para remaja, hidup suburkanlah semangat patriotik ke dalam diri kita semua !