LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME (UMUM)

 

Dewasa ini, kita sering mendengar isu remaja yang terlibat dalam gejala vandalisme tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai kerosakan dan kemusnahan harta benda awam oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Persoalannya kini, apakah langkah yang efisien dalam mengatasi isu vandalisme yang kian ketara ini?

 

Salah satunya ialah ibu bapa perlulah memainkan peranan penting dalam memberikan didikan agama dan nilai moral yang sempurna dalam jiwa anak-anak mereka. Hal ini dikaitkan dengan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Buktinya, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas sememangnya sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”.

 

Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Secara umumnya, perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Misalannya, rukun tetangga haruslah mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka.

 

Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Dalam konteks ini, pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Sebagai contoh, kerajaan mestilah mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib.

 

Konklusinya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini daripada terus menjadi barah dalam komuniti di Malaysia. Bak kata mutiara, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dengan ini, kita mampu melahirkan insan yang bertanggungjawab dalam misi negara mengejar wawasan 2020.