Pelajar semakin meminati mesej pesanan ringkas (SMS) dalam komunikasi mereka.

Jelaskan kebaikan penggunaan sms ini.

Mesej pesanan ringkas (sms) dilihat sebagai cara berkomunikasi yang diminati oleh pelajar kita. Contohnya, sms ini boleh dihantar menggunakan komputer, telefon bimbit dan tablet. Sebenarnya, teknologi ini ada banyak kebaikan apabila diamalkan oleh pelajar.

Faedah utama menggunakan sms ialah kos perbelanjaan pelajar menjadi lebih murah. Pelajar mengetahui bahawa kos bercakap menerusi telefon bimbit jauh lebih mahal berbanding menghantar sms yang mudah lagi cepat itu. Lantaran itu, pelajar lebih suka menghantar sms kerana kosnya lebih rendah.

Selain itu, pelajar boleh berinteraksi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan mereka. Kekerapan menghantar sms boleh merapatkan hubungan dengan ibu bapa dan rakan juga. Jelaslah, sms yang digunakan itu boleh menjadikan interaksi pelajar dengan ibu bapa dan rakan bertambah baik.

Tambahan pula, pelajar yang bijak menggunakan sms boleh memperoleh pelbagai informasi yang berguna. Remaja menjadikan sms sebagai alat komunikasi untuk mengetahui kerja rumah, masa cuti, dan pelbagai kejadian yang berlaku dalam kehidupan mereka. Maka, pelajar yang menggunakan sms dalam hidupnya akan memiliki pelbagai maklumat yang berguna pula.

 
Kesimpulannya, semua faedah tadi memang boleh diterima apabila pelajar menggunakan sms dengan kerap. Kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya penggunaan sms ini dikawal oleh pihak ibu bapa. Peribahasa nasi menjadi bubur mengingatkan kita bahawa isu ini harus ditangani dengan bijak sebelum menjadi negatif pula.
 

 

 
Advertisements