Faktor anak terlibat dalam masalah sosial

Pada masa ini, media massa sering memaparkan gejala sosial yang semakin berleluasa. Amat menyedihkan lagi apabila majoriti terlibat dalam gejala sosial ialah golongan remaja. Remaja merupakan modal insan dan pewaris pemimpin pada masa akan datang. Jikalau beginilah pembentukan remaja kita, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa hadapan. Konfliks ini sudah tentu berkait rapat dengan ibu bapa. Merekalah yang akan membentuk prinsip hidup seseorang anak itu. Tanpa mereka anak-anak pasti hilang arah dan tiada tujuan dalam kehidupan. Persoalannya kini, apakah faktor sebenar anak terlibat dalam masalah sosial?

 

Salah satu faktornya ialah kurangnya kasih sayang dalam jiwa anak-anak. Hal ini dibuktikan oleh kebanyakan ibu bapa lupa akan tanggungjawab sebagai penjaga kepada anak-anak. Kebanyakan ibu bapa hanya memberikan kemewahan hidup kepada anak-anak dan memikirkan mereka telah melakukan yang terbaik untuk mereka. Tetapi, mereka sebenarnya lupa untuk memberikan kasih sayang kepada anak-anak kerana terlalu leka mengejar harta dunia.Hal ini menyebabkan anak-anak mula mencari kasih sayang diluar rumah.Sebagai akibatnya, menyebabkan mereka lupa akan keindahan bersama keluarga. Situasi ini dapatlah kita kaitkan dengan peribahasa kasih ibu berpanjangan,kasih anak sepanjang pegangan. Jelaslah disini bahawa anak-anak yang tidak diberi kasih sayang pasti akan cenderung mencari jalan keluar untuk mengisi rompong jiwa mereka dengan keseronokan sementara.

 

Selain itu, kawasan perumahan turut mempengaruhi dalam masalah gejala sosial ini. Jika kawasan perumahan kita didiami oleh orang yang bermasalah pasti akan mempengaruhi sikap anak-anak kita. Hal ini demikian kerana anak-anak pasti akan mengikuti gaya dan cara mereka yang berada disekelilingnya. Mereka berpendapatan bahawa orang yang disekelilingnya merupakan contoh yang mereka harus ikuti kerana anak-anak masih mentah dan tidak matang. Peribahasa yang sesuai dengan masalah ini ialah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Justeru sebagai ibu bapa, kita haruslah memastikan kawasan perumahan kita merupakan tempat yang selamat untuk anak-anak kita membesar dan tidak menjadi mangsa keadaan lantaran terjebak dalam gejala sosial.

 

Seterusnya, kebanyakan ibu bapa kini mula lupa akan kepentingan agama. Secara umumnya, mereka terlalu leka dengan kehidupan duniawi yang sering melalaikan manusia. Hal ini menyebabkan anak-anak tidak mendapat didikan agama yang sempurna dan hanya diberi didikan formal dunia seterusnya mengakibatkan mereka terpengaruh dengan pergaulan bebas kerana tidak mengerahui batas-batas pergaulan. Sebagai ibu bapa mereka haruslah memberi didikan agama yang sewajarnya kerana Albert Einstein pernah berkata agama tanpa ilmu adalah buta,ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelaslah bahawa ilmu seseorang itu tiada guna apabila mereka tidak mempunyai agama untuk dijadikan pegangan hidup.

 

Akhir sekali,  ibu bapa telalu memanjakan anak-anak jelas merupakan sebab remaja ini hanyut. Lebih-lebih lagi, segala kemahuan anak-anak dipenuhi tanpa penilaian yang betul dan sewenang-wenangnya. Mereka berpendapat bahawa dengan memberikan kesenangan kepada anak-anak akan mengisi segala kekurangan kasih sayang dalam sanubari cahaya mata mereka. Selain itu,bagi mereka yang kaya ini merupakan jalan mudah untuk menunjuk rasa cinta terhadap anak-anak mereka. Kesannya, anak-anak pasti akan menjadi seorang manusia yang malas untuk berusaha kerana mereka tahu segala perkara yang mereka inginkan pasti akan dipenuhi oleh ibu bapa mereka. Lantaran itu, sebagai ibu bapa mereka seharusnya mengajar anak-anak hidup susah bak peribahasa sayang anak tangan-tangankan supaya mereka menjadi manusia yang berdikari dan tidak mudah berputus asa.

 

Kesimpulannya, ibu bapa haruslah memainkan peranan mereka sebagai penjaga dan menjadi model yang terbaik untuk mereka. Ibu bapa haruslah ingat bahawa tiada benda yang dapat menandingi anak-anak mereka termasuk wang ringgit.Sudah terang lagi bersuluh, masalah sosial ini dapat diatasi dengan didikan sempurna daripada ibu bapa.

Advertisements