Fenomena laman sosial

Seorang pengkaji psikologi dan skizofrenia dari Sydney, Australia, Scott McGreal turut menyentuh mengenai topik ini dalam makalah bertajuk “Is There Something Wrong With People Who Do Not Use Facebook?” (Psychology Today, 4 September 2012).

Terdahulu, pemegang sarjana psikologi itu yang menyiarkan makalah berkenaan di blognya, Eye on Psych (11 Ogos 2012). Beliau tertarik dengan reaksi yang diberikan masyarakat dunia pada waktu itu terhadap dua kes pembunuhan beramai-ramai melibatkan James Eagan Holmes dan Anders Behring Breivik.

James dikenal pasti sebagai individu yang melepaskan tembakan rambang sehingga menyebabkan 12 orang terbunuh di sebuah pawagam di Aurora, Colorado, Amerika Syarikat pada 20 Julai 2012. Sambungan perbicaraan kes pemuda berumur 26 tahun ini dijadualkan pada Oktober 2014.

Anders pula didapati bersalah melakukan pengeboman yang mengorbankan lapan orang di Oslo, Norway pada 22 Julai 2011. Beberapa jam kemudian, dia menembak mati 69 orang, kebanyakannya remaja, di Pulau Utoya. Pemuda berumur 35 tahun itu akhirnya dijatuhi hukuman penjara 21 tahun atas kesalahan membunuh 77 orang.

Scott memetik laporan akhbar German, Des Taggspiegel yang melihat suatu persamaan yang paling ketara antara kedua-dua pembunuh terbabit: kedua-duanya tidak memiliki akaun Facebook. Maka, ramai yang mula membuat kesimpulan bahawa ketiadaan akaun Facebook mungkin merupakan tanda-tanda awal seseorang itu ada potensi melakukan pembunuhan beramai-ramai!

Seorang pakar psikologi, Christopher Moeller dipetik oleh akhbar yang sama sebagai berkata, penggunaan Facebook boleh dijadikan penanda aras bahawa seseorang mempunyai rangkaian sosial yang sihat (healthy social network).

Perbezaan apabila ada, tiada akaun Facebook

Menurut Scott dalam catatan di blognya, suatu kajian dilakukan di Australia pada 2011 untuk membandingkan keperibadian kelompok orang yang ada dan tiada akaun Facebook. Individu yang ada akaun Facebook didapati mempamerkan sifat suka menonjol (extrovert) dan mementingkan diri sendiri (narcissistic).

Kelompok yang tidak ada akaun Facebook pula lebih teliti (conscientious) dan pemalu, serta mengalami kesunyian kerana tiada rakan-rakan untuk bersosial (social loneliness). Mereka yang aktif di Facebook pula menghadapi masalah kesunyian kerana kurang mendapat perhatian dan kasih sayang keluarga (family loneliness).

Pandangan yang dikemukakan ini masih bersifat umum dan tidak perlu dijadikan kayu ukur yang rigid untuk mengklasifikasikan kelompok yang ada dan tiada akaun Facebook. Tentu sahaja pelbagai faktor lain perlu diambil kira; misalnya sama ada individu yang ada akaun itu merupakan pengguna tegar atau hanya sesekali melayari Facebook.

Pada pendapat Scott, individu yang ada akaun Facebook mungkin tidak begitu malu untuk bersosial dan bertemu orang. Tentulah pandangan ini boleh dipertikaikan kerana ada juga individu yang “hebat bercakap” di Facebook tetapi apabila bertemu di alam nyata, kehebatan itu hilang entah ke mana.

Individu tanpa akaun Facebook pula biasanya memiliki sikap lebih teliti dalam membuat kerja. Maka, menurut Scott, mereka pasti merupakan individu yang mampu bekerja keras dan mengutamakan pencapaian. Tambahan pula, mereka tidak terlalu mementingkan diri sendiri, kurang egoistik dan tidak suka menunjuk-nunjuk.

Dalam pada itu, secara logik, orang yang banyak menghabiskan masa di Facebook tentulah kekurangan masa untuk membuat kerja. Kajian psikologi juga mendapati bahawa pengguna tegar Facebook ketara meluahkan keluhan dan mengadu hal-hal peribadi dan tempat kerja kepada rakan-rakan menerusi laman rangkaian sosial berkenaan.

Pengguna Twitter dikatakan lebih ‘bijak’ berbanding pengguna Facebook. — Gambar oleh Uthaya KumarPengguna Twitter dikatakan lebih ‘bijak’ berbanding pengguna Facebook. — Gambar oleh Uthaya KumarSuatu kajian yang dilakukan pada 2012 pula cuba membandingkan antara pengguna Facebook dan Twitter. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa kelompok pengguna Facebook lebih banyak mempamerkan sifat suka menonjol, mementingkan diri sendiri, suka bersosial dan kurang mementingkan unsur intelek.

“Memang tidak ada bukti menunjukkan hubungan antara penggunaan Facebook dan hakikat seseorang menjadi pembunuh. Bagaimanapun, ada hubungan erat antara sikap terlalu mementingkan diri sendiri (narcissism) dengan ciri-ciri anti-sosial.

“Sekiranya hubungan ini dikaji secara mendalam, dapatlah disimpulkan bahawa orang yang tidak ada akaun Facebook sebenarnya mempunyai potensi yang lebih rendah dalam melakukan keganasan dan pembunuhan,” Scott menghuraikan di blog.

Lali dengan mesej berbaur perkauman

Dalam satu lagi makalah di Psychology Today (13 Disember 2013), Scott cuba meneliti hubungan antara penggunaan Facebook dan sentimen perkauman.

Dalam konteks negara kita, setiap pengguna Facebook pasti ada rakan pelbagai kaum, etnik, agama dan latar belakang. Maka, topik ini amat sesuai juga dilihat secara lebih dekat. Tambahan pula, pelbagai kenyataan berbaur perkauman sentiasa disebarkan menerusi Facebook oleh pelbagai pihak; malah dikongsi pula oleh orang lain secara sedar atau tidak sedar.

Kajian di Australia mendapati bahawa kelompok yang meluangkan masa yang banyak di Facebook akan menjadi semacam lali dengan segala kenyataan berbaur perkauman yang tersebar itu. Tidak setakat itu, mereka juga akan mula lebih bersedia untuk menerima dan bersetuju dengan mesej-mesej berbaur perkauman itu.

Mungkin juga kita sebagai pengguna Facebook wajar membuat renungan terhadap perkara ini dan bertanya kepada diri sendiri sama ada kita juga sudah sampai ke tahap kritikal seperti itu. Apakah kita sudah lali dengan paparan berbentuk perkauman sehingga kita memilih untuk membiarkannya sahaja, serta sudah mula bersetuju dengan penyebaran unsur perkauman itu – secara sedar atau tidak sedar?

Laman rangkaian sosial juga dikatakan sudah menjadi medan menyebarkan maklumat kurang berkualiti. Berita yang disebarkan dianggap tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Tentulah kenyataan ini boleh dipertikaikan dan dibahaskan.

Hal ini sebenarnya berbalik juga kepada hakikat siapakah orang yang menjadi sahabat (friend) kita di Facebook atau siapakah kelompok yang kita ikuti (follow). Jika mereka adalah golongan yang boleh dipercayai dan diyakini, maka kuranglah kemungkinan kita menerima maklumat kurang berkualiti.

Dalam isu kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac 2014, saya secara peribadi memilih untuk merujuk maklumat sahih di portal berita dalam talian. Saya juga secara penuh sedar memilih untuk tidak menulis sebarang komen atau berkongsi maklumat yang disebarkan menerusi Facebook.

Salah satu sebab adalah kerana saya tidak mahu menambah kesedihan yang sedang ditanggung kaum-keluarga pihak terbabit khasnya dan orang ramai secara amnya. Akan tetapi, tentulah sikap kurang profesional yang ditunjukkan oleh politikus (Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat) serta amalan syirik yang diketengahkan oleh kelompok bomoh bertopengkan agama Islam, saya bidas secara terbuka.

“Orang ramai menggunakan Facebook khususnya untuk berhubung dan berkomunikasi dengan orang lain. Ada juga kelompok yang memanfaatkannya untuk berkongsi berita dan maklumat. Berbanding pengguna Twitter, pengguna Facebook lebih suka bersosial dan pada masa sama, mereka bersikap lebih gelisah.

“Mengikut kajian pada 2012, pengguna tegar Facebook juga kurang mementingkan aspek pengetahuan, proses pembelajaran dan pemahaman terhadap maklumat yang tersebar menerusi laman rangkaian sosial berkenaan,” Scott menghuraikan.

Mahu bersantai atau menambah ilmu?

Daripada pengalaman dan pemerhatian saya, pandangan yang dikemukakan itu ada benarnya. Malah, ramai juga pengguna Facebook yang memandang ringan aspek pengetahuan, ilmu, pemikiran dan penggunaan bahasa apabila melayari laman rangkaian sosial ini.

Walaupun aktif di alam maya, ramai pengguna Facebook mengalami kesunyian. — Gambar oleh Uthaya KumarWalaupun aktif di alam maya, ramai pengguna Facebook mengalami kesunyian. — Gambar oleh Uthaya KumarAlasan yang diberikan adalah bahawa mereka hanya mahu “bersantai” dan bukannya memeningkan kepala dengan perkara-perkara “berat” seperti menganalisis maklumat, penggunaan bahasa yang betul dan perdebatan berilmu.

Perkara ini saya alami sendiri dari semasa ke semasa kerana saya meletakkan syarat penggunaan bahasa yang betul apabila rakan-rakan mahu menulis komen pada paparan di dinding (wall) Facebook saya. Pendirian saya dipertikaikan; kononnya menghalang komunikasi santai yang menurut pihak tertentu adalah satu-satunya aspek yang mereka mahu lakukan menerusi Facebook.

Suatu kajian di Australia pada 2013 menunjukkan bahawa kelompok pengguna tegar Facebook yang menolak perkara-perkara “berat” (seperti aspek ilmu dan penggunaan bahasa yang betul) dan hanya mementingkan komunikasi “santai” (sekadar hiburan) adalah individu yang tidak mahu “membazir masa” berfikir secara mendalam tentang pelbagai maklumat dan ilmu yang mereka temui di Facebook.

Scott menghuraikan bahawa selain daripada kekurangan pemikiran kritikal, pengguna tegar Facebook yang hanya mahu “bersantai” juga ketara memiliki keinginan untuk membuatkan kehadiran mereka diterima oleh rakan-rakan di laman rangkai sosial berkenaan.

Akibatnya mereka memilih untuk bersetuju dengan apa sahaja pandangan yang dipaparkan oleh rakan-rakan; biasanya dengan menekan butang “Like”. Kelompok seperti itu tidak berfikir, sebaliknya memilih untuk menampakkan kehadiran mereka menerusi “Like” supaya tidak dipinggirkan oleh rakan-rakan.

Di sisi yang lain, kelompok yang mementingkan ilmu serta pemikiran kritikal tidak akan segera menekan butang “Like”. Mereka akan membaca maklumat yang dipaparkan itu sebelum memutuskan sama ada mahu menekan “Like” atau menulis komen yang menampakkan ilmu dan tahap intelektual yang mereka miliki.

Jika paparan itu dirasakan berilmu dan mengembangkan minda, maka akan dikongsikan (share) untuk tatapan rakan-rakan. Hal ini kerana mereka mampu melakukan saringan secara bijak dan mampu pula menyebarkan (berkongsi) bahan-bahan (berita, maklumat, pautan) berbentuk ilmu dengan rakan-rakan.

Seorang pengguna Facebook yang mementingkan ilmu dan maklumat serta memiliki pemikiran kritikal tidak mengharapkan untuk mengumpul “Like” yang banyak daripada kawan-kawan. Malah, jumlah “rakan” juga tidak ramai. Mungkin lebih ramai “follower” yang berminat mengikuti pandangan, komen, pemikiran dan ilmu yang dikongsikan individu itu.

Berdasarkan sedikit maklumat umum ini – yang berasaskan kajian psikologi – kita bolehlah membuat analisis diri tentang di mana sebenarnya kedudukan kita sebagai pengguna Facebook. Pada masa sama, kita juga boleh menggunakan panduan asas ini untuk lebih memahami personaliti rakan kita di Facebook.

Strategi pepatung dalam laman sosial

Empat sayap yang dipunyai oleh pepatung itu diironikan sebagai empat strategi laman sosial. Sayap pertama mewakili focus, sayap kedua menarik perhatian (grab attention), sayap ketiga menjalin hubung (engange) dan sayap keempat ialah melaksanakan (take action).

Sayap Pertama: Fokus

Pengarang menjelaskan sayap pertama itu mestilah membawa kepada matlamat yang hendak dicapai. Matlamat itu tidak perlu merupakan sesuatu yang besar, kerana bagi mereka meskipun dianggap kecil, yang lebih penting ialah kesannya yang lebih besar. Langkah seterusnya dalam strategi pertama ialah setelah matlamat telah ditetapkan, ia perlu dipecahkan dalam beberapa kategori yang lebih kecil dan khusus. Langkah kedua, ialah buat keputusan bagaimana untuk mengukur kejayaan sesebuah matlamat. Dari situlah ditentukan pula rencana yang lebih khusus dengan menggunakan kaedah dan panduan dalam bidang pengurusan.

Sayap Kedua: Menarik Perhatian

Apabila sudah jelas apa yang hendak dilakukan, seseorang itu perlu mencari jalan bagaimana untuk menarik perhatian khalayak sasaran. Saranan pengarang ialah menggunakan pendekatan manusiawi iaitu bersifat sentuhan peribadi (personal touch), asli, mudah dan banyak menampilkan visual, termasuk warna yang sesuai dan foto atau video klip yang menyokong membina emosi khalayak.

Sayap Ketiga: Menjalin Hubungan

Bagi membolehkan khalayak melaksanakan apa-apa tindakan, emosi khalayak mestilah dibentuk terlebih dahulu selaras dengan matlamat. Untuk melakukannya, seseorang itu perlu memahami bagaimana sesuatu perhubungan erat boleh terjalin. Cerita dan sentuhan peribadi memainkan peranan. Anda seharusnya dapat mengungkapkan cerita anda melalui pelbagai media, termasuk media konvensional. Ini kerana sesetengah orang lebih gemar menggunakan facebook berbanding twitter atau e-mel, ada segelintir bergantung kepada mesej dalam media konvensional (radio, televisyen, akhbar, majalan ataupun risalah). Ia akan menjadi lebih berkembang apabila generasi internet itu bersembang sama ada secara maya ataupun lepak dengan kawan-kawan menceritakan mesej tersebut.

Ini telah dibuktikan melalui kempen Obama. Obama sentiasa membawa set blackberry sepanjang kempen tersebut. Setiap pertanyaan yang diterimanya, beliau akan jawab dan seterusnya diposkan melalui sms, twitter, facebook dan blog. Ini dilakukan oleh Obama sendiri dengan dibantu oleh beberapa orang petugas kempen termasuk Randi Zukerberg, saudara kepada pengasas facebook. Imej Obama ketika dilihat tidak lekang dari menggenggam blackberry, kerana teknologi itu telah melakarkan imej beliau sebagai seseorang yang moderat, telus, jujur dan menerima maklum balas. Beliau akan menghubungi mereka yang memberikan maklumat dan mengucapkan terima kasih,walaupun dalam sesetengah keadaan, maklum balas tersebut adalah negatif.

Sayap Keempat: Laksanakan

Apabila sudah boleh menjalin hubungan dengan khalayak, inilah masanya untuk mendorong mereka melaksanakan peranan tersebut. Kebiasaannya, ketika inilah kita memerlukan khalayak membuat keputusan dengan menyentuh emosi untuk bangkit memberikan sumbangan secara sukarela, sama ada untuk memilih, memberikan derma dan sumbangan tenaga ataupun kedua-duanya.