Tugas guru ialah mengajar di sekolah untuk mendidik pewaris kepimpinan masa hadapan supaya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Tidak syak lagi, guru juga ibarat ibu bapa kedua kepada pelajar kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah. Atas kesedaran inilah, sebagai murid kita sewajarnya menghargai guru lantaran terdapat banyak cara untuk menghargai insan istimewa ini.
     Salah satu cara terbaik untuk menghargai jasa guru ialah dengan menghormati mereka. Sebagaimana kita maklum, guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu yang berguna kepada diri kita. Sebagai contohnya, kita boleh mengucapkan salam apabila berjumpa dengan  guru. Usahlah kita bersikap sombong terhadap guru kerana segala ajaran yang mereka sampaikan semata-mata untuk mendidik kita supaya menjadi insan yang berguna bukannya menjadi individu kacang lupakan kulit.
     Selanjutnya, pelajar juga dapat menghargai guru mereka dengan cara menyiapkan kerja sekolah yang telah diamanahkan. Umum mengetahui bahawa guru memberikan kerja sekolah bukannya untuk membebankan pelajar, sebaliknya sebagai latihan tambahan atau pengukuhan di rumah. Bukti terbaik ialah kita mesti menghantar kerja sekolah  mengikut masa yang ditetapkan kerana jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Sudah pasti, hal ini dapat membantu pelajar untuk membuat pembetulan sebagaimana kata falsafah, pembelajaran ialah membetulkan kesalahan.
     Akhir sekali, pelajar  boleh menunjukkan kasih sayang kepada mereka dengan mengenang jasa  guru. Dalam konteks ini, pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku guru ke bilik guru atau mengadakan sesuatu program untuk menghargai mereka. Contohnya, kita boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan Hari Guru pada setiap 16 Mei. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya sekaligus berasa diri mereka dihargai bak kata pepatah, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa.
     Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang membakar diri, sanggup menerangi orang lain. Sedarlah bahawa setiap pelajar perlu menghargai guru. Hal ini demikian kerana, jasa guru tidak ternilai harganya dalam melahirkan insan-insan berjaya, iaitu individu yang cemerlang, gemilang terbilang sebagai menyahut seruan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi.