CONTOH-CONTOH KARANGAN SPM

Pengurusan Lestari Atasi Krisis Kekurangan Bekalan Air Bersih

oleh Nama anda

Air merupakan anugerah Allah SWT yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat. Tanpa sumber air yang mencukupi adalah mustahil bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup. Penegasan berhubung kepentingan sumber air telah banyak dinukilkan di dalam al-Quran. Antaranya, sebagaimana yang telah disentuh di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dia menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki untukmu. Dia juga telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah pula menundukkan sungai-sungai bagimu” (Surah Ibrahim, ayat 32).
Secara umumnya negara kita mempunyai banyak sumber air. Namun demikian, dewasa ini bekalan sumber air bersih semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya semakin meningkat selari dengan peningkatan jumlah populasi penduduk. Mungkin timbul persoalan dalam kalangan kita mengapa situasi sedemikian boleh berlaku sedangkan kita mempunyai sumber air yang banyak di sekeliling kita.

Sebenarnya, keadaan ini timbul adalah ekoran daripada peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke semasa, selain pelbagai kegiatan berkaitan yang mengakibatkan berlakunya pencemaran ke atas sumber air yang ada. Ia sekali gus meletakkan kita di dalam krisis yang meruncing untuk mendapatkan bekalan air bersih yang mencukupi bagi menampung segala aktiviti seharian.

Bukan itu sahaja, malah terdapat pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya masalah kekurangan bekalan air bersih. Antaranya ialah peningkatan suhu global, yang mana ia telah menyebabkan kadar kehilangan air berlaku dengan lebih cepat akibat daripada proses penyejatan air yang tinggi ke atmosfera.

Selain itu, pencemaran akibat daripada pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik juga telah menyebabkan sumber air bersih tercemar. Misalnya, longgokan sampah di tapak-tapak pelupusan sampah telah menyebabkan terhasilnya sisa toksik yang seterusnya akan mengalir ke sungai-sungai dan sumber air bersih yang lain. Pengaliran sampah dan sisa toksik ini akhirnya menyebabkan air tercemar dan bekalan air bersih menjadi semakin berkurang.
Lebih memburukkan lagi krisis sumber air bersih ialah apabila simpanan air bawah tanah juga semakin berkurangan. Sedangkan air bawah tanah merupakan antara sumber bekalan air bersih yang cukup penting dan perlu dipelihara. Situasi ini terjadi dek kerana kegiatan pembalakan yang kian berleluasa pada hari ini sehingga menjejaskan kawasan tadahan air.

Malah, pembangunan pesat yang berlaku secara tidak terancang juga telah menyebabkan air hujan tidak serap ke dalam tanah. Sebaliknya ia terus mengalir ke sungai-sungai. Keadaan ini telah mengakibatkan kuantiti air bawah tanah menjadi semakin berkurangan dan seterusnya ia telah menjejaskan mutu bekalan air.

Perkara-perkara seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan terus berlaku. Ini kerana, jika dibiarkan berlanjutan ia akan menyumbang kepada permasalahan lain yang lebih besar pada masa hadapan, yang mana kesan daripada kekurangan bekalan air bersih akan turut menjejaskan kesihatan masyarakat. Misalnya, akibat daripada kekurangan sumber air bersih untuk diminum akan menyebabkan berlakunya dehidrasi yakni kekurangan air dalam badan, selain boleh menyebabkan berlakunya penyakit seperti taun kerana terpaksa meminum air yang tercemar.

Masalah kekurangan bekalan air tidak hanya memberi kesan ke atas manusia, sebaliknya ia turut memberi kesan ke atas sumber tanah iaitu menyebabkan tanah menjadi kontang. Bahkan, air yang tercemar akan turut menjejaskan kualiti tanah dan ini sekali gus akan turut menjejaskan aktiviti pertanian. Apabila aktiviti pertanian terjejas, maka ia secara langsung akan memberi kesan ke atas bekalan makanan daripada hasil pertanian yang seterusnya juga akan turut memberi kesan yang besar ke atas kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Lebih membimbangkan lagi apabila masalah kekurangan air bersih juga akan menyumbang kepada berlakunya kepupusan terhadap kepelbagaian flora dan fauna. Sebagaimana manusia, secara fitrahnya flora dan fauna juga memerlukan sumber air bersih untuk hidup. Justeru, sumber air yang tercemar akan menyebabkan flora dan fauna mati akibat daripada kekurangan air. Natijahnya, kepupusan yang berlaku ke atas flora dan fauna akan memberi kesan yang lebih serius lagi seperti mengakibatkan ketidakseimbangan ke atas ekosistem yang akhirnya akan turut mengancam kehidupan manusia.

Melihat kepada kesan-kesan yang bakal dihadapi akibat daripada kekurangan bekalan air bersih, seharusnya kita muhasabah diri dan berusaha bagi menanganinya sehingga ke akar umbi agar kita tidak terjebak ke dalam krisis yang lebih buruk lagi pada masa akan datang. Kesedaran awal tentang keperluan memelihara dan memulihara sumber bekalan air adalah penting bagi memastikan kita sentiasa memperoleh bekalan air bersih untuk menjamin kualiti hidup yang baik bukan sahaja pada hari ini tetapi juga pada hari-hari yang mendatang.

Justeru, antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan bekalan air bersih ialah dengan memperbanyakkan lagi pembinaan loji rawatan air. Ini bagi membolehkan air sungai, air tasik dan air dari sumber lain yang tercemar diproses menjadi sumber air bersih.

Selain itu, peningkatan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R & D) juga sangat penting dalam membantu menambah sumber bekalan air bersih. Ini kerana, aktiviti penyelidikan dan pembangunan secara proaktif akan membuka laluan yang lebih luas kepada penciptaan alatan moden dan canggih bagi merawat air buangan dengan lebih efektif. Malah, melalui R & D juga air laut boleh diproses untuk dijadikan sebagai air minuman.

Langkah seterusnya yang boleh diambil dalam meningkatkan sumber air bersih ialah dengan menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air bagi memastikan bekalan air bawah tanah dapat dimaksimumkan. Oleh yang demikian, segala aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan perlu dipantau dan dikawal agar dapat menyediakan lebih banyak lagi kawasan tadahan air.

Di samping itu, pembuangan sisa kimia dan toksik juga perlu dikawal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran. Misalnya, sisa buangan kimia dari aktiviti pertanian dan industri perlu diurus secara lebih sistematik agar pencemaran ke atas sumber air dapat dielakkan.

Sudah tiba masanya kita memikirkan dengan lebih serius lagi berhubung isu kekurangan bekalan air bersih yang bukan sahaja melanda negara kita tetapi juga negara-negara lain di seluruh dunia pada hari ini. Kita perlu sedar bahawa isu ini bukan suatu isu yang terpencil, sebaliknya ia merupakan isu global yang sangat serius yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh semua pihak.

Justeru, penglibatan seluruh anggota masyarakat dalam usaha memulihara sumber air adalah penting bagi memastikan kemelut ini dapat diatasi. Mudah-mudahan dengan kesedaran seluruh anggota masyarakat berhubung perkara ini akan dapat mempertingkatkan lagi tahap kebersihan sumber air kita. Lebih-lebih lagi dalam memastikan pengurusan dan pemeliharaan sumber air yang lebih mapan dan lestari pada masa akan datang agar anak cucu kita tidak mewarisi sumber bekalan air yang tercemar.