Bab 5 – Bukan realiti

Tomoya melawati bilik yang ingin dijadikan semula oleh Nagisa sebagai bilik kelab drama. Dia tidak sampai hati membiarkan Nagisa keseorangan memandangkan Nagisa tidak memiliki kadar kesihatan dan kecergasan yang baik. Oleh itu, dia cuba membantu Nagisa sekadar yang dia mampu. Dia pernah bertanya pada Fujibayashi Kyou mengenai syarat penubuhan sesebuah kelab.

“Kyou, bagaimanakah untuk kita membuka semula kelab yang sudah dibubarkan?”  Soal Tomoya.

“Tiga orang ahli dan seorang guru penasihat. Nanti. Adakah kelab ini untuk pelajar perempuan yang kamu pernah katakan dahulu?” Kyou memandang tepat pada Tomoya.

“Ya, namanya Furukawa Nagisa, kelas 3-C.” Jawab Tomoya.

“Ah,  selepas berkenalan dengan Tomoyo, sekarang ini Nagisa pula. Kamu ini memang suka menjaga hal orang lain. Lepas ini, tidak tahulah siapa yang ingin kamu bantu.” Kyou  dalam nada marah berkata.

“Hah? Aku cuma mahu menolongnya sahaja.”

“Apa yang kamu bincangkan ini? Beritahulah aku sekali.” Sampuk Youhei yang datang dari arah belakang.

Tomoya pun bercerita panjang pada Youhei mengenai Nagisa. Kyou dan adik kembarnya, Ryou akhirnya bersetuju untuk bertemu dengan Nagisa. Dalam fikiran Tomoya, tinggal lagi satu sasarannya, iaitu Kotomi. Dia berasa seakan aura yang hadir dalam diri Kotomi bagai membuka kisah yang lama yang cuba dilupakan. Selepas waktu kelima kelas berakhir, dia dan Youhei menuang kelas bersama kerana mahu berjumpa dengan Kotomi di perpustakaan. Dalam perjalanan, Youhei banyak bertanya mengenai Nagisa. Tomoya melayan pertanyaan rakan baiknya itu.

“Kenalkanlah aku dengan Nagisa. Aku rasa sudah benar-benar jatuh cinta padanya.” Ujar Youhei yang mengiringi Tomoya dalam aktiviti tidak berfaedah ini.

“Benarkah kamu jatuh cinta padanya?” Tomoya serius.

“Ya!” Youhei dengan yakin menjawab.

“Oh, yakah? Aku baru hendak memperkenalkan kau dengan jelitawan yang misteri.” Tomoya membalas kata-kata Youhei sambil mengeluh kecil.

“Eh, benarkah Okazaki?” Youhei tidak sabar. Sepanjang kehidupannya, dia tidak punya kekasih, oleh itu, dia sangat teruja.

“Erm, gadis itu comel, dan suka membaca. Jika kamu menegurnya, kamu akan dipelawa untuk makan bersamanya. Dia seorang gadis yang cantik, suci dan sangat comel. Malah, dia tidak mempunyai teman lelaki lagi.” Tomoya menyambung.

“Di mana dia? Kenalkanlah pada aku!” Youhei tidak sabar. Tomoya senyum kecil, kebahagiaannya di sekolah ini hanyalah untuk mengenakan rakan karibnya ini.

“Di dalam perpustakaan di hadapan kita.”  Baharu sahaja kata-kata itu dikeluarkan, Youhei meluru masuk ke perpustakaan. Namun, beberapa ketika, dia terdengar jeritan Youhei dan buku-buku berguguran jatuh daripada rak buku. Tidak lama kemudian, Youhei keluar dari perpustakaan itu dengan wajah yang penuh kekecewaan.

“Aku langsung………………………………….. tidak dipedulikannya!” Marah Youhei.

“Wah, lamanya kamu terhenti berkata.” Tomoya selamba. Senyum gembira.

“Dia tidak langsung peduli dengan kata-kata manis dan bual kecil aku. Aku menjadi berang lalu aku membaling beberapa buah buku berhampirannya dan menjatuhkan rak buku di perpustakaan, namun langsung dia tidak mengendahkan aku, mengapa….?” Luah Youhei dengan penuh kekesalan. Sudah dia tidak popular dalam kalangan perempuan, malah diabaikan sedemikian rupa.

“Siapakah perempuan tersebut?” Sambung Youhei menyoal Tomoya.

“Dia ialah Ichinose Kotomi, kamu tahu bukan, nama itu?” Jelas Tomoya dengan bangga. Youhei mengeluh.

“Eh, Ichinose Kotomi… Pelajar perempuan genius yang popular. Dengan kata lain, secara asasnya, dia berada dalam dimensi dunia yang lainlah. Ah….. Membazir masa aku sahaja.” Ujar Youhei yang berlalu pergi, berlagak tenang walaupun kecewa melanda hatinya.

“Dimensi dunia yang lain?” Tomoya memandang Youhei yang sudah menjauhinya itu. Dia meneruskan langkahnya ke destinasi.

Setibanya dia di dalam perpustakaan, dia menggeleng-geleng melihat buku-buku yang disepah oleh Youhei, selain memandang pelik kelibat Kotomi yang masih asyik membaca. Dia mendekati Kotomi perlahan-lahan. Dia pun memanggil nama Kotomi.

“Hei, Kotomi.” Namun, tiada reaksi daripada Kotomi.

“Kotomi-chan….” Tomoya lembut berbicara. Kotomi berpaling ke arahnya.

“Tomoya-kun, salam sejahtera.” Tomoya hanya memandang sahaja Kotomi yang kegembiraan kerana kehadirannya.

Kotomi kemudiannya menjarakkan pemandangannya ke arah kawasan sekeliling perpustakaan. Terdapat buku-buku yang bersepahan dan rak buku yang telah tumbang memburukkan keadaan sekitar. Dalam pemikiran Kotomi kini penuh persoalan. Kotomi lantas  mengalih pandangan kembali ke arah Tomoya, dan menemui konklusinya sendiri.

“Tomoya-kun, kamu tidak boleh menyelerakkan perpustakaan  sebegini rupa.” Suara comel Kotomi cuba diseriuskan tetapi gagal menampakkan kemarahan.

“Ah, kamu ini memang tidak pernah berubah.” Keluh kecil Tomoya. Dia menjangkakan kata-kata itu, meskipun berharap yang Kotomi mengungkapkan sesuatu di luar jangkaannya.

Kotomi dan Tomoya masing-masing menggembleng tenaga untuk mengemaskan buku-buku yang bertaburan pada lantai. Tomoya sempat melihat wajah gembira Kotomi biarpun terpaksa mengemas buku-buku yang diselerakkan oleh Youhei. Dia tidak pasti kehadiran cahaya bahagia itu dari mana. Mungkin Kotomi seorang gadis yang suka akan kerja-kerja rumah.

“Tujuan aku berjumpa dengan kamu adalah untuk menjemput kamu ke kelab drama.” Tomoya memecahkan suasana sepi itu.

“Kelab drama?” Kotomi memandang tepat ke arah Tomoya.

“Emm… Bukankah kamu tidak menyertai mana-mana kelab? Jadi, eloklah kamu menyertai kelab ini. Lagipun, kamu akan bertemu dan berkenalan dengan Furukawa, presiden kelab itu.” Jelas Tomoya panjang lebar.

“Adakah dia akan membuli saya?” Soal lagi Kotomi.

“Ah…. Tidak. Aku jamin perkara itu tidak akan berlaku.” Spontan Tomoya berkata berdasarkan pada personaliti Nagisa yang dikenalinya.

“Baiklah…” Kotomi mengangguk kecil. Ada sedikit senyuman pada raut wajah Kotomi.

Selepas mengemas buku-buku tersebut, Tomoya pun mula melangkah keluar dari perpustakaan sambil diekori oleh Kotomi. Perjalanan ke bilik kelab tersebut hanya diiringi dengan seribu kebisuan. Tomoya hanya memerhatikan Kotomi yang agak gementar di sisinya. Sesekali suara kurang enak daripada pelajar-pelajar yang memerhatikan mereka berdua melalui kaki lima.

Mereka tiba di hadapan pintu bilik kelab drama. Tomoya membukanya dan melihat Nagisa mengaturkan barang-barang tinggalan kelab tersebut. Kotomi mula menyembunyikan dirinya di belakang Tomoya.

“Yo, Furukawa. Aku ada membawakan seorang ahli kelab yang baru.” Sapa Tomoya, selamba.

“Selamat datang, Tomoya.” Balas Nagisa, sambil memerhatikan kelibat Kotomi berselindung di belakang Tomoya.

“Namanya Kotomi. Dia seorang pelajar yang genius dan mempunyai kosa kata yang tinggi disebabkan minatnya yang suka membaca. Kotomi, ucaplah selamat padanya.” Tomoya berpaling ke arah Kotomi.

“Tomoya, selamat sejahtera…” Kotomi menjawab.

“Bukan pada aku!” Tomoya menolak Kotomi menghadap Nagisa.

“Nama saya Kotomi, dieja dengan tiga huruf hiragana. Panggillah saya Kotomi-chan.” Kotomi memperkenalkan dirinya. Nagisa tersenyum.

“Nama saya Nagisa, dieja dengan satu huruf kanji. Saya ada banyak nama panggilan….”

“Nagisa-chan…” Kotomi memotong kata itu.

“Ya…” Nagisa tersenyum. Perbualan itu terhenti di situ. Tomoya mengeluh kecil. Sememangnya dia mengerti perasaan Kotomi sekarang. Gementarnya masih belum hilang.

Kotomi dan Nagisa mula bergaul mesra. Kotomi begitu menghargai persahabatan itu. Dia lega. Dia mahu Kotomi hidup dengan normal seperti orang lain, dan memiliki sahabat untuk berbicara. Entah mengapa dia tersentak dengan tindakannya ini. Mengapakah dia harus menyibukkan diri membantu Kotomi? Dia tidak mengerti. Dia faham apabila Kyou marah pada sikapnya yang suka menjaga hal orang lain. Terutamanya, apabila dia berbicara mengenai perempuan. Dia bukan lelaki yang mengejar cinta. Dia ikhlas. Namun, Kotomi ini istimewa. Dia tidak tahu perasaannya itu. Walau bagaimanapun, hatinya sering menjerit kecil mencari memori yang hilang. Dia dan Kotomi bagai ada satu ikatan antara mereka berdua. Akan tetapi, dia tahu, dia perlu membimbing Kotomi ke realiti semula. Tetapi apakah realiti itu?

“Tomoya…” Kata-kata itu mengembalikannya ke dunia realiti. Dia memandang ke arah empunya suara itu, Kotomi.

“Awak letih?” Soal Nagisa, sebagai respons kepada kelakuan Tomoya yang termenung jauh.

“Tidak… Cuma terfikirkan sesuatu…” Tomoya tersenyum kecil.

Kemudiannya Tomoya membawa Kotomi bertemu dengan Kyou dan Ryou. Dia ingin menambahkan jumlah rakan Kotomi. Lagipun, kawan perempuan yang dia ada hanyalah mereka berdua.

“Tunggu Tomoya, siapa pula gadis yang engkau jaga sekarang?” Kyou, kakak kembar kepada Ryou menunjukkan reaksi kurang senang. Tomoya telah menjangkakan kata-kata itu.

“Adakah dia akan buli saya…?” Kotomi bersembunyi di belakang Tomoya. Kelihatan benar-benar ketakutan.

“Namanya Kotomi. Dia agak pemalu…” Terang Tomoya ringkas. Kyou memandang tepat kepada Kotomi, namun bukan menunjukkan reaksi marahnya.

“Sabar kakak…” Ryou memujuk kakaknya yang kemarahan itu.

“Jadi, apakah tujuan kamu datang ke sini?” Kyou bertenang kembali.

“Aku hendak memperkenalkan dia pada kamu berdua. Kamu berdua memiliki ramai kenalan. Apakah kiranya jika kamu berkenalan dengan Kotomi?” Tomoya tersenyum.

“Kotomi ucaplah selamat…” Tomoya berpaling ke arah Kotomi.

“Tomoya, selamat sejahtera….” Kotomi sopan.

“………” Tomoya senyap. Seperti biasa, Kotomi menyalahertikan arahannya tadi.

“Ok, latihan tamat, kita mula latihan sebenar…” Tomoya menolak Kotomi daripada belakang untuk menghadap Kyou dan Ryou. Seperti biasa, dengan nada kaku, Kotomi memperkenalkan diri. Ryou memberikan respons yang baik kepada Kotomi. Kyou juga begitu, tetapi dengan caranya sendiri. Mereka mula berkenalan, dan akhirnya menjadi sahabat. Tomoya tumpang gembira dengan penerimaan rakan-rakannya (kecuali Youhei) terhadap Kotomi. Mereka kemudiannya berkumpul di bilik kelab drama untuk mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Tomoya mengambil keputusan untuk menemani Kotomi. Tidak banyak dialog yang dibualkan melainkan persoalan titik-bengik yang dicipta oleh Kotomi. Namun, Tomoya dapat melihat senyuman bahagia Kotomi, yang bagaikan hilang pada pertemuan pertamanya dengan Kotomi. Persoalan itu akhirnya membawa kepada satu pertanyaan.

“Kenapakah kamu tidak gentar bercakap dengan aku?” Soal Tomoya, yang ingin tahu mengapa Kotomi tidak kisah berdampingan dengannya. Jika pelajar lain, terutamanya perempuan, pastinya memilih mengelakkan diri daripada mendekatinya. Kyou dan Ryou mungkin berbeza kerana mereka merupakan ketua kelasnya (Kyou pada tahun dua, Ryou pada tahun tiga)  yang menguruskan salah lakunya (bersama Youhei) di dalam kelas. Nagisa pula mungkin tidak mempunyai teman lain, kecuali dirinya, apabila mula-mula mereka bertemu semasa berjalan ke arah sekolah.

“Kerana Tomoya ialah Tomoya.” Balas Kotomi, dengan penuh sasteranya.

“Hah? Bukan itu maksud aku… Aku tidak mahu jawapan bermadah ini, ” ujar Tomoya.

“Jadi, Tomoya bukan Tomoya?” Soal Kotomi, seakan cuba mengerti maksud kata-katanya.

“Ya, akulah orangnya yang 100% tulen, Tomoya.” Jawab Tomoya, terpaksa.

“Baguslah, Tomoya ialah Tomoya…” Kotomi tersenyum gembira.

“…..” Tomoya tidak mampu berkata apa-apa. Namun, senyuman Kotomi itu membawa seribu persoalan kepadanya. Apakah perasaan itu? Apakah sebenarnya yang tersirat dalam hati ini? Siapakah sebenarnya gadis bernama Kotomi?

Persoalan hanya tinggal persoalan. Realitinya…. Monolog Tomoya berkecamuk dalam mindanya. Namun, dia membiarkan kekeliruan itu berlalu pergi, dan mempedulikan kontra fikirannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s