Bab 8 Hari ini

Kotomi nampak begitu ayu. Sangat cantik. Sudah tentulah, gadis itulah yang dicintainya. Tomoya menarik nafas bangga. Inilah trofi kemenangan untuknya. Tanda keagungan cintanya selama ini. Dia juga berpakaian segak. Pastinya hari ini mereka rasmi disatukan, dengan perkahwinan. Perkahwinan mereka cukup sederhana. Namun, kemeriahan tetap ada. Pengapitnya, Tomoyo juga tidak putus-putus mengucapkan tahniah.

“Tahniah….” Youhei, sahabat baiknya datang bersama adiknya, Mei.

“Siapakah kamu?” Soal Tomoya, seperti biasa mengenakan Youhei. Youhei kini sudah kembali berambut hitam, yang dahulunya di’dye’ kuning. Dia dijadikan bahan ketawa oleh rakan-rakan lamanya.

“Bukankah kamu sudah tahu mengenai diri aku!” Marah Youhei. Tetapi, selepas itu mereka ketawa. Ketawa yang membahagiakan. Sunohara Youhei kini bekerja sebagai pemandu teksi. Sakagami Tomoyo pula bekerja sebagai pengarah di sebuah syarikat di Tokyo. Fujibayashi Kyou pula menjadi pengajar di pusat perkembangan kanak-kanak. Sementara adik kembar Kyou, Fujibayashi Ryou bertugas sebagai jururawat di hospital swasta berhampiran. Furukawa Nagisa pula….

“Kenapa dengan kamu ini, nampak sedih sahaja?” Soal Mei, dengan nada serius.

“Tiada apa-apa yang perlu dirisaukan…” Tenang Tomoya menjawab. Tomoya kini bekerja sebagai juruelektrik di sebuah syarikat di Tokyo. Selepas menamatkan sekolah tinggi, dia telah mengambil kursus di syarikat tersebut sebelum diterima bekerja. Itu pun atas bantuan kenalan Kotomi. Setelah bekerja, dia menyewa apartmen kecil berhampiran kawasan Tokyo. Kotomi juga tinggal di situ. Kotomi melanjutkan pelajaran ke Universiti Tokyo, justeru, lebih mudah dia tinggal bersama-sama Tomoya.

Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dewan perkahwinan. Hatinya berdebar-debar. Namun, dia tidak pernah gentar perkahwinan ini. Saat inilah yang dinanti-nantinya. Dia pernah hampir kehilangan Kotomi untuk kali kedua. Zaman kecilnya sekali dan hampir pada zaman remaja mereka.  Tekad Tomoya untuk mendapatkan kembali hati kecil Kotomi membuahkan kejayaan. Sudah tentulah, dengan bantuan rakan-rakannya.

Selepas mengetahui diri sebenar Kotomi, Tomoya cuba untuk mendapatkan nasihat guru kelas Kotomi. Guru kelas Kotomi meletakan harapan untuk Tomoya memujuk kembali Kotomi untuk ke sekolah. Biarpun Tomoya seorang pelajar bermasalah, guru kelas Kotomi itu tahu, kerana Tomoya, Kotomi mula menerima orang-orang di sekelilingnya. Malah, Kotomi lebih banyak menghadiri kelas dan respons ini merupakan khabar berita yang baik. Encik Koumura, Kaunselor sekolah juga terkejut dengan perubahan Kotomi. Lebih-lebih lagi, apabila melihat Tomoya meluangkan masa bersamanya.

Harapan itulah menjadikan Tomoya lebih mahu menawan hati Kotomi semula. Tambahan lagi, hari jadi Kotomi yang hampir tiba. Kyou, Ryou, Nagisa dan dirinya sudah berjanji untuk merainya bersama. Dia tidak mahu lagi mungkir janji. Dia menatap buku yang dipinjamkan kepadanya oleh Kotomi. Dia ingat lagi kata-kata Kotomi.

“Buku ini untuk awak…”

“Hmm…” Tomoya mengambil buku yang dihulurkan kepadanya. Agak tebal buku itu.

“Awak tidak perlu baca buku itu, cukuplah awak simpan sahaja…”

Keesokan harinya, dia berada di halaman rumah Kotomi. Pintu rumahnya masih berkunci. Namun, pagar belakang dibiarkannya terbuka sahaja. Tomoya mengambil keputusan untuk mengembalikan semula keceriaan pada taman tersebut. Dia cuba menggambarkan kembali struktur dan hiasan pada taman itu. Sedang rancak dia memulakan kerjanya, datang Ryou, Kyou dan Nagisa yang ingin melawat Kotomi.

Setelah gagal mendapatkan respons Kotomi yang mendiamkan diri di dalam rumah itu, Tomoya menjelaskan hal sebenar kepada mereka bertiga. Mereka bertiga juga merancang untuk membantu Tomoya, namun Tomoya mahu mereka menyediakan hadiah untuk Kotomi. Tomoya juga bercadang untuk ponteng beberapa hari untuk melaksanakan misinya. Lagipun, dia memang terkenal sebagai pelajar bermasalah. Ketiadaannya di sekolah bukan suatu masalah. Diam mengemas sedikit demi sedikit halaman itu, menjadikan laman kosong itu semakin elok.

Kyou, Ryou dan Nagisa telah merancang untuk menghadiahkan viola yang juga dikenali Tomoya sebagai senjata maut Kotomi. Apa tidaknya, sebaik sahaja Kotomi menggeseknya, gegendang telinga orang yang mendengarnya pasti kesakitan akibat kenyaringan melampau. Meskipun begitu, Tomoya hanya menurut sahaja. Semasa membawa viola itu ke rumah Nagisa untuk dibalut, satu insiden telah berlaku menyebabkan viola tersebut patah. Mujur ada kedai yang mampu membaiki viola tersebut. Walau bagaimanapun, untuk membaiki viola itu memakan masa yang agak lama.

Tomoya bertemu dengan lelaki yang dianggap orang jahat oleh Kotomi. Lelaki itu pernah bertemu dengan Tomoya selepas Kotomi mengasingkan dirinya. Lelaki itu ialah rakan sekerja ibu bapa Kotomi. Lelaki itu jugalah yang menguruskan kehidupan Kotomi. Dalam pendaftaran persekolahan, nama lelaki itu, Ketsuo Matsuhida, merupakan orang yang bertanggung jawab sebagai penjaga Kotomi. Jika tidak, Kotomi pasti akan dihantar ke dalam badan kebajikan sebagai anak yatim piatu. Encik Matsushida masih lagi meneruskan kajian teori Ichinose milik bapa Kotomi. Dia juga berharap Tomoya dapat memberikan sokongan pada Kotomi untuk kembali ceria. Lelaki itu punya sesuatu yang paling bermakna buat Kotomi. Khazanah daripada ibu bapa Kotomi. Cuma, masa tidak pernah mengizinkan Encik Matsushida untuk memberikannya pada Kotomi. Sebenarnya, Kotomi sendiri yang tidak pernah memberikan peluang pada lelaki itu.

Hari ketiga berlaku dengan perkembangan yang agak baik. Dia mula menanam pokok bunga yang dibelinya. Itu pun, sedikit sumbangan yang dihulurkan oleh Encik Matsushida. Tomoya, kadang kala ditolong oleh Kyou, Ryou dan Nagisa pada masa terluang mereka, sedaya upaya mengembalikan seri taman yang terbiar itu. Kotomi sering mengintai daripada tingkap atas, sekali sekala, memerhatikan usaha Tomoya. Dia mengecat kembali kerusi yang sudah berkarat, membaiki pagar yang reput serta membersihkan lalang-lalang yang tumbuh meliar. Dia melakukan semua kerja itu hingga ke lewat malam. Dia sekadar tidur 4 jam sahaja untuk menyiapkan taman di halaman rumah Kotomi.

Hari keempat berlalu, dan hanya tinggal hari ini sahaja untuk dia menyiapkan kerja tersebut, Esok ialah hari jadi Kotomi. Mujurlah hari ini ialah hari ahad. Kyou, Ryou dan Nagisa turut sama membantunya. Namun, hatinya sering terdetik. Berbaloikah usahanya ini? Adakah Kotomi mahu menerima kembali dirinya? Lewat petang, Tomoya menyuruh mereka bertiga pulang. Walaupun masih terdapat lagi kerja, Tomoya melarang mereka untuk pulang lewat kerana bimbang akan keluarga mereka. Terutama, mereka bertiga ialah perempuan. Setelah kelibat mereka bertiga hilang daripada pandangan Tomoya, Tomoya meneruskan kerja. Persoalan tadi terus membelenggu dirinya. Entah mengapa tangannya seolah-olah semakin berat untuk digerakkannya. Dia hampir sahaja mahu mengalah….

“Tomoya…” Suara Kyou kedengaran dari arah belakang. Lantas, dia berpaling.

“Kyou, Fujibayashi, Nagisa… Mengapakah kalian masih di sini? Nanti keluarga kalian marah, terutamanya kamu, Nagisa!” Tegas Tomoya dalam tuturnya.

“Kami tahu Tomoya-kun akan melakukan seorang hingga lewat malam. Biarlah kami bantu sedaya yang mungkin…” Nagisa bersuara, menyatakan hasrat murni mereka.

Ya, aku tidak keseorangan. Aku telah disokong oleh mereka. Aku yakin, aku juga mampu menjadi penyokong dalam hidup Kotomi. Monolog hati Tomoya – kegembiraan tiba-tiba kembali. Persoalan kosong itu dibunuhnya. Mengapakah dia perlu ragu?

“Baiklah, dalam setengah jam sahaja. Selepas itu, kalian mesti pulang.” Tomoya tersenyum. Kata-kata itu dibalas kegembiraan.

Kotomi, selama ini aku sentiasa kesunyian. Tetapi, aku lebih sunyi apabila kehilangan kamu. Apabila pertama kali aku bertemu untuk sekian lama, biarpun aku sudah melupai kamu, kehangatan hidupku mulai terasa. Perpustakaan – tempat ‘bersumpah’ – tetap aku jejak untuk bertemu dengan kamu. Kotomi, sebaik sahaja kamu tersenyum mesra, hatiku berdebaran bahagia. Mungkin perpisahan lalu mengajarku untuk lebih menghargai kamu. Perlahan-lahan dia menyempurnakan kerja itu. Tomoya yakin. Dia mampu untuk memenangi hati gadis yang disayanginya itu.

Menjelang subuh, dia berjaya melangsai kerjanya. Halaman itu terbentang sebuah taman yang cantik. Tomoya sedaya upaya cuba mengembalikan taman itu ke rupa yang asal. Setelah membasuh tangan, dia duduk di atas kerusi di tengah-tengah taman itu. Dia meletakkan buku pemberian Kotomi di atas meja lalu membukanya.

“Hahaha… Kini, aku boleh membacanya, bukan, Kotomi?” Monolog sendiri Tomoya sambil membuka buku cerita itu.

“Hari kelmarin, aku terlihat seekor rusa. Hari semalam, aku terlihat seekor arnab. Hari ini, ialah kamu…..” Kata-kata yang tertulis dalam buku itu pernah diluahkan oleh Kotomi. Kotomi pernah membacakan cerita buku padanya. Perlahan-lahan, kesedarannya semakin kabur. Dia terlena akhirnya. Lenanya membawa hingga ke waktu petang.

Dia bermimpi kisah silamnya semula. Saat bila dia bertemu Kotomi. Minit-minit tawa ria dilihatnya daripada Kotomi. Benar kata-kata silam, kita tidak akan menghargai sesuatu melainkan kita kehilangannya. Dia mulai faham perasaan itu. Siapakah sebenarnya Kotomi dalam hidupnya.

“Kamu sudah tersedar?” Soal Kotomi. Kepala Tomoya masih lagi tertangkup di atas meja. Tomoya terjaga apabila sahaja terdengar pintu cermin rumah Kotomi terbuka. Kelibat Kotomi kelihatan menggembirakan hati kecil Tomoya.

“Mungkin aku masih terlena lagi….” Tomoya, dengan senyuman, menyapa kehadiran Kotomi.

“Saya sentiasa mengingati seorang budak lelaki yang tersesat di laman ini. Saya benar-benar menyukai budak lelaki itu. Hanyalah dia satu-satunya sahabat saya…. oleh itu…. oleh itu… (air mata mengalir) saya sentiasa menantikannya….”

“Kotomi…” Tomoya menghadap Kotomi kini.

“Hari kelmarin, saya terlihat seekor rusa. Hari semalam, saya terlihat seekor arnab. Hari ini, ialah kamu….. Kamu ialah Tomoya-kun.” Kotomi melafazkan kata-kata yang meruntun hati Tomoya.

“Aku kembali ke sini untuk mendapatkan kamu… Semua orang menantikan kamu….” Suara hiba Tomoya membalas kata-kata itu. Dia menghulurkan tangan kepada Kotomi. Kotomi membalasnya.

“Kotomi….” Tomoya memeluk Kotomi rapat-rapat. Dia tidak seolah-olah tidak mahu lagi melepaskan Kotomi. Kotomi membalas pelukan Tomoya.

“Kamu… Adakah kamu mencintai aku?” Tomoya akhirnya mencurahkan isi hatinya. Tomoya dapat rasa akan air mata Kotomi mengalir lagi, dengan versi berbeza.

“Erm…”

“Adakah kamu, pengantin lelaki sudi mengambil dia sebagai isterimu?” Kata-kata paderi itu mengembalikannya pada realiti. Ya, hari ini, dia dan Kotomi sedang melangsungkan perkahwinan.

“Ya, saya sudi…” Ucap yakin Tomoya.

“Adakah kamu, pengantin perempuan sudi mengambil dia sebagai suamimu?” Kata-kata yang sama diajukan pada Kotomi pula.

“Ya, saya sudi…” Kotomi tersenyum bahagia. Senyuman itulah yang selalu menyelamatkan dirinya.

“Saya, dengan rasminya mengumumkan anda berdua sebagai suami dan isteri.” Sorakan kegembiraan bergema dalam dewan itu. Tomoya terharu apabila neneknya turut menghadiri majlisnya bersama-sama ayahnya. Dia sudah memaafkan ayah. Hubungan mereka berdua semakin baik. Kenalan Kotomi, yang kebanyakannya pengkaji sains dan rakan sejawatnya turut memeriahkan suasana.

“Kotomi….” Tomoya mengucup bibir ayu Kotomi. Seperti mana mula-mula mereka berkucupan, di halaman rumah Kotomi.

Mereka melangkah keluar daripada dewan. Jemari halus Kotomi kemas memaut lengan milik lelaki yang dicintainya. Kotomi memandang ke arah langit membiru itu. Sekali lagi Kotomi mengulangi kata-kata silam itu.

“Langit memang cantik….”

“Ya….” Jawapan yang sama daripada Tomoya.

Di dalam rumah Kotomi masih tersimpan anak patung, yang telah ditemui rakan sekerja ayah Kotomi, yang merupakan hadiah hari jadi Kotomi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s