Bab 9 Gadis misteri – Fuko

“Kotomi, mari sini…” Ujar Tomoya, perlahan.

“Emm…” Kotomi menghampiri Tomoya. Hari ini, dia menjejakkan kakinya kembali ke sekolah ini selepas mengalami gangguan emosi. Dia semakin yakin melangkah. Dia sudah berhadapan dengan lelaki yang pernah dianggapnya orang jahat, Encik Matsushida.

“Kotomi-kun…”  Suara lelaki itu perlahan.

“Minta maaf kerana meminta Matsushida-san untuk datang ke sini…” Dengan sopan Tomoya bercakap.

“Tidak mengapa. Malah, saya rasa gembira dapat datang ke sini…” Kata Matsushida lalu mengangkat tinggi beg yang di bimbitnya.

“Beg tas ayah saya…” Kotomi bersuara – terus sebaik melihat beg tas itu.

“…….” Tomoya, Kyou, Ryou dan Nagisa masing-masing terpegun.

“Benda ini tiba di makmal kajian pada lewat malam tadi. Bila saya membukanya, saya dapat mengenal pasti beg ini milik Profesor Ichinose, dan saya sendiri mahu memberikan kepada kamu pada hari ini…”

“Kertas kerja itu ada di dalamnya?” Kotomi bertanya. Tomoya memandang ke arah Kotomi. Memang soalan itu akan pasti diajukan.

“Bukalah beg itu sendiri.”

Kotomi menghampiri beg itu yang sudah diletak di atas meja. Namun, tangannya terhenti apabila dia cuba membukanya. Perasaan ragu-ragu menguasai dirinya. Dia tak pasti lagi apakah perasaan itu.

“Kotomi, kami di sini bersama kamu.” Tomoya bersuara semangat.

“Ya, Kotomi, berusahalah!” Kyou lantas memberikan semangat.

Kotomi pun menguatkan hatinya. Perlahan-lahan butang beg itu dibuka. Debaran hatinya masih tidak berhenti, namun nekadnya tinggi. Tiada apa yang penting selain kebenaran. Rakan-rakan sekelilingnya juga merasai kehangatan debaran itu. Mereka juga ingin tahu isi kandungan beg itu.

“Hah…” Pandangan Kotomi terpaku sebentar. Namun tidak lama. Dengan cermat dia mengeluarkan isi kandungan beg itu – sebuah patung beruang. Kemudiannya, sekeping sampul surat jatuh daripada patung tersebut. Dia meletakkan patung itu di atas meja dan mencapai surat itu. Dia menatap tulisan pada surat itu.

”IF YOU FIND THIS SUITCASE, PLEASE TAKE IT TO OUR DAUGTHER.”

K & M

“Apa yang tertulis pada sampul surat itu?” Soal Kyou.

“Jangan tanya aku…” Balas Tomoya, yang sememangnya lemah dalam bahasa Inggeris.

“Mmm… Cuba lihat… kalau…. beg tas ini…” Ryou cuba mentafsir perkataan tersebut.

“Kalau kamu terjumpa beg tas ini, tolong pulangkan beg ini kepada anak perempuan kami.” Kotomi menerangkan maksud kata-kata itu dengan pantas.

“Tandatangan itu ialah merujuk pada huruf awal Ichinose Koutarou dan Ichinose Mizue. Erti kata yang lain, merujuk kepada ibu bapa Kotomi-kun…” Tambah Matsuhida.

“Beginilah tandatangan mereka selalu apabila mereka menulis kertas kerja bersama.” Sambung Kotomi.

“Dan beg itu milik Profesor Ichinose. Semestinya beg itu dihanyutkan arus untuk jangka masa panjang. Seseorang telah menjumpainya, membuka beg itu, dan membaca surat itu. Selepas itu, mereka menyerahkan kepada orang lain, untuk tujuan memulangkannya. Perkara itu pastinya berlaku dan serah-menyerah terjadi dalam jangka masa yang panjang. Ada bukti beberapa orang membuka dan menyentuh beg tersebut…” Matsuhida menjelaskannya dengan tenang.

“Mungkin kamu tidak tahu apakah yang terdapat dalam sampul kertas yang kamu bakar, bukankah begitu?” Tanya Matsuhida kepada Kotomi.

“Salinan kertas kerja ayah dan ibu tulis?” Kotomi mengagak.

“(Geleng kepala) Tidak mungkin wujudnya salinan kedua kertas kerja itu.” Jawapan Matsuhida itu membuat Kotomi terkejut.

“Bapa kamu mengedit kertas kerja itu hingga ke saat terakhir sebelum mereka berlepas, justeru, tiada berpeluang untuk membuat salinan kedua.”

“Jadi, apakah yang terdapat dalam sampul itu?” Pantas Kotomi mencari kepastian.

“Dalamnya ialah katalog patung beruang. Mungkin kamu tidak percaya akan kata-kata saya jika saya mengkhabarkannya sebelum hari ini, tetapi pastinya kini kamu mempercayai saya. Saya masih mengingati kata-kata profesor, untuk pertama kali, anak perempuan saya meminta sesuatu daripada saya. Riak wajahnya jelas menunjukkan kegembiraan yang tidak terhingga apabila mengungkapkan kata-kata itu.”

“Tapi, bukankah sepatutnya kertas kerja itu ada pada beg itu? Kertas kerja milik ayah dan ibu…” Kotomi tidak dapat menahan kesedihan.

“Bacalah isi surat itu…” Matsuhida merujuk kepada isi sampul surat itu.

Kotomi membukanya perlahan-lahan. Dengan teliti dia membetulkan kertas yang berlipat itu. Dia melihat tulisan pada kertas itu. Dia mengesahkan tulisan surat itu, milik ayah dan ibunya…

Kotomi-chan yang disayangi….

Dunia ini begitu indah. Biarpun ada ketikanya dipenuhi kesedihan dan air mata. (ayah)

Kotomi kami yang comel, selamat hari jadi! (ibu)

“Ayah… Ibu….” Air mata Kotomi mulai bergenang.

“Ayah dan ibu kamu membuangkan segala di dalamnya, termasuklah kertas kerja itu sebaliknya mengutamakan patung beruang dan surat itu. Mereka ingin menerangkan kewujudan asal dunia sebagai sesuatu yang cantik, suci, dan seringkas yang mungkin. Tetapi, saya tidak pernah melihat perkataan secantik yang tertulis dalam surat itu. Ibu bapa kamu pastinya mendoakan kebahagiaan kamu hingga saat mereka yang terakhir.” Kata-kata Matsuhida membawa senyuman pada wajah Kotomi.

“Ayah… Ibu…. Saya sudah menanti bertahun-tahun lamanya. Jangka masa yang berlalu itu, saya menangis di dalam rumah sepi kita. Kemudiannya, Tomoya-kun datang mendapatkan saya. Saya berasa seperti dirahmati kebahagiaan sekarang – sesungguhnya saya terlalu bahagia.”

Saat itu, Tomoya bagai melihat ada cahaya kecil keluar daripada surat itu. Itu ialah cahaya kebahagiaan, dan barang siapa yang mendapatkannya akan ditunaikan permintaannya. Namun, tiada siapa pun yang pernah nampak cahaya kecil legenda itu, kecuali mereka yang terpilih. Tomoya hanya memandang pergi cahaya itu. Dia tidak pernah ingin memiliki cahaya itu. Kalau dia miliki pun, dia tidak tahu apa yang diingininya. Seraya cahaya itu memberikan pandangan pada waktu silam.

Surat serta bagasi itu telah meranjau begitu jauh daripada tangan ke tangan yang lain. Berapa negarakah yang telah dilalui oleh bagasi itu? Aku tak pasti. Tetapi, akan dapat merasakan doa dan harapan ibu bapa Kotomi yang inginkan dia untuk hidup bahagia. Monolog Tomoya dalam hatinya, tanpa disedari air matanya mengalir. Entah mengapa, dia terdengar suara milik ayah Kotomi, yang pernah dikenalinya, terngiang.

“Pak cik harap, kamu dapat menjaga Kotomi. Pak cik serahkan kepada kamu….” Kata-kata ini ialah bicara akhir sebelum hari jadi Kotomi dahulu. Air mata Tomoya menitis sepi.

“Tomoya?” Kyou di sebelahnya memandang hairan.

“Tidak, aku tidak apa-apa….” Dia mengesat air matanya lekas-lekas. Dia memandang ke arah Kotomi yang masih hanyut dengan kebahagiaan itu. Dia mendoakan kebahagiaan itu akan kekal untuk selamanya…….

Seminggu pun berlalu dan mereka mula sibuk dengan aktiviti pesta tahunan sekolah. Mereka ada masa lebih kurang sebulan untuk membuat persiapan persembahan teater yang akan dipersembahkan oleh Nagisa. Atas nasihat Encik Koumura, guru penasihat kelab, mereka telah bertemu dengan bekas guru, cik Ibuki untuk mendapatkan sedikit panduan. Mereka pun menuju ke rumah bekas guru sekolah itu.

“Salam sejahtera, Ibuki-sensei…” Nagisa memulakan perbualan sebaik sahaja melihat Cik Ibuki melangkah keluar dari rumahnya.

“Salam sejahtera. Nagisa-chan, lama kita tak berjumpa.” Balas cik Ibuki yang mengenali dan sempat mengajar Nagisa sebelum dia berhenti. Nagisa ialah pelajar yang mengulang semula sekolah tingginya, justeru dia tahu akan status cik Ibuki sebagai guru sebaliknya buat Tomoya dan rakan-rakan yang lain, mereka tidak mengenali cik Ibuki.

“Jemputlah masuk..” Tanpa banyak bicara, mereka memasuki rumah sederhana besar milik cik Ibuki. Terus sahaja cik Ibuki ke dapur mengambil teh dan kudapan untuk tetamunya. Baginya, kedatangan mereka memberikan kenangan lamanya semasa mengajar dahulu.

Seperti biasa, Nagisa tersenyum ceria, mewarnai pertemuan semula selepas tiga tahun. Di sebelah Nagisa, Tomoya dan rakan-rakan turut tersenyum sebagai respons kepada keceriaan Nagisa. Kemudiannya, Nagisa memperkenalkan ahli-ahli kelab drama kepada cik Ibuki. Tujuan mereka datang bukan sahaja mendapatkan nasihat dan pendapat, malah untuk mengetahui selok-belok aktiviti kelab drama. Fujibayashi Ryou, yang dilantik sebagai setiausaha dan bendahari kelab (secara paksa) menyalin keterangan cik Ibuki dan mempelajari pengurusan wang dan peruntukan sesuatu pementasan. Nagisa, presiden kelab, mendapatkan video lama kelab drama serta contoh-contoh skrip. Tomoya pula, hanya menghirup teh yang dihidangkan kerana dia kehilangan arah di sini. Kalau ada Sunohara, bolehlah dia membuli kawan baiknya itu. Kyou dan Kotomi asyik berbincang mengenai alatan dan keperluan pementasan kelak. Dia bagaikan berada di dalam dunia asing.

“Tomoya….” Suara kecil berbisik di telinganya. Dia mencari punca suara itu. Kemudiannya pandangannya kelam seketika. Dia nampak seorang gadis muda tidur di perbaringan dengan tiada sebarang gerakan.

“Mahu bantu gadis itu?” Suara kecil itu berbisik lagi.

“Apakah maksud kamu? Siapakah kamu?” Tomoya masih mencari punca suara itu.

“Kalau mahu, saya akan ambil satu daripada cahaya kebahagiaan kamu. Kalau kamu mahu…..” Tomoya memandang kelibat gadis lain yang berpakaian putih, dengan tangannya menadah membawa satu partikel cahaya. Kemudiannya, dia melihat gadis lain yang terbujur kaku, biarpun masih berdenyutan nadinya. Kasihan. Dia memandang gadis itu seperti dirinya yang lama. Sekarang, dia punya Kotomi. Kotomilah penyeri hidupnya.

“Ambillah. Selamatkan gadis itu….” Tomoya tersenyum.

“Seperti biasa, ay……..” Gadis itu berpaling daripadanya dan melenyapkan diri.

“Aku tidak mendengar apa yang ingin kamu sampaikan….” Kata-kata itu menyedarkannya daripada ilusi tadi. Dia berada di dalam sebuah bilik. Bilik? Dia lihat ada seorang gadis, yang baharu sahaja bangkit daripada katil putih itu. Mereka bertentangan mata.

“Tomoya-san, apa yang kamu…….” Cik Ibuki yang memasuki bilik khas di rumahnya untuk adiknya yang koma, kaget dengan kelakuan Tomoya yang masuk ke bilik ini tanpa sebarang kebenaran. Namun, kata-kata Ibuki mati setelah melihat adiknya yang koma sedar kembali.

“Fuko….” Dia lantas memeluk adik kesayangannya ini. Air mata kegembiraannya mengalir menyambut adiknya yang sudah sedar. Keajaiban. Itulah yang didengarnya apabila bertanyakan tentang peluang untuk adiknya sembuh. Dia tidak putus asa dan sentiasa menjaga adiknya ini hinggakan terpaksa berhenti mengajar.

Onee-chan, siapakah dia?” Fuko menudingkan jari ke arah Tomoya.

“Tomoya. Okazaki Tomoya. Dia ialah ahli kelab drama dari sekolah kakak mengajar dahulu.” Jawab Ibuki.

“Terima kasih.” Gadis yang dipanggil Fuko itu menundukkan kepalanya. Tomoya agak terkejut. Adakah dia ini seorang yang mempunyai keistimewaan?

“Aa…. Kenapa?” Soal Tomoya, keraguan.

“Saya terdengar akan suara kamu… Seperti memanggil saya.”

“Suara saya?” Tomoya soal lagi.

“Nama saya Fuko…”

Perjalanan pulang ke rumahnya penuh kebuntuan. Tomoya masih lagi berada dalam keadaan bercelaru. Siapakah gadis itu? Siapakah pula Fuko? Dia merenungi bulan yang setia memancarkan cahaya. Andai kata ada jawapan di situ, mahu sahaja dia panjat langit hitam itu. Kyou pula merenung dengan mata yang tajam. Seolah-olah dia penjenayah pula. Tambah lagi dengan ribuan soalan diajukan oleh Nagisa, Kotomi dan Ryou bisa memeningkan kepalanya. Tetapi, cik Ibuki tidak sedikit pun menyoal tindakannya yang memasuki bilik khas itu. Fuko pula hanya sekadar melihat gelagat ahli-ahli kelab drama.

“Huh…..” Dia mengeluh kecil. Tiba-tiba dia merasakan kekosongan dalam jiwanya. Agaknya dia hilang sesuatu yang dipanggil kebahagiaan itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s