November 2012


Latihan 1

Bahagian A

[30 markah]

(Masa dicadangkan : 45 minit)

Lihat rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang  punca-punca yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 

 

PUNCA-PUNCA KECEMERLANGAN MURID

DALAM AKADEMIK

 

Sokongan daripada ibu bapa

 

Kumpulan perbincangan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jawapan:

Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat, Saidina Ali Abi Talib pernah menukilkan, “Ilmu apabila diperdagangkan bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan berkurang”. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan seharian kita terutamanya murid-murid sekolah.     Kecemerlangan murid dalam akademik adalah sangat penting kerana mereka  merupakan bakal pemimpin kita pada masa hadapan. Remaja yang cemerlang akan menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara.  Hal ini bertepatan dengan ungkapan “ Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ”. Persoalannya, apakah  faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan seseorang murid dalam akademik?

Faktor utama yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik ialah melalui tumpuan ketika guru mengajar di bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran  (p&p). Sekiranya seseorang murid itu menumpukan perhatian semasa guru mengajar di bilik darjah, sudah tentu pelajaran tersebut lebih cepat diserap masuk ke dalam minda murid-murid. Pakar psikologi pernah mengatakan bahawa, “lima puluh peratus kejayaan murid dalam akademik adalah melalui tumpuan seratus peratus murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah”. Kebanyakan murid yang berjaya dalam akademik adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa mengemukakan soalan kepada guru-guru sekiranya terdapat tajuk yang tidak dapat difahami ketika guru mengajar. Selain itu, murid-murid yang sering berjumpa dan berbincang dengan guru-guru tentang akademik, pasti meraih kejayaan yang cemerlang. Dalam hal ini, murid-murid perlu menghindari perasaan malu atau segan untuk bertanya apa-apa masalah tentang akademik kepada guru mereka kerana pepatah menyatakan, malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Murid-murid juga perlu menyiapkan segala kerja rumah yang disuruh oleh guru dan menghantar dengan segera kepada guru untuk diperiksa. Murid-murid  juga  turut melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah  secara proaktif bagi membantu mewujudkan proses pengajaran guru yang menarik dan berkesan. Tegasnya, tumpuan murid-murid semasa guru sedang mengajar dalam bilik darjah merupakan faktor utama kecemerlangan murid dalam akademik

Selain itu, program kecemerlangan akademik yang dianjurkan oleh pihak sekolah turut menyumbang kepada kecemerlangann murid dalam akademik. Antara program yang diadakan ialah pelancaran Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Melalui pelaksanaan program ini,murid-murid dapat memupuk minat mereka dalam subjek tertentu dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik. Selain program Minggu Bahasa, pihak sekolah juga banyak mengadakan bengkel teknik menjawab soalan bagi subjek-subjek tertentu . Dengan menghadiri bengkel menjawab soalan , murid-murid dapat mengetahui kelemahan mereka dalam sesuatu subjek dan memperbaiki kelemahan tersebut serta mendedahkan murid-murid berkaitan teknik untuk menjawab soalan peperiksaan sebenar dengan betul.  Hal ini bertujuan untuk menjadikan murid-murid supaya lebih berkeyakinan semasa menjawab soalan dalam peperiksaan yang sebenar. Sekolah turut mengadakan kem kecemerlangan, kem motivasi dan kem bina insan agar murid dapat membina sahsiah diri, mempunyai motivasi dan membentuk keperibadian yang luhur.  Program Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan pada setiap tahun juga turut memberi motivasi kepada murid supaya belajar bersungguh-sungguh.  Jelasnya,  program yang dianjurkan sekolah juga merupakan salah satu faktor kecemerlangan murid dalam akademik.

Seterusnya, saya akan menubuhkan kumpulan perbincangan di sekolah bagi meraih kejayaan yang cemerlang dalam akademik. Saya akan mengajak empat atau lima orang rakan saya untuk sama-sama berbincang tentang sesuatu tajuk atau topik pelajaran yang kurang difahami. Selain guru, penerangan dan penjelasan daripada rakan-rakan dalam kumpulan perbincangan berkaitan sesuatu topik amat penting untuk meningkatkan pemahaman murid tarhadap tajuk pelajaran yang kurang difahami semasa di kelas. Bersama rakan perbincangan juga, saya akan membuat lebih banyak latihan terutamanya  Matematik, Fizik, Prinsip Akaun dan subjek Sains yang lain. Saya dan rakan kumpulan perbincangan akan selalu mengunjungi perpustakaan untuk  mengulang kaji pelajaran dan berbincang dengan rakan-rakan. Kami akan menyiapkan kerja rumah dan latihan yang diberi oleh guru bersama-sama. Kumpulan perbincangan amat penting lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan yang sebenar. Murid-murid yang menyertai kumpulan perbincangan di sekolah akan lebih bersedia dan berkeyakinan ketika menghadapi peperiksaan. Oleh itu, penyertaan murid dalam kumpulan perbincangan guga merupakan antara faktor kejayaan murid dalam akademik.

Akhir sekali, kecemerlangan murid dalam akademik berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada kedua-dua  ibu bapa. Dorongan daripada ibu bapa dapat menjadikan  seseorang murid  itu rajin dan gigih berusaha untuk mencapai kecemerlanagn.  Hal ini kerana dorongan daripada ibu bapa merupakan satu sumber inspirasi kepada anak-anak. Anak- anak akan lebih berjaya dalam pelajaran mahupun dalam hidup dengan adanya dorongan, motivasi, kata-kata perangsang, restu, dan keredaan daripada ibu bapa. Ibu bapa juga boleh menjadi contoh teladan kepada anak-anak dengan membawa anak-anak ke perpustakaan atau menghantar anak-anak ke kelas tambahan. Anak-anak akan mencontohi ibu bapa dan menganggap dorongan ibu bapa itu sebagai motivasi kepada diri mereka sendiri. Bak kata peribahasa, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Salah satu cara ibu bapa memberi dorongan kepada anak-anak adalah dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk anak-anak menghadiri kelas tuisyen dan menyediakan kemudahan untuk anak mereka belajar di rumah. Ibu bapa juga boleh menyediakan perpustakaan mini di rumah untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak. Dengan ini, anak-anak akan membahagiakan ibu bapa dengan kejayaan yang dicapai oleh mereka. Tegasnya, dorongan ibu bapa amat penting untuk anak-anak mencapai kecemerlangan  dalam akademik.

Kesimpulannya, banyak faktor penentu kecemerlangan  murid dalam akademik. Untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, murid-murid perlu memberikan tumpuan ketika pembelajaran di bilik darjah. Murid-murid juga hendaklah menyertai program-program akademik yang dianjurkan oleh sekolah selain menyertai kumpulan perbincangan di sekolah. Kecemerlangan murid dalam akademik juga adalah berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada ibu bapa. Tegasnya, kecemerlangan seseorang murid dalam akademik  bergantung pada keazaman seseorang murid itu untuk berjaya, bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan dan hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

 

 

 

 

 

Latihan  2

Bahagian A

[30 markah]

(Masa dicadangkan : 45 minit)

Lihat gambar rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 

 

 

 

 

 

 

Kepelbagaian kebudayaan

 

 

 

 

 

 

 

 

Usaha-usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai malah saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip  Rukun Negara. Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Persoalannnya, apakah usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?

 

Salah satu usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat harus menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan.  Dengan adanya sistem  pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah rendah lagi, usaha  untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi, bergaul , bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P & P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu, menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan mereka untuk mengukuhkan perpaduan kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.

Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Rumah terbuka bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita  sedia menerima adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional masyarakat mengikut kaum yang ada di Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung  ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama kaum  tetapi juga dapat memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada setiap perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.

Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan. Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti hari keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus menjayakan gagasan 1 Malaysia.

Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau menerima kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum seperti tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas, tarian singa dan tarian piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh masyarakat India. Persembahan kebudayaan yang unik ini secara  tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara  kita dapat mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal maka tak cinta.

Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum  perlu diberi penekanan di negara kita kerana menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kemakmuran. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya, rakyat Malaysia perlulah bersama-sama menjayakan Gagasan 1 Malaysia seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. “ Bersatu teguh, bercerai roboh”.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Latihan 3

Bahagian A

[30 markah]                                                                                                                              (Masa dicadangkan : 45 minit)

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.

 

                        

 

Menanam semula pokok

di cerun bukit

 

Mengawal pembangunan di lereng bukit

  
                                             

 

 

Sistem Perparitan yang terancang

Penguatkuasaan

undang-undang

  

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jawapan:

Peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 dan kejadian tanah runtuh yang  meragut nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat, merupakan dua peristiwa yang banyak mengalirkan air mata rakyat Malaysia.  Peristiwa ini menuntut masyarakat membenamkan mata fikir dalam akal yang waras untuk mencari penyelesaian bukan hanya polemik di media-media  dan menuding jari berbalah sesama sendiri terhadap peristiwa yang terjadi. Secara implisitnya, ketidakprihatinan masyarakat negara ini merupakan punca kemurkaan alam kepada kita. Justeru, adalah  wajar  semua pihak  membuka mata  serta mengorak langkah  bagi mengelakkan kejadian ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di Negara ini?

Usaha pertama untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini  ialah kerajaan menanam semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang telah dibangunkan. Usaha murni tersebut  merupakan langkah terbaik untuk  menjaga cerun-cerun   dan kawasan yang dibangunkan  daripada terdedah  kepada risiko kejadian tanah runtuh. Usaha tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan yang dijalankan menyebabkan banyak pokok yang ditebang dan bukit ditarah atas nama pembangunan.  Hutan rimba dan bukit-bukau merupakan pasak kepada ekosistem bumi. Pembalakan dan penebangan hutan tanpa kawalan  telah melonggarkan ikatan tekstur tanah, menjadikan cerun longgar dan rebah. Di Malaysia, hujan lebat yang turun akan menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan menggelongsor. Oleh itu, pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman tutup  bumi perlu ditanam untuk menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada  cuaca dan hujan lebat. Hal ini dapat membantu menyekat pergerakan tanah daripada dibawa  aliran air bawah tanah  yang menggelonsorkan cerun yang tidak stabil. Usaha menanam kembali pokok-pokok atau tumbuh-tumbuhan, dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Highland Tower dan  Bukit Antarabangsa misalnya,  masih lagi menjadi igauan  rakyat akibat  tidak  mempedulikan cerun yang lemah berhampiran dengan kediaman. Jelasnya, untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh, kerajaan perlulah menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit.

Usaha kedua yang dapat dilakukan untuk  mengelakkan kejadian  tanah  runtuh  ialah kerajaan membina sistem perparitan yang terancang. Sistem perparitan yang terancang penting untuk membolehkan air hujan  dari cerun bukit  mengalir dengan baik dan terus ke longkang atau sungai dan laut. Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan berlakunya banjir. Keadaan ini secara tidak langsung boleh mengelakkan  berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh. Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng yang kukuh di lereng bukit. Sistem perparitan yang terancang dapat memadatkan struktur tanah di lereng bukit.   Sekiranya, tidak ada sistem perparitan dibina di lereng bukit, hujan lebat yang turun di kawasan bukit akan menyebabkan air bertakung dan menyerap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga struktur tanah menjadi longgar dan tidak kukuh. Hal ini boleh mengundang padah seperti berlakunya banjir kilat, hakisan tanah dan  tanah runtuh.   Rakyat Malaysia tidak pernah melupakan peristiwa yang berlaku di Pos Dipang, Perak yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur. Kawasan tanah tinggi yang dibangunkan pembangunan  sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur. Oleh itu. jelaslah pembinaan sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh.

Selain itu, pembangunan yang terancang juga merupakan usaha yang dapat  dilakukan  untuk mengurangkan berlakunya kejadian  tanah runtuh. Kerajaan perlu mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan sistematik terhadap pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Memang pembangunan  tidak dapat dihentikan, tetapi pembangunan perlu dirancang sebaik-baiknya untuk mengurangkan fenomena yang membawa bencana kepada pelestarian alam dan manusia. Pembangunan seperti perumahan, perladangan dan pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi keselamatan dalam jangka panjang. Kawasan ladang di lereng bukit perlu dibina teres selain menyusun atur tanaman  dan laluan untuk menyelamatkan cerun. Kerajaan atau pemaju perumahan perlu mengkaji keutuhan tanah di lereng bukit dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh yang tidak diingini berlaku. Kerajaan juga perlu menetapkan junlah kuota untuk melaksanakan pembangunan di lereng-lereng  bukit. Selain itu, pihak-pihak tertentu seperti pemaju perumahan  perlu mewujudkan  Pelan Tindakan Kecemasan untuk bertindak pantas  apabila mengesan tanda-tanda pergerakan cerun berlaku. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam dengan projek yang bakal dibangunkan. Jelasnya, Pembangunan yang terancang  dapat mengelakkan  kejadian yang tidak diingini seperti tanah runtuh.

Akhirnya sekali,  penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang boleh meragut nyawa.  Penguatkuasaan yang tegas dapat  mencegah sesetengah pihak yang melaksanakan projek pembangunan seperti “melepaskan batuk di tangga”.  Penguatkuasaan tanpa  “pilih bulu”  dapat mencegah  perbuatan yang tidak bertanggungjawab.  Kerajaan perlu mengawal aktiviti pembalakan dan penebangan hutan di negara kita. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengehadkan jumlah lesen yang diluluskan untuk penebangan hutan. Hanya pokok yang telah cukup tua sahaja dibenarkan untuk ditebang Lesen dan konsesi pembalakan  perlu disemak semula. Kelulusan Sijil Menduduki  Kediaman dan pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun perlu diberi perhatian wajar oleh kementerian yang berkaitan. Mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman penjara atau denda yang tinggi sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan tersebut. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, Akta Tanah, dan Akta Perhutanan dapat menjaga hak dan menyelematkan situasi genting. Jelasnya, penguatkuasaan  yang tegas dapat memberi kesan kepada pihak yang mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan sosial.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih mempunyai ruang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Usaha semua pihak amat diharapkan  agar kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang padah. Rakyat Malaysia diharapkan dapat merenung kata-kata  Chief Seattle  bahawa “kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek monyang kita, sebaliknya kita meminjamnya dari cucu cicit kita”. Oleh itu , kita perlu menjaga  sesuatu yang kita pinjam agar kita dapat memulangkan  dengan keadaan yang masih baik.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Latihan 4

Bahagian A

[30 markah]                                                                                                                              (Masa dicadangkan : 45 minit)

Carta di bawah ini menunjukkan sebahagian daripada keistimewaan negara kita. Huraikan  pendapat anda tentang kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita.

Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?

Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat – tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita pelancong juga boleh bermain sambil melawat tempat – tempat  bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi, bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A – Famosa. Di Kota A – Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat – tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak – kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita.

Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara – negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan.

Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli – belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain – lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.

Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.

Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

 

 

 

 

 

 

 

Latihan 5

Bahagian A

[30 markah]                                                                                                                              (Masa dicadangkan : 45 minit)

Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah bersukan kepada masyarakat.Panjang huraian  hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 

FAEDAH BERSUKAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
 

MENGERATKAN HUBUNGAN

MENGISI MASA  LAPANG

 

 

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?

Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan  langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan  juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi  setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa lapang dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah  dengan yakin ke peringkat antatabangsa  walaupun melalui ranjau pidana  dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.

 

 

Di samping itu, sukan merupakan  salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.  Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat  manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.

Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat  glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju  anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai  kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton  seperti Datuk Lee Chong Wei  dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan  bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain.  Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya,  kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

 

 

 

 

 

 

 

Latihan  6

Bahagian A

[30 markah]

(Masa dicadangkan : 45 minit)

Gambar di bawah menunjukkan suasana di sebuah pusat sumber sekolah. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah. Panjangya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.        

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

JAWAPAN:

Pusat sumber bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan. Banyak bahan bacaan dikumpulkan dan disimpan di sana. Antaranya termasuklah bahan rujukan, buku cerita, majalah, surat khabar dan sebagainya daripada pelbagai negara. Kesemua bahan ini adalah untuk bacaan dan rujukan murid dan warga sekolah. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pusat sumber, contohnya kemudahan ASTRO kampus, ICT, makmal bahasa, bilik audio visual, dan sebagainya. Murid akan memperoleh  pelbagai manfaat  jika memaksimum penggunaan  kemudahan pusat sumber sekolah. Persolannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan penggunaan  kemudahan Pusat Sumber Sekolah?

 

Antara usaha untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah dengan  memastikan lokasi pusat sumber sekolah perlulah strategik agar mudah dikunjungi oleh murid-murid. Misalnya, lokasi pusat sumber perlu terletak di bahagian bawah atau paras paling rendah sesebuah bangunan agar memudahkan pengunjung. Lokasi PSS juga perlu jauh daripada suasana kebisingan untuk membolehkan pengunjung memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. PSS juga perlu terletak di tempat yang menjadi tumpuan semua orang.  Hal ini memudahkan pengunjung untuk mengunjungi PSS. Bangunan tersebut perlulah dicat dan dihias dengan mural yang sesuai dan menarik supaya menjadi tarikan murid untuk  mengunjungi dan meneroka kemudahan yang terdapat di pusat sumber itu, bak kata pepatah, ’tak kenal maka tak cinta’. Selain itu,  suasana di dalam pusat sumber perlulah kondusif seperti terdapat penyaman udara, dan ruang membaca dan membuat rujukan yang selesa. Suasana di pusat sumber juga perlu ceria, bersih dan senyap agar pengunjung dapat memperoleh ketenangan dan memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. Buku-buku yang terdapat dalam PSS perlulah ditambah bilangannya dan yang terkini. Waktu PSS juga perlu ditambah untuk membolehkan murid-murid meminjam buku dan membaca atau membuat ulang kaji.

 

Usaha seterusnya ialah guru Pusat Sumber Sekolah  perlu menghebahkan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaharu yang disediakan di pusat sumber. Hebahan tersebut boleh dilakukan semasa perhimpunan mingguan. Melalui saluran ini, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan terbaharu yang terdapat di pusat sumber seperti e-pusat sumber iaitu kemudahan pusat sumber yang menggunakan rangkaian internet dan komputer dan sistem automasi. Di samping itu, bahan rujukan dan koleksi buku cerita pelbagai bahasa juga dihebahkan untuk menarik murid mengunjungi pusat sumber. Maklumat-maklumat tentang buku dan bahan rujukan terkini perlu ditampalkan di papan kenyataan pusat sumber dan kelas-kelas untuk rujukan murid. Selain itu, murid-murid dan persatuan-persatuan yang ingin mengadakan mesyuarat di PSS juga dialu-alukan agar mereka dapat memanafaatkan sepenuhnya penggunaan PSS. Mereka perlulah menempah bilik tersebut terlabih dahulu agar tidak berlaku pertembungan. Pihak PSS juga boleh menampal jadual penggunaan bilik mesyuarat di papan notis. Jelasnya, melalui hebahan tersebut, murid-murid dapat maklumat tentang penggunaan perkhidmatan pusat sumber dan berminat untuk mengunjungi Pusat Sumber Sekolah.

 

Selain itu, untuk menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS, pihak PSS perlu  mengadakan Program Membaca. Program banyak membaca atau program NILAM harus digiatkan lagi agar murid  akan sentiasa mengunjungi pusat sumber untuk meminjam dan membuat bacaan di pusat sumber.  Program NILAM merupakan satu pendekatan untuk penyuburan tabiat membaca dalam kalangan murid. Hal ini menggalakkan usaha berkekalan murid untuk menanamkan sifat membaca. Di bawah program NILAM, setiap murid perlu merekodkan buku yang dibaca dalam Buku Rekod Membaca Nilam. Guru pula akan mengesahkan rekod bacaan murid. Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku yang dibaca. Di samping itu, PSS perlu menambahkan bilangan bahan bacaan yang dibaca agar murid juga dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman melalui bahan yang dibaca bak kata pepatah ’jauh berjalan luas pandangan, banyak membaca, menambah pengetahuan’.  Tempat yang penuh dengan bahan bacaan tidak lain dan tidak bukan tentulah di pusat sumber sekolah. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid.

 

Akhir sekali, pelbagai pertandingan dan aktiviti boleh dijalankan dalam usaha menarik pengunjung mengunjungi PSS. PSS boleh mengadakan pelbagai pertandingan sempena minggu-minggu tertentu seperti Minggu Bahasa Melayu, Minggu Bahasa Inggeris dan Minggu Patriotik. Pertandingan seperti Menulis Ulasan Buku/Novel, Menulis Esei, Menulis Cerpen, Pertandingan Debat, Forum Remaja dan sebagainya boleh diadakan di PSS.  Hal ini membolehkan murid-murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan akan meminjam buku-buku daripada perpustakaan sebagai rujukan. Selain itu, murid-murid lain yang tidak mengambil bahagian akan hadir sebagai penonton untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang mengambil bahagian. Secara tidak langsung, murid-murid yang terlibat dalam aktiviti atau pertandingan di PSS, dapat mengetahui kemudahan yang di sediakan di PSS. Mereka akan  terus mengunjungi PSS pada masa yang lain untuk meminjam buku-buku di PSS. Tegasnya, pelbagai pertandingan dan aktiviti di PSS mampu meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah.

 

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah perlu menyediakan kemudahan yang terkini dan mengikut peredaran zaman. Kemudahan yang disediakan perlu memenuhi keperluan murid  dan menarik mereka untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Pusat sumber harus menjadi nadi utama murid dalam proses pembelajaran mereka di sekolah. Sebenarnya, ilmu yang kita miliki hanyalah setitik air jika dibandingkan dengan lautan yang luas. Oleh itu, manfaatkan masa dengan membaca kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

 

Advertisements

LATIHAN 1

Setiap murid mempunyai  cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.

 Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya murid-murid  berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi  untuk mencapainya. Murid-murid  tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, murid-murid janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata orang tua-tua “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”.  Oleh sebab itu, saya sebagai salah seorang murid,  saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?

Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “ lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi  tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar  dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah hampir kerana peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa yang lalu tidak akan kembali” maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.

Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, “practice makes perfect”. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, “praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam hidup.saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga akan membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah “ sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain” dan “ sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit”. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan terutamanya dalam mata pelajaran sains. Tegasnya, saya membuat lebih banyak latihan dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.

Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di sekolah, bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”, “segan bertanya sesat jalan”. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga akan menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar topik yang sama yang telah diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu, saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemrlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Saya tidak akan dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan kedua, malah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip, “gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya”. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau cabaran yang saya hadapi. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah memenuhi kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang akan kita tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan sayatidak akan mudah putus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.

Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa”, Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberianNya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan kerana ini akan menentukan masa depan kita, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh  untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

LATIHAN 2

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan  saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang yang dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat, semakin meluntur.  Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai  aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama.  Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila  berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga  sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.

Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’ atau ‘ ke bukit  sama di daki, ke lurah sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai  anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa  mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap  jiran mereka.. Apabila  mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran  dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan  dengan bantuan orang lain.  Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut,  masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini.  Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak  menziarahi jiran tetangga pada  masa-masa  yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak  berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan ‘ seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.

Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan.  Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti  Pertubuhan Rukun Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk  semangat kejiranan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan  masyarakat yang prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum.  Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”.

LATIHAN 3

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di  Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan  semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.  Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.

Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa  mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.  Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati   setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.

Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya,  apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar  cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik.  Jelaslah bahawa,  jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil  lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan  bahawa ‘ tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

LATIHAN 4

Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat.  Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.

Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?

Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.

Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu.  Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor  untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.

Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka  mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi  lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak  agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.

Pada masa yang sama,  selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa  juga perlu mendidik  ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka  sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak  atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa  mengamalkan cara  berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta  mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.

.
……….Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat ,kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa  pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa  itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga  kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering meransang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.

Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita siha, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit  itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurnagkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.

Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

LATIHAN 5

Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan.

Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?

Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan. Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa. Menabung merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi budaya masyarakat kita?
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini kerana suasana keluarga merupakan cara yang paling cepat dan efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. “Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam”. Ibu bapa merupakan orang yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanak-kanak “sebelum kudis menjadi tokak”.
Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi  dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi?  Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana    sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat “pengiktirafan”orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka  tidak berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini sebagai budaya keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan proses penerapan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak.

“Adat usang pusaka lama”, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung.  Membuka akaun bank untuk anak-anak merupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka kelak. Kata orang tua, “semua orang memerlukan pujian”. Dengan hal tersebut, ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan amalan menabung sudah terang seperti “murai berkicau hari siang”.

Pada hakikatnya,   ibu bapa  berperanan  untuk  menunjukkan  contoh  teladan yang baik kepada anak-anak.  Ibu  bapa  sendiri   harus mengamalkan  sikap  menabung.  Mereka harus menabung wang bersama dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menunjukkan kepada anak-anak bahawa pada setiap bulan, mereka menyimpan sejumlah kecil wang di bank atau pejabat pos. Perbuatan ibu bapa menyimpan wang akan dicontohi oleh anak-anak.  Anak-anak  mudah  terikut-ikut  oleh  tingkah  laku ibu  bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa.  Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan tabiat menabung juga.  Cuba  anda  bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendiri seorang yang boros dan tidak  pandai  menguruskan  wang?   Hal  ini  jelas menunjukkan  betapa pentingnya  imej  yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

“Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”, Kawan merupakan ‘magnet sakti’ yang boleh mempengaruhi anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk perbelanjaan anak-anak. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang bersahsiah.

Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan menabung manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan “Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula menunjukkan “ada padii semua jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan ini sabagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi muda barakhlak yang merupakan tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada masa depan amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran masyarakat madani. “Air bersih, ikannya jernih”

LATIHAN 6

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang.                          

Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan  gejala sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya  cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?

Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi  yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi.  Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap “rumahku syurgaku”. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi  mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa  juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang cukup  ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran.  Ibu bapa perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah,  bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji  pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.  Oleh itu,  ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat  dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi  oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja.  Ibu bapa mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan  menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran.  Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.

Latihan 7

Dewasa ini, masalah gejala sosial di negara kita semakin serius. Huraikan pendapat anda tentang punca-punca yang menyebabkan masalah ini berlaku dan tuliskan cadangan-cadangan tentang peranan ibu bapa dalam  menangani gejala tersebut.

Masalah gejala sosial semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini. Dalam surat khabar sering dipaparkan berita tentang golongan remaja yang terlibat dengan gejala sosial ini. Gejala sosial dapat ditakrifkan sebagai satu kemelut sosial dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan remaja akibat daripada perkembangan sosial, ekonomi dan politik yang pesat di negara ini. Contoh gejala sosial yang berlaku ialah ponteng sekolah, remaja lari dari rumah, penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme dan melepak. Masalah gejala sosial ini telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin sehingga menimbulkan kebimbangan tentang masa depan para remaja. Menurut Hujatul Islam, Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, sekiranya kita ingin melihat masa depan negara, maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, buruk diri remaja maka hancurlah masa depan sesebuah negara. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan gejala sosial ini dan apakah cadangan-cadangan untuk menangani gejala sosial ini?

Salah satu punca yang menyebabkan gejala sosial ialah ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya dan urusan seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi perhatian oleh kedua-dua ibu bapanya. Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk bertanya masalah anak-anak sama ada di sekolah ataupun di rumah. Apa yang menyedihkan, terdapat ibu bapa yang tidak bekesempatan langsung untuk berbual-bual mesra dengan anak kerana semasa keluar untuk bekerja terlalu awal dan apabila balik dari kerja, hari sudah malam dan ada kemungkinan anak-anak telah memasuki untuk tidur. Ibu bapa mungkin bertembung sebentar semasa bersarapan. Keadaan ibu bapa yang sibuk boleh mewujudkan kerenggangan antara ibu bapa dengan anak-anak kerana anak-anak tidak mendapat sepenuh belaian kasih sayang daripada ibu bapa. Menurut pakar psikologi, remaja yang tidak mendapat belaian kasih sayang daripada ibu bapa mudah terlibat dalam masalah gejala sosial seperti ponteng sekolah, melepak dan menonton video lucah. Jelasnya anak-anak berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian ibu bapa.

Selain itu, masalah gejala sosial berlaku kerana ibu bapa tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini berlaku disebabkan oleh ibu bapa tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mengharapkan pihak lain terutamanya pihak sekolah dan guru memberikan didikan agama kepada mereka. Pengabaian pendidikan agama akan menyebabkan remaja tidak mempunyai asas panduan hidup dengan kukuh. Sebagai contoh, remaja mungkin hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Mereka tidak dapat menilai baik buruk sesuatu perkara yang dilakukan oleh mereka. Remaja  juga sanggup melakukan apa-apa  sahaja dan mudah terpengaruh dengan situasi yang kurang sihat. Kecetekan ilmu agama ini menyebabkan remaja kurang kesedaran  dan keinsafan diri sehingga menyebabkan  mereka mudah terjerumus dalam gejala sosial. Jelasnya, ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak turut menyumbang berlakunya masalah gejala sosial.

Di samping itu, ibu bapa yang sering bergaduh dan bertengkar di hadapan anak-anak turut menyumbang kepada kepincangan institusi keluarga sehingga menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Ibu bapa yang sering bergaduh di hadapan anak-anak boleh menyebabkan anak-anak berasa bosan dan menghadapi tekanan di rumah. Rumah bagi anak bagaikan neraka kerana anak-anak tidak dapat menikmati kedamaian atau ketenangan di rumah. Anak-anak akan menganggap ibu bapa tidak lagi mengambil berat  tentang keadaan diri mereka. Suasana ketegangan seperti ini menyebabkan wujudnya kerenggangan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kedua-dua ibu bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu bapa tersebut telah berkahwin lain dan telah mempunyai anak dengan pasangan lain. Anak-anak hasil perkahwinan yang pertama ini akan menjadi mangsanya. Mereka kehilangan kasih sayang ibu bapa dan hidup tanpa belaian kasih sayang seorang ayah atau ibu. Keadaan inj boleh menyebabkan jiwa anak-anak memberontak dan sebagai jalan keluar, anak-anak  mungkin mencari seseorang untuk meluahkan perasaan dan melepaskan tekanan yang dihadapinya. Sebagai contoh anak-anak yang kehausan kasih sayang daripada ibu bapa ini akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Keadaan ini boleh membawa anak-anak atau remaja terjerumus dalam kancah gejala sosial. Tegasnya, kehidupan rumah tangga yang tidak aman, sering bergaduh dan  berpecah-belah turut menyebabkan anak-anak terlibat dalam masalah gejala sosial.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang turut mempengaruhi remaja terlibat dalam masalah gejala sosial. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya biasanya tidak ada tumpuan terhadap keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa kesunyian kerana tidak ada tempat untuk mengadu atau menceritakan masalah yang dihadapi oleh mereka. Oleh sebab itu, anak-anak akan mencari seseorang teman atau rakan sebaya untuk menceritakan masalah mereka. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa dan tidak mendapat asas didikan agama akan lebih mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya. Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja lebih mudah meniru, mencontohi dan terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya kerana mereka mempunyai nilai, sikap, identiti dan perasaan yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya ini biasanya mempunyai prinsip dan setiap ahli kumpulan akan akur dan patuh kepada kumpulan tersebut. Kebanyakan remaja berasa bimbang kerana disingkirkan daripada kumpulan rakan sebaya. Oleh sebab itu, remaja sanggup melakukan apa-apa sahaja kehendak anggota kumpulan rakan sebaya. Sebagai contoh, seandainya rakan sebaya mereka melepak atau ponteng sekolah, remaja tersebut sudah pasti mencontohi kelakuan tersebut. Dalam hal ini, nasihat ibu bapa tidak akan ambil peduli. Sekiranya, ibu bapa memarahi mereka, remaja ini sanggup lari dari rumah mengikuti rakan sebaya mereka. Jelasnya pengaruh rakan sebaya yang tidak baik turut menjerumuskan remaja dalam masalah gejala sosial.

Untuk menangani masalah gejala sosial ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap rumah tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah memberikan kasih sayang dan mengambil berat tentang anak-anak. Ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan pihak sekolah untuk menanyakan perkembangan diri anak-anak dan pelajaran mereka di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana rumah tangga yang aman damai agar anak-anak dapat menyatakan “rumahku syurgaku”. Ibu bapa juga perlulah mengelakkan pergaduhan di hadapan anak-anak supaya anak-anak akan menghormati mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak agar anak-anak dapat mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. Bak kata pepatah “ bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Apabila wujud kasih sayang terhadap anak-anak, anak-anak akan berasa diri mereka dihargai dan diambil berat. Ibu bapa yang berjaya memahami jiwa anak-anak dan ditambah pula dengan kemahiran keibubapaan mampu wujudnya sebuah rumah tangga yang bahagia. Suasana ketenangan dan dilimpahi kasih sayang dapat menjadi tarikan kepada anak-anak agar tidak terjerumuskan diri dalam gejala sosial atau terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak sejak kecil. Bak kata pepatah “ melentur buluh biarlah dari rebungnya” dan “ asas pendidikan bermula dari rumah”. Anak-anak ibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain putih tersebut. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah memberi didikan agama kepada anak-anak agar anak-anak dapat menghayati ajaran agama dan nilai murni dalam kehidupan. Didikan agama yang sempurna mampu membentuk  keperibadian dan budi pekerti yang mulia kepada anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak akan sentiasa menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kerana mereka memiliki keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi. Anak-anak akan sentiasa bertutur dengan cara lemah lembut dan penuh hormat terhadap ibu bapa dan orang yang lebih tua. Anak-anak yang ada asas didikan agama sentiasa akan menjaga tindak- laku dan tidak akan meninggalkan solat dan mereka akan membesar sebagai seorang remaja yang mempunyai pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat. Jelasnya, didikan agama yang sempurna mampu melahirkan anak-anak yang keperibadian mulia dan mereka akan berasa malu sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh mencontengkan arang ke arah muka ibu bapa.

Seterusnya, ibu bapa juga perlulah mengambil berat persahabatan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana ibu bapa boleh mengawal disiplin mereka. Ibu bapa perlulah memastikan anak-anak  bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui tujuan dan sebab-sebab anak-anak mereka keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Ibu bapa juga jangan terlalu memberi kebebasan yang keterlaluan dalam bergaulan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan anak-anak yang bermasalah di sekolah atau di luar sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan guru-guru kelas atau guru pelajaran anak-anak mereka di sekolah untuk mengetahui tingkah laku dan prestasi akademik mereka di sekolah. Menurut seorang Ahli Fikir Islam, Ibn Sina, “hendaklah setiap ibu bapa meletakkan anak-anak mereka dalam kalangan anak-anak kelakuannya yang berakhlak mulia”. Anak-anak yang sentiasa dikawal oleh disiplinnya dan pergaulannya oleh ibu bapa sejak kecil, anak-anak ini akan membesar dalam suasana yang baik dan berbudi pekerti mulia.

Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa masalah gejala sosial memang merupakan salah satu masalah yang meruncing dan perlu ditangani segera oleh semua pihak terutamanya ibu bapa. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anaknya. Saya berharap anak-anak juga perlulah mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tegasnya, masalah gejala sosial perlu ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah dalam masyarakat sehingga menjejaskan nama baik negara di persada masyarakat.

Latihan 8

Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak.  Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula di rumah.

 

Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.  Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.  Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ?

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.

Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik,  sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca.  Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora,  dicampak ke  bumi menjadi penawar.  Pernyataan di atas  jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput.  Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan.  Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.

Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju,  menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh.  Tegasnya ,  pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab .

Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak.  Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis.  Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan  tanggungjawab untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia.

 

 

Latihan 9

Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.

Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.

Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat khabar,  novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al Islam,  dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk berfikir sedangkan  majalah atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?

Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa anak-anak ke pesta buku atau pameran buku  seperti Pameran Buku Antarabangsa  di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.

Selain itu, ibu bapa harus  menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah  memulakan budaya membaca di rumah dengan menyediakan persekitaran yang boleh  merangsang minat anak-anak untuk membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat khabar  pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh  biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri  tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik  kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.

Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak buku atau majalah yang yang mengandungi  ilmu  pengetahuan yang boleh mengembangkan minda anak-anak.  Pepatah menyatakan bahawa  membaca jambatan ilmu.  Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam  dan Solusi selain surat khabar yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal maka tak cinta.

Seterusnya  ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak  membaca buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku.  Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini.  Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.    Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku . Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menyertai  Kempen Galakan Membaca  dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen  membaca,  anak-anak bukan sahaja mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya.  Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak  membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung tinggi.

Selain itu, ibu bapa  boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi bahan-bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis  buku ilmiah  seperti novel karya agung,  kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi diri  selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak  untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di rumah.  Anak-anak  juga  digalakkan  untuk membaca surat khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada  setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya.  Apabila anak-anak sudah biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada  setiap hari dan sebuah buku pada setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian  dan  menjadikan membaca sebagai  amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu membaca apabila  ada  masa terluang dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.  Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.

Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari judul  buku ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini dapat  menggalakkan anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian,  ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka.  Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun  dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.

Latihan 10

Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.

Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.

            Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?

Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya,banyak ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara negatif. Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.

Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya.

Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan  baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.

Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.

Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain orang lain” dalam masyarakat  adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” atau “sudah terhantuk baru terngadah” sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa.

Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya,ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.

Berdasarkan berbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga kita.

Latihan 11

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.

Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita  dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka  merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa,”Tiada anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan  ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.  Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit. . Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?

Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian  semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh dengan persaingan ini,  amat penting bagi seseorang  mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya.  . Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ  pasti ada jalan.. Pada masa yang sama,saya juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya.Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang.Tegasnya,saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi menunaikan harapan ibu bapa.

Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan beryakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.  Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik,  malahan perlu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru,  jiran tetangga  dan orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki  ini pasti akan menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “ahklak yang baik seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya ahklak seseorang itu buruk,,walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya,amalan berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.

Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh  kepada ajaran agama sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh  membolehkan saya mempunyai benteng keimanan yang  kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya daripada  pengaruh  negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini kerana Tuhan sentiasa menyeru hambanya  untuk melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya  pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa  menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga.  Tegasnya,saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.

Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.  Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan  sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi  dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.

Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibn. Khaldun pernah berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara”.Hal ini  jelas menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi  sikap malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan.  Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam  pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.

Akhir sekali,  saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga  dan dorongan saya untuk mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke atas diri saya.

Berdasarkan perbincangan di atas,  dapatlah  disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus,  saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya.  Charles Dickens pernah berkata bahawa “kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba.” Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita  sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Latihan 12

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

 

Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?

Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber  akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan kemas  di atas rak-rak  buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.

Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat sumber.

Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan  komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari segi  penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.

Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada  pengawas  menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengahaja  tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.

Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘ scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif  adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir  yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya,  tepuk dada tanyalah minda. . Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Latihan 13

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.

 

Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan  tradisional di negara kita.

Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda.  Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional  berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?

Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap  permainan tradisional. Remaja pada masa ini  banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai  generasi muda, saya harus sedar bahawa saya  berperanan  memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara kita.  Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan  permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.

Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan  adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara  permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya  lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak  kebaikan kepada generasi muda masa ini.

Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional,  saya sebagai pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.  Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya  juga akan  menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.

Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan tradisional.  Hal ini adalah  kerana, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara

Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

 

 

Latihan 14

Semangat Kejiranan dalam kalangan rakyat di negara ini semakin longgar.                                   

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh pelbagai  pihak supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan?

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah egara yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi  sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?

Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.Usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan janganlah seperti “hangat-hangat tahi ayam” sahaja. Jelasnya,kempen yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan.

Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan egara jiran. Malahan, menurut laporan majalah ‘The Times’ di Australia. kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara aktiviti yang terbaik di dunia.

Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan.Media cetak misalnya boleh menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan .Media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah .Sesungguhnya,berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha Majalah 3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar disokong. Justeru,semangat “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.

Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalan kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina,Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Taman juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan,s emua ahli keluarga jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air ke dalam botol ,terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga.Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola egara, taman rekreasi atau padang sekolah yang berhampiran .Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat egara jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu,”ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”.

Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti egara seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu egara organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,iaitu “ibarat aur dengan tebing” yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkanke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya”, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan egara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi,dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya egara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

 

LATIHAN 15

 

Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting  bagi menggalakkan  anak-anak menggunakan barangan buatan Malaysia.

Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju menjelang 2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?

Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa perlulah menjadi role model kepada  anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang  paling dikagumi  kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.

Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.

Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang istimewa.   Sebagai contoh, kraf tangan dan  batik,  yang merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.

Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walalau bagaimanapun,  usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi.  Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

LATIHAN 16

Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin berkurangan.

Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera         

Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya sastera?

Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan ‘Tulang-tulang Berserakan’ oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan mengulas novel, sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan  para pelajar untuk membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan setiap kelas  menyediakan satu ruang atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya sastera ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.

Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur  mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor  di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.

Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.

Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera.

Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga  perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat  berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka  supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.

LATIHAN 17

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.  

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?       

Orang Kurang Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat  keadaan fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal dan  mental ini menghalang mereka  dari melakukan aktiviti-aktiviti normal  seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kurang upaya secara kekal dan kurang upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada ,  masyarakat kurang upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU  meneruskan kehidupan dengan sempurna.

Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini kerana  masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain. Golongan Kurang Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya.  Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati,belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.

Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkah kisah sedih dan pilu OKU  untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini , perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.

Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu  OKU dengan memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang . Golongan Kurang Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini ,OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri . Setelah   mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.

Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit ,  makanan dan minuman, pakaian , tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat mengembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di  dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan.  Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha  memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan masing-masing.  Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.

Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.

Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja.Selain itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.

Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.