Bab 6 – Kotomi daripada tiga huruf hiragana.

“Tuhan, saya berjanji akan menjadi seorang insan yang baik, maka, kembalikanlah kedua-dua ibu bapa saya. Saya akan menurut segala kata ibu dan bapa saya. Oleh itu, tunaikanlah permintaan ini….” Air matanya tidak lagi bisa terhenti. Biarpun tiada lagi air mata itu mampu berjuraian lagi namun hatinya tetap menangis. Kehilangan kedua-dua ibu bapanya bukan mampu diterimanya, tambahan lagi usianya yang terlalu muda untuk mengenal erti kehidupan.

Namun, tiada jawapan untuk doanya itu. Dia keseorangan. Kegelapan yang tiada hujung taranya. Kesunyian yang menghimpit mentalitinya. Dia tunduk, tunduk lagi, memandang ke arah lantai yang kosong itu.

“Kotomi-chan….”

Kotomi memalingkan mukanya ke arah suara yang amat dikenalinya itu. Suara itulah yang menyelamatkannya daripada kesepian yang tiada penghujung.

“Ah, Tomoya, konichiwa (selamat sejahtera),” Kotomi seperti biasa melemparkan senyuman yang menjadi misteri kepada Tomoya.

“Ya, selamat sejahtera…” Tomoya mengeluh, sambil mencangkung menghadapnya. Kotomi lebih suka membaca sambil duduk bersimpuh di lantai beralaskan kusyen. Kehadiran Tomoya sudah dijangkanya kerana Tomoya akan mengajaknya ke bilik kelab drama selepas tamat waktu persekolahan.

“Tunggu sebentar, ya…” Kotomi mengemaskan bahan bacaannya lalu disusun kemas pada rak buku. Tomoya duduk di kerusi sambil menunggu Kotomi. Selepas menyarungkan seliparnya (kasut untuk di dalam sekolah), Kotomi menghampiri Tomoya.

“Em…. Dah selesai.”

“Baiklah, mari kita ke bilik kelab…” Tomoya bingkas berdiri dan memulakan langkahnya sambil diekori oleh Kotomi.

Di bilik kelab, Nagisa sudah sedia menanti. Kyou dan adik kembarnya Ryou tidak melepaskan peluang bersama. Pada mulanya, biarpun bilik kelab ini dipenuhi namun, ahli rasminya hanyalah Nagisa, dan Kotomi selepas menjadi ahli ‘sukarela’ untuk kelab ini (biarpun sebenarnya didaftarkan oleh Tomoya namanya). Youhei juga turut menjadi pengunjung setia kelab ini. Akibatnya, semuanya bersetuju meletakkan nama mereka sebagai ahli rasmi, dan menjemput Encik Koumura sebagai guru penasihat. Encik Koumura merupakan kaunselor sekolah yang pernah menyelamatkan Tomoya daripada terus hanyut dalam dunianya.

Guru yang sering mengambil berat terhadap Tomoya dan Youhei ini juga merupakan penasihat kelab muzik. Nagisa dan presiden kelab muzik bersetuju untuk berkongsi penasihat kelab. Kelab Drama Sekolah akhirnya berjaya dilaksanakan sejurus selepas pelantikan Tomoyo, juga kenalan dan junior Tomoya, sebagai presiden sekolah yang baru. Nagisa secara rasminya dinamakan sebagai presiden kelab dan kelab ini mempunyai keahlian seramai enam orang. Kelab muzik, secara umumnya yang memiliki 3 orang ahli telah sudi membantu kelab drama yang merancang untuk mengadakan persembahan drama sempena festival sekolah. Tomoyo telah meluluskan permohonan tersebut apatah lagi untuk memberikan kelainan kerana dalam sejarah sekolah, pementasan drama tidak pernah berlaku di festival tersebut kerana kelab drama mempunai krisis kekurangan ahli sehinggalah penutupannya.

Kotomi memandang tepat ke arah Tomoya. Lelaki ini punya aura sendiri. Mungkin Tomoya tidak menyedari bahawa kehadirannya membawa revolusi sekelilingnya. Kotomi sendiri tidak berkecuali. Dia mengenali Nagisa yang sangat berhemah, Ryou yang lemah-lembut, Kyou yang garang (tanggapan pertamanya) tetapi baik, dan juga Youhei, lelaki yang selalu berterus-terang dengan dirinya serta mangsa buli Tomoya. Kehadiran mereka menceriakan jiwa Kotomi yang selalu dilanda kesepian selepas pemergian ibu bapanya. Jiwanya sering menangis, meratapi pemergian ibu bapanya. Dia mula trauma. Adakah kelak persahabatan itu hilang tiba-tiba tanpa sempat dia mendakapnya?

“Kotomi-chan, kamu ok?” Soal Ryou setelah melihat Kotomi yang membisu. Mereka berdua sedang mengusahakan skrip teater yang ditulis oleh Nagisa. Kotomi, yang dikenali genius, selain memiliki kosa kata yang baik ditugaskan bersama-sama Ryou, untuk menyunting sebarang kesalahan ayat dan struktur ayat yang ada dalam skrip Nagisa.

“Maaf…” Ujar perlahan Kotomi sambil menumpukan semula skrip tersebut. Cepat-cepat dia buangkan fikiran buruk itu, dan kembali menyumbang tenaga untuk kejayaan persembahan yang bakal tiba.

Setelah jam menunjukkan pukul lima, mereka pun bersurai. Kotomi dan Tomoya akan pulang bersama kerana rumah Kotomi berada dalam lingkungan arah ke rumah Tomoya. Biasanya mereka akan singgah di kedai buku. Setiap bulan, pasti dia akan mendapatkan buku untuk dijadikan bahan bacaannya. Daripada dunia sains hingga dunia sastera, semuanya dibacanya untuk menambah pengetahuan. Menurut kata-kata ibu bapanya, untuk menjadi insan yang berguna, kita haruslah menekankan pendidikan dalam kehidupan kita.

Wajah Tomoya seperti biasa mencuka melihat buku-buku yang dibelinya. Tomoya yang dikenalinya ini memang bermusuh dengan buku-buku terutamanya melibatkan pendidikan. Selain manga dan majalah, bahan bacaan lain bisa menyebabkan dia tidur. Namun, dia tahu, Tomoya tidak membenci dirinya yang suka akan buku. Tomoya seorang lelaki yang misteri. Tidak suka berpura-pura dan gemar membuli.

“Kotomi….”

“Maaf…” Spontan kata-kata itu keluar daripada mulut Kotomi.

“Kenapakah kamu minta maaf?” Soal Tomoya, pelik. Reaksi Kotomi menghairankannya seketika, walaupun dia tahu Kotomi ini memang pelik.

“Tiada apa-apa…” Kotomi berlagak normal, namun reaksinya menyebabkan Tomoya bertambah curiga. Beberapa ketika kemudian, Tomoya membuang curiga itu dan kembali normal.

“Ada apa-apa yang kamu fikirkan tidak baik?” Soal Tomoya dengan nada serius.

“Em….” Kotomi bernada perlahan, jujur.

“Jadilah insan yang optimis. Bukan masa lalu atau akan datang yang paling bermakna melainkan masa sekarang, hari ini…” Tomoya memandang ke arah langit yang mula menutup tirai siang.

“Saya takut…” Kotomi berbisik perlahan.

“Eh, kamu ada berkata sesuatu?” Tomoya berpaling ke arah Kotomi yang masih dalam melankoliknya. Tomoya merapatinya.

“Tidak… tiada apa-apa….” Ujar Kotomi tersenyum. Akan tetapi senyumannya tidak lama. Sebaik sahaja dia melihat kelibat lelaki dewasa menghampirinya, dia menangis ketakutan.

“Siapa?” Tomoya melindungi Kotomi yang menggigil ketakutan di belakangnya. Sebaliknya lelaki itu semakin menghampiri mereka. Jeritan Kotomi semakin kuat.

“Saya….” Lelaki itu cuba berkata sesuatu. Walau bagaimanapun, kata-kata itu dipotong dengan tindakan Tomoya.

“Kotomi, lari….” Tangan Kotomi ditarik oleh Tomoya dan cuba melarikan diri daripada lelaki itu. Lelaki itu sekadar melihatnya lari menjauhinya. Tiada sebarang pergerakan oleh lelaki itu sebagai respons akan tindakan Tomoya selain beredar ke arah yang lain.

Kotomi tahu lelaki dewasa itu. Lelaki itu cukup mengenali ibu bapanya. Oleh sebab itulah dia ketakutan. Dia trauma untuk berhadapan lelaki, yang bertanggungjawab menceritakan kemalangan kapal terbang yang menyebabkan dia kehilangan ibu bapanya. Lelaki itu cukup baik. Malah, ketika mana rumahnya hampir terbakar, lelaki itulah yang menyelamatkannya. Lebih-lebih lagi, selepas kematian ibu bapanya, lelaki itulah yang menguruskan keperluan hidupnya.

Entah beberapa ketika mereka berlarian, langkah yang diketuai Tomoya itu terhenti. Tomoya menarik nafas panjang. Begitu juga Kotomi yang berasa lelah kerana larian tadi. Kotomi sudah tidak menangis lagi. Tomoya masih lagi memegang erat tangannya. Entah berapa lama tangannya itu tidak menerima kehangatan daripada manusia lain. Entah berapa masa, jemari itu tidak terpaut oleh orang lain. Perasaan itu membahagiakannya. Entah berapa ketika lagi saat ini akan berkekalan? Air mata mengalir sepi daripada kelopak matanya. Tomoya terus memeluk mesra, cuba menenangkan jiwa Kotomi. Jika ada orang melihatnya, pasti memandang serong dengan tingkah lakunya. Biarlah mereka berkata apa-apa sahaja yang mereka mahu…..

“Kotomi, aku akan sentiasa di sisi kamu…” Pelukan Tomoya terlerai sedikit.

“Kamu janji?” Soal Kotomi, manja.

“Em…. Aku janji. Kalau kamu perlukan sesuatu, panggil sahaja aku…” Ujar perlahan Tomoya. Kotomi tersenyum bahagia. Tomoya membalas senyuman itu. Tomoya memang penyelamat jiwanya yang sepi itu. Cahaya yang hilang itu kembali mewarnai hitam suram laman hatinya.

Hari-hari berlalu dengan pantas. Persiapan pementasan drama berjalan dengan lancar. Kostum, latar, skrip dan segala keperluan sudah hampir dilaksanakan. Pada masa yang sama, tarikh lahirnya sudah semakin hampir. Akan tetapi, dia cuba merahsiakan walaupun akhirnya diketahui oleh Nagisa. Mereka merancang untuk mengadakan parti untuk menyambut hari jadi Kotomi. Justeru, mereka mengambil kesempatan cuti ahad untuk bersama-sama menghabiskan masa. Cuma Youhei sahaja yang tiada, atas alasan ‘keselamatan’. Maklumlah, Youhei tidak dapat mengawal diri lantaran akan menyebabkan masalah.

“Kamu pasti kita tidak perlu Sunohara untuk ikut kita?” Soal Tomoya kepada Kyou.

“Tidak.” Kyou, tanpa sedikit ragu-ragu pun, memberikan jawapan.

Kotomi bangun awal pagi untuk menyediakan bento kerana dia sendiri yang menawarkan diri untuk menyediakan makanan untuk semua. Dia menyediakan masakan yang ringkas dan mudah untuk dimakan. Pada pukul 8.30 pagi, dia melangkah keluar ke rumah. Semasa dia berada di pertengahan jalannya ke destinasi, kelibat Tomoya kelihatan, menguap kecil di hadapannya.

Yo, Kotomi.” Dalam keadaan selamba Tomoya menegur Kotomi.

Ohayou (Selamat pagi), Tomoya-kun…..” Tunduk sopan.

“Kita akan ke rumah Nagisa sebelum bergerak ke bandar. Kyou dan Ryou menanti kita di sana.” Bicara Tomoya ringkas. Kotomi mengangguk lembut. Kotomi mengekori rapat Tomoya daripada belakang. Matanya teralih pada jemari Tomoya. Seraya dia teringatkan peristiwa itu. Mukanya sedikit kemerahan. Dia cuba berlagak biasa, malu dikesan Tomoya.

“Mahu berpimpin tangan?” Tiba-tiba Tomoya bersuara.

“Eh….” Kotomi terkejut. Adakah Tomoya membaca isi hatinya itu?

“Cepatlah…” Tomoya menghulur tangannya.

“Tapi….” Muka Kotomi kemerah-merahan.

“Kalau kamu lambat, kereta akan banyak nanti. Susah untuk melintas jalan. Lihat, di sini tiada lampu isyarat yang berdekatan….” Tomoya mengapai jemari Kotomi lalu berlari anak melintasi jalan. Hati Kotomi sedikit kesal kerana tersalah faham, namun masih gembira dengan pelawaan Tomoya. Dia memegang erat jemari besar itu dan mengekori langkah Tomoya.

“Nagisa-chan, ohayou (selamat pagi)…” Kotomi menyapa Nagisa yang sudah menunggunya di hadapan rumah. Rumah Nagisa juga merupakan kedai roti yang diusahakan ibu bapanya. Bapanya pembuat roti yang agak dikenali. Sebaliknya, malang sekali, ibunya, langsung tidak memiliki bakat membuat roti yang ‘normal’.

Ohayou, Kotomi-chan…” Mereka saling bertukar sapaan dengan mesra.

Tanpa membuang masa, mereka menuju ke perhentian bas. Dalam lima belas minit, mereka tiba di bandar berdekatan dan terus ke tempat pertemuan yang dijanjikan. Kelihatan kelibat adik beradik kembar Fujibayashi, Kyou dan Ryou yang setia menanti. Temu janji berkumpulan ini berlangsung dengan keriangan. Barangkali, keceriaan inilah yang dicarinya di sebalik kesepian sering melanda dirinya.

“Kotomi?” Lamunannya mati. Kata-kata Tomoya itu menyentakkan dirinya ke dunia realiti. Ternyata Tomoya memang mengambil berat terhadap dirinya.

“Ya, Tomoya-kun, ada apa-apa masalah?” Soal pantas untuk mengenal pasti bicara Tomoya. Tomoya tersenyum kelat. Dia tahu, Kotomi tidak menyedari yang dia termenung panjang dan merisaukan dirinya.

“Ah, baguslah kalau kamu tiada apa-apa masalah…” Tomoya menghela nafas pendek.

“Huh….?”

Leave a comment