Bab 3 Hari semalam.

Kotomi bangun awal pagi seperti kebiasaan. Dia menuju ke dapur menyediakan sarapan dan bento (bekal makanan) untuk makanan tengah hari di sekolah. Dia tak suka makan di kantin. Terlalu sesak dengan pelajar-pelajar. Seperti kebiasaannya juga, peti aisnya sudah pun tersedia bahan-bahan basah makanan yang dihantar oleh Pusat Fizik, yang bertanggungjawab menjaganya selepas kematian ibu bapanya. Tidak lupa juga, elaun bulanannya juga diberi dengan meletakkannya di atas meja untuk kegunaan Kotomi. Bukannya pihak Pusat Fizik tidak mahu menghantar penjaga, akan tetapi Kotomi berkeras tidak mahu ada penjaga atau pembantu rumah untuk menguruskan kehidupannya itu. Dialah yang mengemas, memasak dan membasuh pakaiannya sendiri tanpa bantuan sesiapa. Segalanya dia lakukan dengan berdikari.

Selepas Kotomi membungkus bentonya, dia pun duduk berhadapan meja untuk bersarapan. Kemudiannya, dia membasuh pinggan mangkuk dan mengemas dapur. Setelah berpuas hati, dia pun melangkah untuk menuju ke sekolah. Jarak ke sekolahnya ialah sejauh 15 minit berjalan kaki. Dia melangkah perlahan-lahan, mengambil masa melihat sekeliling laluannya. Hari ini, dia sudah bergelar pelajar tahun tiga. Pelajar senior yang bakal menduduki peperiksaan sekolah tinggi. Namun begitu, dia tiada masalah untuk menghadapi hari-hari getir itu. Lagipun, dia ialah pelajar yang genius dan cemerlang.

Perjalanan ke sekolahnya akan melalui bukit yang dihiasi pokok-pokok sakura. Setiap musim bunga, pokok-pokok sakura ini pastinya akan mewarnai keindahan laluan itu seperti hari ini. Dia hayati keindahan ciptaan Tuhan ini. Entah mengapa hatinya terdetik sesuatu. Biarpun suasana di situ hanyalah seperti kebiasaan sahaja dilihatnya, namun ada sesuatu yang berbeza hari ini. Malang sekali, dia tidak pasti….

Tomoya bangun lewat seperti biasa. Dia garu kepalanya yang tidak gatal itu. Hari ini dia akan mengharungi musim persekolahan lagi. Cuti-cuti musim panasnya sudah berakhir. Lagipun, tiada maknanya cuti tersebut. Kebanyakannya dihabiskan dengan menganggu kehidupan Sunohara Youhei, sahabat karibnya. Selain itu, dia bekerja sambilan di beberapa tempat di sekitar kawasan perumahannya. Dia mahu mengumpul wang supaya suatu hari nanti dia boleh keluar dari rumah itu. Dia paksa juga hatinya untuk bangkit dan bersiap untuk ke sekolah. Kalau ikutkan hatinya, tidak Tomoya mahu menghadiri sesi persekolahan yang membosankan itu. Apa boleh buat, dia perlu hadirinya juga, kerana baginya, tidak bermakna dia dirumah itu.

Selepas bersiap, dia melangkah keluar dari rumahnya. Tiada sarapan atau kudapan yang dapat ditelannya di rumah itu. Jadi tak perlulah dia mengambil masa bersarapan. Kalau dia lapar, dia boleh singgah ke kedai berhampiran dan makan di bilik Sunohara. Jarak ke sekolahnya sejauh 20 minit dari rumahnya, jika dia tidak bergegas segera. Tomoya menarik nafas panjang melepaskan keluhannya. Hari ini, dia sudah bergelar pelajar tahun tiga. Pelajar senior yang bakal menduduki peperiksaan sekolah tinggi. Namun, sudah pasti dia akan gagal dalam peperiksaannya itu. Lagipun, dia ialah pelajar yang bermasalah dalam akademik mahupun displin.

Perjalanan ke sekolahnya akan melalui bukit yang dihiasi pokok-pokok Sakura. Setiap musim bunga, pokok-pokok sakura ini pastinya mewarnai keindahan laluan itu seperti hari ini. Namun, Tomoya tidaklah terpesona dengan keindahan luaran itu. Dia rasa benci akan suasana disekelilingnya. Semuanya seakan-akan sama sahaja. Dia benci akan bandar yang penuh memori hitam ini. Kehilangan ibu, bapanya pula pemabuk dan dia yang kesepian. Segalanya tidak sempurna buatnya, Namun ada sesuatu yang berbeza dalam hatinya hari ini. Malang sekali, dia tidak pasti….

Selepas sahaja Kotomi mengetahui di mana letaknya kelas bagi tahun tiga ini, dia pun melangkah keluar dari bilik darjah. Seperti biasa, dia akan menghabiskan masanya di perpustakaan. Dia kerap kali ponteng kelas. Namun, aktivitinya itu direstui guru-gurunya atas kegeniusannya. Dia mendapat kebenaran daripada pihak sekolah dengan bersyarat. Dia dibenarkan untuk tidak menghadiri kelas kecuali untuk peperiksaan. Syarat yang lain pula, dia perlu mendapat tempat pertama dalam peperiksaan kebangsaan. Dengan ini, barulah pihak sekolah membenarkan Kotomi tidak menghadiri kelasnya.

Kotomi tiba di destinasinya, perpustakaan sekolah. Inilah tempat untuk dia membaca dan belajar. Dia selalu keseorangan membaca di sini. Kotomi menyeluk poketnya mengambil kunci perpustakaan. Dia ialah pembaca terhormat kerana diberi kunci untuk dia membaca pada bila-bila masa termasuklah waktu cuti sekolah. Dia mengeluarkan buku yang dipinjamnya lalu diletakkan semula ke rak. Kemudiannya dia mencari beberapa buah buku untuk dibaca. Buku itu diletakkan di lantai dan dia mencapai kusyen khas untuk dia duduk membaca dilantai. Dia menanggalkan kasut dan stokinnya lalu duduk bersimpuh di atas kkusyen kecil itu. Setelah dia merasakan keselesaan, barulah dia memulakan bacaannya.

Apakah yang dikaji oleh ayah? Benarkah dunia ini seindah dikata? Kata-kata dibenak Kotomi itulah menemani pembacaannya………

Selepas sahaja Tomoya mengetahui di mana letaknya kelas bagi tahun tiga ini, dia pun melangkah keluar dari bilik darjah. Seperti biasa, dia akan menghabiskan masanya berlegaran di kawasan sekolah tanpa haluan. Dia kerap kali ponteng kelas. Namun, aktivitinya itu tidak diperdulikan oleh guru-gurunya kerana dia memang pelajar yang bermasalah. Dia sering diberi amaran daripada pihak sekolah tetapi dia tidak peduli. Dia selalunya tidak akan menghadiri kelas kecuali apabila waktu peperiksaan semakin hampir. Oleh sebab itu, keputusannya hanya cukup-cukup makan untuk dia naik tingkatan dan selalu gagal dalam peperiksaan kebangsaan. Pihak sekolah hampir membuangnya tetapi dia sering diselamatkan oleh Encik Koumura, kenalan ayahnya, seorang guru di sekolah itu.

Entah angin apa yang melanda dalam fikirannya, langkah Tomoya terhenti di depan pintu perpustakaan sekolah. Inilah tempat yang dirasakan Tomoya sesuai untuk tidur. Tomoya kebiasaannya akan menuang kelas bersama-sama Sunohara, rakan karib dan juga rakan sekelasnya namun Sunohara gagal meloloskan diri dari kelasnya. Jadi, dia kini keseorangan, dan mengambil keputusan untuk tidur di perpustakaan. Akan tetapi, selalunya pintu perpustakaan mesti berkunci, dan sebab itulah inilah destinasi terakhir untuk dia datang jika dia ponteng. Sepanjang tiga tahun dia berada di sekolah ini, inilah kali ketiga dia melangkah ke perpustakaan ini. Kali pertama dan kedua dia datang ke sini kerana terpaksa mencari bahan rujukan untuk tugasannya. Dia memulas tombol pintu dan tidak berkunci. Dia senyum riang. Masa untuk tidur.

Apakah yang difikirkan oleh ayah? Benarkah dunia ini terlalu kejam seperti yang dikatanya? Kata-kata dibenak Tomoya apabila dia mula memasuki perpustakaan itu………

Terus sahaja dia memasuki perpustakaan itu. Namun, dalam seketika, Tomoya menghentikan langkahnya apabila terlihat kelibat manusia yang duduk bersimpuh dilantai sambil asyik membaca. Dia menghampiri kelibat manusia itu tanpa berfikir panjang. Tomoya melihat seorang gadis sedang asyik membaca buku. Dia juga melihat buku-buku berselerakan di sekeliling gadis itu. Semuanya berkaitan dengan sains dan bahan-bahan rujukan pelajaran. Tajuk-tajuk yang terpampang di buku-buku itu cukup membuatkan Tomoya terpegun dan pening.

Kotomi terlalu asyik dengan dunianya. Apabila dia membaca, dia akan menumpukan sepenuh perhatiannya pada bahan bacaan. Oleh sebab itulah, kehadiran seorang pelajar lelaki di hadapannya langsung tidak disedarinya. Lelaki itu memandang tepat padanya. Dan dia pula, langsung tidak menyedari dirinya sedang diperhatikan. Dalam sepanjang pembacaannya. Dia telah menemui artikel mengenai satu teori yang ditulis oleh ibu bapanya. Kotomi semakin asyik dalam pembacaan dan tangannya bergerak cuba mencapai sesuatu.

Agak lama juga, dalam lima minit, Tomoya memerhati dan terus memerhati si gadis itu, tetapi langsung kehadirannya tidak disedari. Dia agak kaget sedikit, sementelaah lagi baru-baru ini dia ada mendengar cerita-cerita mengenai kewujudan gadis hantu. Walaubagaimanapun, gadis itu memiliki sepasang kaki, juga dia merasakan yang mustahil wujudnya kelibat sang hantu pada waktu siang sebegini. Entah beberapa ketika, tangan gadis itu mencapai sebilah gunting, lalu cuba mengunting halaman artikel pada sebuah buku.

Kotomi mengumpul apa sahaja artikel dan maklumat mengenai kajian bapanya. Dia mahu mengetahui apakah sebenarnya yang cuba dikaji oleh orang tuanya itu. Dia masih dalam kekesalan kerana dahulunya dia pernah membakar satu sampul dokumen, yang dia merasakan terisi dokumen maklumat kajian bapanya. Sejak daripada detik itu, dia cuba mengumpul segala maklumat yang termampu. Sebab itu, dia akan mengunting artikel-artikel daripada bacaannya, jika artikel tersebut merujuk pada kajian bapanya. Tangan pantas mula mengunting namun, pergerakan tangannya terhenti apabila suatu suara menyentaknya……

“Hey, hey, hey!” Tomoya bersuara lantang.

“Ha…” Kotomi tersentak.

“Bukankah buku itu milik perpustakaan? Teruklah kalau nanti kamu ditangkap kerana mengunting buku itu!” Jerit Tomoya, tetapi agak lembut. Kotomi segera mengangkat mukanya, merenung tepat pada Tomoya.

Tomoya-kun? Kenapa? Bisik hati Kotomi, lalu tersenyum kecil…

“Wah, semua buku yang kamu baca sangat sukar untuk difahami.” Melihat sekeliling yang bertaburan buku-buku.

Kotomi sekadar menanti kata-kata Tomoya tanpa menjawab.

“Kamu pun ponteng kelas juga? Mengapakah kamu sekadar berkaki ayam di sini?” Tomoya mula menyoal Kotomi untuk mengetahui motif sebenar gadis itu.

Namun, apa yang dilakukan oleh Kotomi ialah mencapai bekas bentonya. Perlahan-lahan dia membuka balutan kain dan penutup bekas makanannya itu.

“Sayalah yang menyediakan ini.” Itulah kata-kata pertama Kotomi merujuk kepada bentonya.

“Huh?” Tomoya kehairanan.

“Benda inilah yang paling bagus saya sediakan.” Jari Kotomi menuding ke arah “Tamago yaki” (telur goreng stail jepun) yang terdapat pada bento itu.

“Tahukah kamu bahawa sebarang jenis makanan adalah dilarang untuk dibawa ke dalam perpustakaan..?” Balas spontan Tomoya.

“Mahukah kamu makan?” Senyum manis Kotomi.

“Huh…” Tomoya kaku sebentar. Tiba-tiba selera makannya berkunjung tiba. Dengan tersenyum dia menghampiri Kotomi, gadis yang tidak dikenalinya itu, untuk menerima pelawaannya itu.

“Oleh sebab kamu sudah mempelawa saya…” Tomoya mencangkuk di depan Kotomi.

“Ah….” Kotomi teringatkan sesuatu.

“Kenapa?” Tomoya lantas menyoal.

“Saya hanya membawa sepasang chopstik sahaja…”

“Hmmm…” Tomoya tarik nafas panjang. Dia sangka ada sesuatu yang buruk sedang berlaku. Lantas dicapainya sepotong tamago yaki lalu dimakannya. Dia mengunyah dengan perlahan menikmati keenakan masakan si gadis itu.

“Sedap…” Puji Tomoya.

“Haa…” Kotomi tersenyum dengan pujian itu. Ternyata memang masakan Kotomi ini agak sedap. Kemudiannya, Tomoya bangun daripada cangkungannya itu. Niatnya untuk tuang kelas terbatal pula. Entah mengapa, ada sedikit kekuatan untuknya belajar semula.

“Kamu perlu mengemaskan buku-buku ini sekarang, masa untuk pelajaran seterusnya akan bermula tak lama lagi….” Ujar Tomoya.

Kotomi memandang sepi ke arah Tomoya.

“Kenapa? Ada sesuatu yang kamu mahu?” tanya Tomoya.

“Jumpa lagi….” Beberapa ketika kemudian, barulah Kotomi bersuara.

“Huh…. Baiklah.” Tomoya berpaling, lalu melangkah keluar daripada perpustakaan itu. Dalam benaknya penuh tanda tanya terhadap gadis itu.

Kotomi hanya melihat Tomoya berlalu tanpa sebarang kata-kata. Dia mengeluh kecil…..

Leave a comment