October 2012


Salam buat pelayar dan pelajar sekalian.

 

Bahan rujukan akhir untuk bengkel saya boleh dimuat turun di sini. Perlu diingatkan, bahan saya hanya untuk kegunaan sendiri dan bukannya untuk dijual beli. Selamat berjaya!

Bengkel Bahasa Melayu PMR 2012

Soalan:Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak.

Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

Peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya memberikan bukti yang jelas akan peranan utama ibu bapa dalam aspek pembacaan anak-anak. Ibu bapalah yang harus menjadi tunggak atau pendorong utama dalam memupuk sikap membaca generasi muda kita kelak. Sebagai persoalannya, apakah peranan-peranan yang dimainkan oleh ibu bapa agar amalan membaca ini mampu dipupuk dalam jiwa anak-anak mereka ini?

Salah satunya ialah, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam aspek ini. Dalam konteks ini, mereka perlulah sendiri mengamalkan sikap membaca dengan jelas seperti membaca semua bahan-bahan penting seperti akhbar atau bersama-sama membaca bersama anak mereka. Buktinya, luang masa membaca bersama-sama anak-anak mereka pada musim cuti atau hujung minggu dengan berkunjung ke perpustakaan. Fokusnya, contoh yang diberikan oleh ibu bapa ini sudah pasti akan tertanam dalam dalam sanubari anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasinya?

Selain itu, ibu bapa boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak mereka. Secara umumnya, bahan bacaan ini tidak semestinya merupakan bahan bacaan sekolah sahaja tetapi mungkin bacaan umum. Misalnya, jangan bersikap kedekut untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan secara berkala, bukannya hanya melepaskan batuk di tangga. Kepelbagaian bahan bacaan ini mampu memberikan satu dimensi pengetahuan yang unik kepada anak selain memupuk sikap membaca mereka.

Seterusnya, didikan dari kecil harus diutamakan dalam memupuk amalan membaca. Sesungguhnya, minat dan bakat boleh diasah sejak kecil kerana ketika ini, mereka mudah dibentuk dan lebih mendengar kata. Sebagai contoh, bacalah buku-buku cerita sebelum anak-anak ini tidur kerana dengan cara ini, mereka akan terdedah dengan amalan membaca. Fokusnya, tabiat sedemikian akan menjadi amalan harian anak-anak dan mereka sendiri juga akan mewariskan perbuatan sama pada pewaris mereka pula suatu hari nanti.

Konklusinya, amalan membaca membolehkan pelbagai jenis ilmu diperoleh oleh generasi muda kita. Peranan dan sikap ibu bapa amat penting dalam memupuk sikap membaca ini kerana merekalah yang menjadi teladan kepada anak-anak kerana anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sikap membaca yang tinggi juga mampu menjadikan warga masyarakat kita satu kelompok masyarakat yang berilmu tinggi kerana membaca jambatan ilmu.

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK (UMUM)

 

Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik. Lebih-lebih lagi, kebanjiran hiburan dan pengaruh Barat yang melalaikan membimbangkan pelbagai pihak terutamanya apabila generasi muda inilah yang bakal mewarisi corak pemerintahan negara. Persoalannya kini, apakah langkah yang efisien dalam memupuk semangat patriotik ini agar terus membunga dalam generasi marcapada ini?

 

Salah satunya adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan. Umum mengetahui bahawa program yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu ini sememangnya mempunyai pelbagai maslahat yang amat berguna. Buktinya, tentatif program tersebut dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawat kaki, kursus menembak, dan aktiviti berkumpulan. Melalui aktiviti – aktiviti ini, pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati yang merupakan elemen penting dalam semangat patriotik, bak kata pepatah, ’bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

 

Di samping itu, tokoh-tokoh yang berjasa dan telah banyak menabur bakti kepada negara sewajarnya dikenali dan dihargai melalui pendidikan subjek Sejarah. Dalam konteks ini, semangat tokoh-tokoh yang berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja dan ’tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ agar tidak menjadi lipatan sejarah semata-mata. Sebagai contohnya, tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong perlulah ditekankan supaya menjadi inspirasi dan idola para remaja. Fokusnya, para remaja perlulah mengimplementasikan semangat patriotik ke arah yang positif seperti belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras memajukan negara, dan memartabatkan nama negara sehingga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

 

Selain itu, sambutan hari kemerdekaan dan bulan kebangsaan menjadi titik tolak dalam mengimbau bebas negara Malaysia daripada cengkaman penjajah. Hal ini dikaitkan dengan kemeriahan dan kehangatan suasana sambutan ini mampu membuka mata generasi muda agar tidak alpa dengan kemewahan dan keamanan yang dikecapi sebaliknya terus menyumbang bakti agar tanah air tercinta ini tidak ternoda dengan kemelut penjajah. Misalannya, pada bulan kemerdekaan ini, jalur gemilang berkibaran menanam rasa bangga akan negara dan keriuhan dalam perarakan mampu membangkitkan kesedaran dan kesetiaan kepada negara dan bangsa. Tegasnya, semangat patriotik haruslah diutamakan agar kita tidak lagi dijajah kerana sentiasalah kita diingatkan “sejarah mungkin berulang kembali” andai kata kita leka dan terlupa.

 

Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan. Tanpanya negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi pada hakikatnya kosong dan rapuh. Pendek kata, ”Negara Kita Tanggungjawab Kita” tema hari kemerdekaan akan direalisasikan oleh warga yang patriotik. Ayuh para remaja, hidup suburkanlah semangat patriotik ke dalam diri kita semua !

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME (UMUM)

 

Dewasa ini, kita sering mendengar isu remaja yang terlibat dalam gejala vandalisme tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai kerosakan dan kemusnahan harta benda awam oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Persoalannya kini, apakah langkah yang efisien dalam mengatasi isu vandalisme yang kian ketara ini?

 

Salah satunya ialah ibu bapa perlulah memainkan peranan penting dalam memberikan didikan agama dan nilai moral yang sempurna dalam jiwa anak-anak mereka. Hal ini dikaitkan dengan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Buktinya, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas sememangnya sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”.

 

Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Secara umumnya, perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Misalannya, rukun tetangga haruslah mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka.

 

Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Dalam konteks ini, pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Sebagai contoh, kerajaan mestilah mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib.

 

Konklusinya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini daripada terus menjadi barah dalam komuniti di Malaysia. Bak kata mutiara, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dengan ini, kita mampu melahirkan insan yang bertanggungjawab dalam misi negara mengejar wawasan 2020.