Tahun baharu ini

Saat ini,
Mengajarku erti,
Yang kelak bertukar kini,
Yang kini menjadi silam,
Lalu kekesalan,
Dan kegembiraan ini,
Sebati dalam hakikat….

Saat inilah,
Usahamu dinilai,
Gigihmu ditakrif,
Hatta setahun menyerah kudrat,
Bermandi peluh,
Untuk setahun mendatang….

Saat itu,
Telah menjadi detik akhir,
Kendatipun apa hasilnya,
Berbuah pelbagai rasa,
Aturan hidup kita…..

HN Harima

Advertisements

Pantun berkait : Tahun Baharu lagi…

Tinggi-tinggi terbang Sedidi,
Hinggap di batang pohon Gaharu;
Tahun baharu menjelma lagi,
Datang membuka lembaran baru.

Hinggap di batang pohon Gaharu,
Membuang lelah menanti reda,
Datang membuka lembaran baru,
Mencapai wawasan azam di dada.

Membuang lelah menanti reda,
Setelah jauh dunia kauredah,
Mencapai wawasan azam di dada,
Gigih berusaha sebahagian ibadah.

Setelah jauh dunia kauredah,
Luas pemandangan indah terbentang,
Gigih berusaha sebahagian ibadah,
Untuk kegemilangan hari mendatang.

HN Harima