September 2010


Menangani kesan-kesan sosial

Perkembangan ekonomi Malaysia yang pesat pada tahun 1990-an telah mewujudkan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum menyertai setiap aspek pertumbuhan ekonomi. Mengejar kekayaan telah menjadi rutin sebilangan besar masyarakat khususnya di bandar berbanding di luar bandar menjadikan kita tidak terlepas daripada mengalami pelbagai cabaran dan rintangan dalam bentuk isu-isu sosial yang bermacam-macam.

Jika perbandaran dijadikan sebagai contoh, kebanyakan daripada penduduk di kawasan perumahan khususnya setinggan adalah penghijrah dari luar bandar. Penghijrah ini mempunyai perasaan kebersamaan yang sangat sedikit kerana masih merasakan diri mereka adalah sebahagian daripada komuniti asal. Pada ketika nilai-nilai seperti tolong menolong, gotong-royong, bertanya khabar dan mesra tetap utuh diamalkan di kampung, setibanya di bandar dan berhadapan dengan suasana baru yang serba berbeza, mereka mudah dan rela untuk membiarkan nilai-nilai ini luntur sedikit demi sedikit. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jikalau sebahagian masyarakat di bandar lebih mengharapkan bantuan daripada agensi-agensi awam untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kita boleh juga menangani masalah sosial secara teknikal melalui susun atur dan perancangan yang teratur kawasan perumahan. Di mana-mana sahaja tanpa dapat dinafikan bahawasanya perumahan merupakan dasar dan asas utama bagi pembentukan keluarga yang sejahtera seterusnya masyarakat harmoni. Oleh yang demikian, kemudahan-kemudahan asas di kawasan perumahan seperti padang permainan, taman dan jalan pengangkutan serta sistem pendidikan wajar diutamakan. Semua elemen ini akan mewujudkan iklim hidup yang lebih kondusif dan menyihatkan melalui interaksi, tegur menegur dan bertanya khabar. Kepentingan menyediakan kawasan perumahan yang diisi dengan tempat rekreasi dan sistem pendidikan yang lengkap harus dijadikan fokus kepada perancangan sesuatu penempatan.

Kerajaan Malaysia melalui Laporan Mid Term Review of Eighth Malaysia Plan menyatakan bahawa dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, pelbagai program pembangunan perumahan telah dilaksanakan dan prestasi keseluruhan program perumahan ini amat menggalakkan dengan pencapaiannya melepasi sasaran Rancangan. Kelangsungan pencapaian ini diteruskan lagi dalam Rancangan Malaysia Kelapan dengan keutamaan akan terus diberikan kepada pembangunan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah. Bersesuaian dengan matlamat tersebut, perkhidmatan perumahan yang baik akan meningkatkan lagi kualiti hidup, menyemai nilai-nilai positif dan menggalakkan sikap berdikari seterusnya akan memperbaiki kehidupan sosial.

Oleh kerana kepadatan penduduk di kawasan setinggan yang tinggi dikatakan sebagai salah satu faktor timbulnya masalah-masalah sosial, tindakan proaktif pihak kerajaan dalam mencari punca kepada masalah tersebut sangatlah dihargai. Dalam usaha mencapai setinggan sifar, sejumlah 800,000 unit rumah telah dirancang untuk dibina bagi memenuhi keperluan rumah (RMKe-7).

Bagi rumah kos rendah, beberapa langkah telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi meningkatkan kualitinya. Antaranya ialah memperkenalkan reka bentuk baru dengan keluasan lantai 60 meter persegi termasuk tiga bilik tidur serta ruang untuk mencuci dan menjemur pakaian. Berbanding dengan dua bilik sebelum ini yang menimbulkan kesesakan di dalam rumah, ruang lantai yang lebih luas dan penambahan satu bilik menjadikan urusan harian penghuninya yang terdiri daripada ibu bapa dan anak lelaki serta perempuan dapat menerapkan dan mengukuhkan nilai-nilai Islam dalam keluarga tersebut.

Bagi mempercepatkan pelaksanaan program perumahan khususnya rumah kos rendah, kerajaan telah memperkenalkan tiga program perumahan iaitu :

a) Proram Yayasan Perumahan Untuk Termiskin (YPUT) untuk disewa oleh peserta. Program ini dibiayai oleh Bank Negara Malaysia dan mensasarkan sejumlah 20,963 unit rumah di seluruh negara.

b) Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. PPR telah diperkenalkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dengan sasaran pembinaan sejumlah 54,679 unit rumah untuk disewakan kepada setinggan di seluruh negara.

c) Program Perumahan Rakyat (PPR) Dasar Baru telah mensasarkan pembinaan sejumlah 90,000 unit PPR di seluruh negara. 50,000 unit daripadanya akan disewakan sementara 40,000 unit pula akan dijual. PPR Dasar Baru ini akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan.

Usaha kerajaan menubuhkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 1997 dan memperkenalkan skim harga baru telah meningkatkan bekalan rumah yang berharga tidak melebihi RM150,000.00 melalui kemudahan pembiayaan dan skim harga empat peringkat yang menetapkan harga rumah kos rendah dalam lingkungan RM25,000.00 hingga RM42,000.00. Insentif ini dilaksanakan bagi memberi galakan kepada pemaju perumahan supaya bergiat dengan lebih aktif dalam menyediakan rumah kos rendah untuk rakyat.

Institusi kewangan juga turut menawarkan pelbagai insentif seperti pembiayaan sehingga 95 peratus, pengecualian yuran pemprosesan dan tempoh bayaran bagi pinjaman dilanjutkan sehingga 30 tahun. Yuran guaman bagi perjanjian jual beli dan pinjaman juga telah dikurangkan. Keazaman pihak kerajaan dan kesedaran sosial pihak swasta telah mewujudkan “win-win situation” yang mana pemenang mutlaknya ialah rakyat.

Berdasarkan pada Banci 2000, jumlah unit perumahan di Malaysia telah meningkat daripada 4.06 juta pada 1991 ke 5.55 juta pada 2000 iaitu sebanyak 37 peratus dalam tempoh 9 tahun ini. Sejajar dengan pertambahan unit rumah dalam rancangan kerajaan, sewajarnya jugalah kemudahan-kemudahan asas diperbaiki bagi keselesaan penghuninya. Kemudahan bekalan air paip yang dirawat, bekalan elektrik dan kutipan sampah adalah tiga asas utama yang patut diperhati dan dibaikpulih apabila sesuatu projek perumahan hendak dibangunkan. Selain daripada itu, sistem penyelenggaraan yang teratur dimantapkan bagi memastikan bangunan dan kemudahan yang disediakan serta kemudahan awam yang lain dapat diselenggarakan dengan baik, bersih dan selamat.

Satu perkara yang sangat ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika satu tahun menjadi pemimpin Malaysia ialah memberikan fokus terhadap pertumbuhan ekonomi luar bandar dan agenda kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia di samping memberi tumpuan kepada pelaksanaan program ekonomi global. Pelaksanaan pelbagai dasar seperti Dasar Sosial Negara (DSN) yang dilancarkan pada 2003 ketika Datuk Seri Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri menandakan satu strategi yang dinamik ke arah pelaksanaan dan pengurusan pembangunan sosial di Malaysia.

Perspektif “sosial” dalam DSN merujuk kepada kehidupan dan jalinan perhubungan yang wujud di kalangan individu dan keluarga dengan anggota-anggota masyarakat dalam mencapai persekitaran yang baik dan memberangsangkan, merangkumi aspek kebajikan masyarakat, kesihatan, pendidikan, perumahan, penghayatan nilai dan budaya, keselamatan dan persekitaran yang sihat.

Dasar yang lengkap dan praktikal ini menetapkan empat objektif sebagai sasaran bagi keseimbangan pembangunan insan dan negara. Objektif-objektif tersebut ialah :

1.Memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi
2.Membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat
3.Memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial
4.Menjana sinergi multisektor

Kelangsungan kejayaan DSN ini kini diteruskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan strategi yang lebih mantap dan berorientasikan pembangunan sosial serta memberi fokus kepada wanita, keluarga dan masyarakat.

Dari segi keprihatinan kepimpinan, Perdana Menteri telah menyatakan dengan jelas di dalam pembentangan Bajet 2006 bahawa dua daripada empat strategi pokok bajetnya ialah menumpukan kepada pembangunan manusia iaitu :

1.Membangunkan modal insan (human capital)

2.Meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat

Bagi menjayakan agenda sosial ini, Datuk Seri Abdullah telah membuat keputusan memberi peruntukan kewangan 2006 kepada sektor sosial sebanyak 9.9 bilion ringgit berbanding 5.6 bilion ringgit untuk sektor pertahanan dan 3.6 bilion ringgit untuk pentadbiran pembangunan. Bagi pembangunan sumber manusia atau human capital, beliau membuat keputusan memperuntukkan 29 bilion ringgit atau satu per lima daripada peruntukan Bajet 2006 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Sebanyak 5 bilion ringgit telah diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan pelajaran dan latihan untuk guru, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Di samping itu, peruntukan sebanyak 493 juta ringgit disediakan bagi menampung 98 ribu pelajar di sekolah teknikal, vokasional dan institusi latihan kemahiran.

Selain itu, peruntukan hampir satu bilion ringgit disediakan bagi latihan perdagangan dan industri yang sedang dilaksanakan di Institut kemahiran MARA, Pusat Giat MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi. Nampaknya usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengatasi punca masalah sosial diberi penekanan yang sangat jelas dan menyeluruh, bukan sekadar usaha mudah seperti “melepaskan batuk di tangga”.

Kepemurahan kerajaan terhadap golongan miskin tegar di bandar terserlah dengan peruntukan sebanyak RM94.2 juta bagi Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Program Tambahan Makanan Seimbang dan Program Pembangunan Minda Insan. Program Perumahan Rakyat untuk penduduk setinggan Kuala Lumpur dan bandar utama diperuntukan sebanyak RM778 juta ringgit bagi membina 21 ribu unit rumah kos rendah. Sebanyak RM177 juta ringgit diperuntukan secara pinjaman kepada kerajaan negeri bagi meneruskan pembinaan 3,000 ribu unit rumah di bawah Projek Perumahan Awam Kos Rendah. Selain daripada itu, peruntukan untuk Projek Perumahan Mesra Rakyat akan ditambah sebanyak RM100 juta ringgit.

YAB Datuk Seri Abdullah dalam temuramah dengan pihak media sering menunjukkan kebimbangan yang agak sangat dalam peningkatan aliran gejala sosial. Bagi membanteras gejala dadah umpamanya, satu Jawatankuasa Khas Kabinet untuk memerangi gejala dadah dengan melibatkan beberapa buah kementerian dan agensi kerajaan ditubuhkan. Matlamat Jawatankuasa ini ialah untuk memerangi isu dadah dengan lebih efektif dan strategi yang komprehensif dengan mewujudkan program-program pembangunan insan kepada generasi muda dan pelajar sekolah serta mempertingkatkan usaha untuk memulih penagih dadah.

Kita berharap agar usaha yang bersungguh-sungguh ini dapat mengelakkan pertelingkahan kaum seperti mana yang berlaku di Kampung Medan dahulu di antara kaum Melayu dan India yang berpendapatan rendah. Keseimbangan kaum adalah sangat perlu bagi mengelakkan kesan negatif tersebut berulang. Agenda sosial kerajaan yang diberi penekanan oleh Perdana Menteri adalah satu inisiatif ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Petikan ucapan Datuk Seri Abdullah mengenai kepentingan agenda sosial beliau boleh difikirkan bersama iaitu :

“Kemajuan dan kekuatan ekonomi bukanlah segala-galanya. Ia perlu dilihat sebagai landasan untuk mencapai kesejahteraan hidup dan keutuhan sosial. Lantas, perseimbangan kebendaan dan kerohanian sangatlah penting supaya akan lahir tamadun yang agung. Kita perlu bersama-sama mengambil langkah memperkaya jiwa bangsa. Tradisi, budaya dan agama tidak seharusnya menjadi halangan kepada kejayaan sebaliknya perlu digarap sebagai tunjang mendaki ke mercu kecemerlangan yang akan mengangkat martabat bangsa dan kewibawaan negara di mata dunia.”

Mengapa wujudnya masalah-masalah sosial ?

Tidak dapat siapapun menafikan bahawa dunia pada hari ini penuh dengan berbagai-bagai ragam dan masalah, sama ada kecil ataupun besar, remeh ataupun sukar, melibatkan golongan atasan ataupun bawahan dan sesiapa sahaja sepertimana yang berlaku pada peristiwa tsunami yang melanda sekitar Asia pada 26 Disember 2004 yang lalu. Pokoknya, sebahagian besar daripada masyarakat bersetuju bahawa dunia hari ini mengalami masalah sosial. Timbulnya masalah-masalah sosial ini yang berpunca daripada pendapatan rendah memang boleh dijangkakan. Bezanya cuma dari segi keseriusan masalah tersebut dan sejauh mana kita mampu mengambil langkah-langkah pencegahan dan rawatan.

Mohd Shatar Sabran (2003) memberikan definisi masalah sosial sebagai satu masalah apabila sebahagian besar daripada ahli masyarakat ataupun sekumpulan masyarakat yang mempunyai pengaruh merasakan bahawa sesuatu perkara yang berlaku itu tidak baik dan bercanggah dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat. Lanjutan daripada itu, masyarakat dan kumpulan yang terlibat akan berusaha untuk mengubah ataupun memperbetulkan keadaan berkenaan.

Berpandukan kepada definisi masalah sosial ini, ia sebenarnya bersifat subjektif di mana berlakunya perubahan mengikut tempat, keadaan dan masa. Sesuatu perkara yang dianggap menyalahi dan menyimpang daripada norma masyarakat pada masa lalu tidak lagi dianggap sebagai masalah pada masa sekarang.

Bagi tujuan perbincangan ini, masalah sosial yang muncul setelah wujudnya penempatan yang tidak tersusun adalah sepantas penambahan setinggan yang berselerakan. Munculnya masalah yang berkaitan dengan komuniti setinggan yang tentunya sebahagian besarnya berpendapatan rendah menuntut setiap pihak untuk menilai semula perancangan bandar dan memaksa pihak kerajaan khususnya untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negara kita yang dianggarkan kira-kira 50,000 keluarga atau satu peratus daripada keseluruhan 25 juta orang penduduk negara (Utusan Malaysia, 3 Jun 2004). Daripada jumlah ini, seramai 10,000 keluarga tinggal di kawasan bandar dan memenuhi kawasan setinggan. Dengan keadaan persekitaran yang tidak kondusif dan tidak ada sistem yang baik, golongan ini gagal untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak mempunyai kelayakan akademik, di samping terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan gangsterisme.

Walaupun usaha gigih kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri dan pelbagai agensi yang terlibat, kadar kemiskinan belum dapat dihapuskan sepenuhnya, hanya dapat dikurangkan dari 16.5 peratus pada tahun 1990 ke 5.1 peratus pada tahun 2002. Bagi tempoh yang sama juga, kemiskinan di kawasan bandar telah berkurangan daripada 7.1 peratus ke 2.0 peratus. Walau bagaimanapun maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan 2004 melalui Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah menyatakan kadar kemiskinan tegar di negara ini ialah 0.7 peratus yang melibatkan 36,500 isi rumah.

Bagi sesetengah orang, memiliki rumah sendiri adalah salah satu keperluan primer yang perlu dipenuhi sebagai syarat bagi kesempurnaan hidup mereka. Misi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai matlamat setinggan sifar “menjelang tahun 2005” diharap dapat mempercepatkan proses pembangunan perbandaran yang lebih tersusun dan bersistematik.

Menurut kajian oleh Lawrence (1995), Nurizan (1991) dan Shahnaz (1996) (dalam Nurizan dan Laily Paim, 1999) menyatakan bahawa keadaan perumahan yang tidak menepati kelayakan minimum keperluan sesuatu projek perumahan akan memberi kesan yang negatif terhadap komuniti berkenaan seperti kesesakan, pencemaran persekitaran, tidak puas hati dan wujudnya kesan-kesan gejala sosial. Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ialah bagaimana mengatasi peningkatan yang mendadak penduduk bandar akibat daripada penghijrahan penduduk luar bandar yang meningkat dari 29 peratus pada 1970 ke 34 peratus pada 1980 seterusnya 50.5 peratus pada 1990 (Sixth Malaysian Plan, 1991).

Pembukaan bandar dan kawasan industri yang baru menarik minat penduduk luar bandar untuk mencari kerja di tempat-tempat ini di samping kemasukan tenaga buruh pekerja asing telah meningkatkan populasi di kawasan bandar yang memberi kesan secara langsung dan serius ke atas perkhidmatan perbandaran termasuk perumahan.