Bab 1 Hari Kelmarin

“Bosannya…” Tomoya mengeluh panjang. Sesekali tangannya mengesat keringat di dahinya.

Seperti kebiasaannya, dia bersendirian lagi waktu cuti persekolahan pada musim panas. Rakan-rakannya semuanya menghabiskan masa bersama keluarga dengan berseronok di tempat-tempat percutian. Ada yang mengunjungi taman tema, pantai, dan tempat sesuai untk percutian sekeluarga. Tomoya menghela nafas kecilnya sambil termenung panjang. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia berehat dan bersantai di rumah. Sebaliknya, dengan situasi ayahnya yang selalu mabuk-mabuk itu, dia mulai benci untuk berada biarpun sedetik di rumah kediamannya itu. Dia pulang atau tidak, dia rasa, ayahnya enggan peduli.

“Lebih baik aku selesaikan laporan untuk kerja sekolah cuti musim panas…” Bisik hati Tomoya. Dia memegang sebatang jaring penangkap serangga untuk mengumpul untuk melengkapkan koleksi rama-ramanya. Sebenarnya, dia tidaklah berminat untuk mengumpul serangga, akan tetapi, atas arahan cikgunya yang menyuruhnya supaya memilih aktiviti itu untuk kerja kursusnya pada cuti sekolah, iaitu membuat kajian mengenai alam sekitar. Lantas, dia pun memilih untuk mengkaji rama-rama. Tangkap dan awetkan rama-rama tersebut serta melabelkannya..

“Panasnya…” Keluhan Tomoya kedengaran lagi. Agak lama dia berkejaran menangkap rama-rama, sedar atau tidak, waktu pun sudah pun mencecah pukul 12 tengah hari. Hari semakin terik. Bahang panas mula dirasai. Apatah lagi musim ini ialah musim panas. Tomoya pun mula mengalah. Dia mengambil segala peralatan yang dibawa dan mula beredar dari taman permainan untuk melangkah pulang ke rumahnya. Tidak sampai beberapa minit dia berjalan, seekor rama-rama berwarna biru keunguan  melintasinya. Sangat cantik, sehinggakan Tomoya terus berpaling dan mula mengejar rama-rama itu. Kelajuan rama-rama itu sangat pantas menyukarkan Tomoya mengejarnya. Namun dia tidak mahu berputus asa. Dalam kejar-mengejar, rama-rama itu terbang ke dalam sebuah lorong kecil. Dia memasuki laluan yang agak sempit dan jalan itu berada di antara dua pagar yang dilitupi tumbuhan hijau yang menjalar. Di penghujung laluan tersebut, tersergam sebuah taman yang dipenuhi bebunga yang cantik. Namun, apa yang dipedulinya ialah rama-rama tersebut.

“Bersedialah!” Tomoya mula mengorak langkah darstik.

Dunia ini adalah cantik. Itulah kata-kata yang selalu diungkapkan oleh ibu bapanya. Ibu bapanya ialah pengkaji sains fizik dalam bidang Metafizik (dunia maya). Sudah tentu, mereka ini merupakan pengkaji terkenal dalam dunia sains Metafizik ini. Pencapaian mereka ialah penemuan saintifik “dunia lain”, dunia yang dikatakan selari dengan dunia lain. Penemuan mereka hampir menamatkan perbalahan para saintis mengenai hukum dunia parallel dan realitiviti. Tesis Ichinose, mendapat tempat dalam kajian fizik dan diiktiraf oleh para ahli sains di seluruh dunia. Namun, kehidupan keluarga Ichinose ini tidaklah segah kedudukan yang diberikan oleh orang ramai. Mereka hidup sederhana di sebuah rumah dua tingkat ini. Kotomi selesa begini. Setiap petang ibu bapanya pasti menemaninya minum petang di taman halaman rumah mereka. Selalunya kajian yang dilakukan oleh ibu-bapanya dijalanan di makmal peribadi mereka di rumah.

“Ayah, kenapakah ayah menamai saya Kotomi?” Soal Kotomi tiba-tiba kepada ayah di suatu petang yang indah. Ayah tersenyum melihat telatah Kotomi itu. Anak perempuan yang cukup disayanginya.

“Tahukah kamu, dunia kita ibarat irama yang merdu. Setiap kehidupan ini melalui dan menghayati melodi ini dan kamu tidak berkecuali. Irama-irama ini datang dari permainan kehidupan yang begitu kompleks. Tetapi, keindahan irama itulah yang telus bermain dalam setiap insan. Dan aluan itu hadir seakan dari sebuah alat muzik Koto (alat muzik tradisional Jepun). Musik Koto yang indah akan membahagiakan semua orang, tidak kira sesiapa pun, Kotomi….” Ayahnya tersenyum.

“Jadi, nama saya hadir daripada perkataan alat musik Koto itu,?” Soal kembali Kotomi, yang cuba menghayati kata-kata ayahnya.

“Ayah mahu kamu mainkan irama indah seiring dengan dunia ini. Dunia ini penuh dengan keindahan. Kehadiran kamu di dunia ini juga ialah sebahagian keindahan yang mewarnai dunia ini. Untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan yang luas ini, kita saling memerlukan satu sama lain, seperti mana antara kamu dan ayah…..” Bapanya ketawa kecil melihat Kotomi yang cuba memahami apa yang tersirat dalam kata-kata puitis itu. Belum sempat lagi bapanya membuka mulut menyambung cerita, ibunya menyampuk.

“Jangan terpengaruh kata-kata ayah kamu itu. Nama kamu terbentuk daripada tiga hiragana (ことみ) yang comel, seperti mana diri kamu juga. Itulah tanda kasih sayang kami curahkan kepada kamu. Kamulah harta yang paling bermakna buat kami, Kotomi-chan...” Kata-kata ibunya itu cukup membahagiakannya. Kotomi masih ingat kata-kata itu, sentiasa. Dia sangat sayang akan ibu bapanya itu.

Zaman kecilnya banyak dihabiskan di rumah. Jika dia berada di luar pun, hanya untuk hadir dan belajar di sekolahnya. Di sekolah pun, dia banyak menyepikan dia. Biarpun dia merupakan pelajar yang terpandai di dalam kelasnya, tetapi dia jarang untuk berinteraksi dengan gurunya dan rakan-rakannya. Ramai yang kurang menyenanginya kerana layanan berbeza kepada Kotomi. Guru-guru banyak menyebelahinya dan memanjakannya. Jika ditanya mengapa, jawapannya mudah, dia rajin, tekun, dan genius. Mengapa? Sejurus selepas memperolehi buku teks mata pelajaran, dia sudah memahami dan menyelesaikan semua soalan dalam semua bab yang ada dengan tidak sampai sebulan. Malah, dengan masa yang singkat, dia menamatkan silibus pelajaran pada tahapnya biarpun tiada tutor di rumah. Ada juga cadangan daripada pihak sekolah untuk membenarkan Kotomi menamatkan persekolahan peringkat rendah lebih awal dan terus sahaja menyambung pelajarannya ke sekolah tinggi. Kotomi enggan dan menolak cadangan itu mentah-mentah. Dia mahu menjadi seperti kanak-kanak lain, biarpun dia ini seorang pelajar yang ‘istimewa’.

Violin itu diangkat dan digeseknya dengan penuh perasaan. Dia sangat suka bermain violin. Ibunya selalu memberi tunjuk ajar jika ibunya ada kelapangan. Masa ibu bapanya banyak dihabiskan dengan berada di makmal berbanding di sampingnya. Hanya violin sahaja peneman hiburnya. Hari ini dia agak gembira kerana ibu bapanya berada di rumah. Maklumlah, masa cuti sekolah ini, memang kesepian tanpa orang tuanya dirumah. Sengaja bapanya meluangkan masa di rumah kerana dia hanya perlu menyiapkan tesis dan teks laporan sahaja.

Violin dimainkan perlahan-lahan mengalunkan irama yang menusuk kalbunya. Kotomi begitu menghayatinya. Entah berapa ketika kemudian, gesekannya terhenti setelah dia terlihat satu kelibat manusia yang berlarian mengejar sesuatu di halamannya. Mana mungkin ayahnya berkejaran sedemikian. Lantas, dibukanya pintu dengan perasaan curiga. Seorang budak lelaki terhenti daripada lariannya serta-merta apabila menyedari kehadiran Kotomi di hadapan pintu rumahnya. Dia memandang tepat kepada Kotomi.

“Siapakah kamu? Kenapa kamu ada di sini?” Kotomi menyoal ringkas. Spontan.

“Maaf, saya sedang mengejar rama-rama, tetapi tersesat ke sini. Maaf… Err, kamu ini, siapa?” Soal kembali budak lelaki itu.

“Nama saya Kotomi. Kalau dieja, menggunakan tiga hiragana. Kalau kamu mahu memanggil nama saya, panggillah Kotomi-chan…” Kotomi pantas menjawab. Skil komunikasinya agak lemah sedikit. Ah, memang lemah pun.

“Err….” Tak terjawab budak lelaki itu setelah dia mendengar pernyataan itu. Apakah yang perlu dilakukannya? Melarikan diri?

“Ah, ada tetamu comel yang datang…” Ibu Kotomi muncul tiba-tiba di belakang Kotomi. Di tangan ibu Kotomi, kelihatan beberapa potong pai epal di atas pinggan yang baru dibakarnya untuk Kotomi sebagai minum petang mereka.

“Maaf…” Kaki si budak lelaki itu spontan bergerak cuba melarikan diri, tetapi terhenti kerana terhalang oleh seorang lelaki dewasa sudah pun tegak berdiri di hadapannya – bapa Kotomi yang sebenarnya.

“Jangan takut, pak cik tidak makan orang…” Si bapa tersenyum. Budak lelaki itu menarik nafas lega.

“Maafkan saya. Saya tidak sengaja datang ke sini. Saya ingin menangkap rama-rama yang terbang ke sini.” Si budak lelaki itu memohon kemaafan.

“Siapa nama kamu?” Soal si ibu.

“Okazaki Tomoya.” Tomoya menjawab, lembut.

“Masuklah, mak cik belanja kamu makan pai ini.” Kata ibu Kotomi, sambil menunjukkan pai epal yang baru dibakarnya tadi.

“Baik…” Tomoya akur. Dia ikut sahaja kata-kata ibu Kotomi itu.

Langkahnya ke dalam rumah itu bagai membuaikan hatinya. Di dalam rumah itu, ada sesuatu yang begitu aneh buat Tomoya. Hiasan? Bukan. Tetapi apa? Perasaannya. Di dalam rumah itu seakan ada secebis rasa kehangatan yang melanda hatinya. Selama ini dia sepi tanpa rasa kasih dalam keluarganya. Perasaan hangat itu hadir dari kemesraan ibu bapa Kotomi. Dan juga, kehadiran Kotomi yang tidak kekok berdamping dengannya. Sekali-sekala matanya meleret pada sekeliling. Rumah Kotomi dihiasi rekaan daripada barat dan sungguh menyenangkan mata melihatnya. Tidak seperti rumahnya yang tidak teratur dan berserabut itu. Bapa Kotomi duduk di hadapannya sambil menghisap rokok paipnya.

“Rama-rama itu, untuk apa?” Soal Bapa Kotomi, merujuk kepada bekas rama-rama Tomoya.

“Kerja sekolah…” Ringkas. Tomoya senyum, biarpun agak terpaksa.

“Hahaha…. Tahu tak bahawa rama-rama ………….” Seperti biasa bapa Kotomi mula berceloteh mengenai rama-rama. Secara khusus dan saintifik bapa Kotomi menerangkannya. Tomoya mengangguk-angguk, tetapi sedikit sahaja infomasi yang dikutipnya. Kotomi pula mendengar dengan penuh perhatian.

“Ayahnya, sudahlah itu…” Ibu Kotomi membawa teh dan sepotong pai epal untuk kudapan buat mereka. Bapa Kotomi ketawa kecil dan kembali menghisap rokok paipnya. Isterinya memang sangat memahaminya.

Otou-chan, hebat…” Kotomi kagum dengan pengetahuan bapanya. Tomoya pula agak lega kerana akhirnya si ayah ini menamatkan penjelasan yang sangat panjang itu.

“Makanlah…” Sepotong pai sudah pun terhidang di depan Tomoya. Tomoya tunduk.

“Terima kasih. Ittadakimasu (saya makan)….” Dia pun makan pai epal yang berbau harum itu. Enak. Sangat enak. Dia tersenyum apabila Kotomi memandangnya. Kotomi pun senyum kembali. Dalam hati Tomoya, dia sangat terharu. Inikah rasanya makanan daripada air tangan seorang ibu? Air mata sedikit bergenang di kelopak mata Tomoya. Cepat-cepat dia kesat. Ibu bapa Kotomi ketawa. Mungkin mereka rasakan bahawa Tomoya terharu kerana pai itu sangat sedap.

“Jangan malu-malu…” Ibu Kotomi meletakkan sekeping pai lagi dalam pinggan Tomoya.

“Makanlah lagi…” Kotomi gembira. Untuk sekian kalinya, ada juga seseorang yang mahu tersenyum kepadanya. Tomoya tidak seperti rakan-rakan yang lain di sekolahnya. Dia seakan faham erti kesepian. Erti keseorangan.

“Baik…” Tomoya tidak segan lagi.

Selepas menjamu selera, Kotomi menunjukkan bakatnya bermain violin. Kadang-kala bunyinya begitu merdu, tetapi adakalanya lari sedikit bunyinya. Apapun, Kotomi kelihatan gembira, jadi Tomoya diam sahaja biarkan bunyi sumbang itu berlalu.

“Bagaimana Tomoya?” Soal Kotomi, menamatkan persembahannya itu. Awal-awal lagi si bapa Kotomi melarikan diri. Tomoya bangun lalu menepuk perlahan bahu Kotomi.

“Cuba lagi….” Tomoya mengeleng-gelengkan kepalanya. Ibu Kotomi ketawa kecil.

“Selalunya ayahnya akan memuji, tetapi kamu tidak….” Ujar si ibu sambil ketawa.

“Kenapa begitu?” Kotomi memandang tepat pada ibunya.

“Itulah yang kita panggil kejujuran….” Balas ibunya sambil tersenyum pada Tomoya. Kemudiannya dia beransur ke dapur kembali.

“Hahaha….” Selaku anak yang kurang didedahkan tentang perasaan, Tomoya kurang arif dalam menjaga perasaan orang lain, justeru, dia selalu akan berterus terang dengan apa yang dirasakan dan fikirkannya. Tomoya sekadar garu kepalanya yang tak gatal itu sambil ketawa kecil.

“Baiklah, saya akan berusaha lagi…” Kotomi memandang tepat pada Tomoya.

“Erm…” Tomoya mengangguk.

Selepas itu, Kotomi bawa banyak buku ceritanya. Bagi Tomoya, buku-buku di hadapannya ibarat duri-duri yang cuba mencucuk matanya. Mana tidaknya, asal dia membuka buku, pasti dia terlelap kemudian. Tetapi, tidak di depan gadis kecil itu. Kotomi membacakan buku cerita untuk didengarinya.

“Hari kelmarin, aku……”

Saat itu bermula detik hari kelmarin. Sedetik sebelum masa yang akan datang, hinggalah hari itu. Dunia ini indah. Kata-kata bapa Kotomi memang tepat. Siapapun tidak akan menjangka apa yang akan berlaku. Itulah realiti, dari hari kelmarin………

Leave a comment