Cerpen- Hasil karya

Diari adik yang terakhir…..

HN Harima.

Masa berlalu tanpa menunggu sesiapapun. Aku, dia dan seluruh makhluk di serata alam ini pun tiada berkecuali. Air mata ini sudah lama kering. Tidak bisa mengalir lagi. Aku tak pasti apakah nasib menanti adiknya itu. Hidupkah? Ataupun sudah pergi meninggalkanku seorang diri. Aku sayang akan kamu, adikku. Terlalu sayang. Tetapi, mungkin Tuhan lebih menyayanginya.

Angin dingin itu memanjat-manjat dirinya. Sesekali dia mengosok perlahan tubuhnya untuk sedikit kehangatan. Akan tetapi, hatinya tak bisa hangat seperti dahulu. Hatinya semakin beku dengan kesedihan ini.

Kana sedang bersabung nyawa sedang aku duduk membatu di sini. Tiadakah apa yang mampu aku lakukan? Tiadakah langsung kekuatan untuk membantu insan yang aku sayang itu?

“Takeya, bersabarlah…” Ujar Nadeshiko. Itulah kata-kata sama yang diluah oleh teman-temannya yang bersamanya sebentar tadi. Oleh sebab masa pembedahan berlarutan hingga ke subuh hari, ramailah rakannya pulang meninggalkannya. Mereka punya urusan masing-masing. Kemudiannya, Nadeshiko pun pulang ke rumah meninggalkannya, itupun atas desakan dirinya yang mahukan keseorangan. Dia tidak mahu hati gadis itu terluka. Biarpun gadis itu cukup menyintainya, malang sekali hatinya itu hanya pada adiknya.

Adiknya, Kanaria, seorang pelajar sekolah tinggi, yang baru berusia 17 tahun, sedang menghidapi penyakit hati yang serius. Sejak usia adiknya seawal 9 tahun lagi, adiknya menghidapi penyakit yang jarang-jarang berlaku ini. Penyakit ini sukar diubati dan kini sudah berada pada peringkat akhir. Pembedahan ini akan menentukan nasib adiknya itu, sama ada terus hidup, ataupun mati. Dia mengetap giginya menahan kepiluan hatinya. Dia berdoa agar pembedahan ini berjaya. Dia selalu berdoa….

Masa Silam

Takeya dan Kanaria selalu bergaduh semasa mereka kecil Takeya selalu membuli Kanaria, kerana cemburu melihat Kanaria yang dimanja-manjakan oleh ibu-bapanya. Suatu hari, semasa mereka berkelah di kawasan bukit, Kanaria tersesat di hutan kerana merajuk dibuli Takeya. Takeya pun mencari adiknya itu, lalu meredah ke dalam hutan. Setelah beberapa lama dalam hutan , Takeya berjaya menjumpai adiknya yang menangis ketakutan. Mereka pun cuba keluar dari kawasan hutan tersebut, namun malangnya mereka gagal. Takeya mulai insaf dan berusaha melindungi adiknya itu. Sejak itu, mereka menjadi sangat rapat. Mujurlah ranger hutan menemui mereka. Keadaan Takeya agak teruk kerana banyak kecederaan yang dialaminya ketika melindungi Kanaria. Dia pengsan semasa dalam perjalanan ke  hospital.

“Bagusnya awak mempunyai abang seperti dia.” Kata-kata jururawat itu didengarinya sejurus sahaja dia sedar dari tidurnya. Dia dikejarkan ke hospital berdekatan bagi merawatnya dan Kanaria. Takeya spontan memandang adiknya itu dan menarik lafaz lega kerana adiknya sihat sejahtera.

“Abang…” Kanaria memeluk lengan abangnya itu sambil menangis. Takeya sekadar mengosok-gosok manja adiknya itu.

“Terima kasih, kakak…” Ujar Takeya kepada jururawat itu.

Dua tahun kemudian, adiknya pula dimasukkan ke hospital yang sama kerana penyakit hati yang kronik. Jururawat yang pernah merawatnya, Maki, telah ditugaskan untuk menjaga adiknya itu.

Penantian itu

Pembedahan masih berterusan tanpa ada tanda-tanda untuk tamat. Sekelilingnya sunyi-sepi tanpa seorang manusia pun di sini. Ibu dan bapanya pulang ke rumah bagi menguruskan urusan mereka dan urusan adiknya. Sebarang kemungkinan boleh berlaku. Oleh yang demikian, dia setia menantikan adiknya itu. Di sebelahnya ada sebuah buku novel ringan yang dibelinya sebagai hadiah buat adiknya itu. Buku ini hadiah pertamanya semasa adiknya berada di wad hospital kerana penyakitnya itu. Judul buku itu ialah ‘Kyou Wa Anata‘ yang bermaksud hari ini ialah untuk kamu. Buku ini mengisahkan ketabahan seorang pelajar menghadapi cabaran dan dugaan untuk berjaya.

Dia memejamkan matanya. Dia ingat lagi akan janji-janjinya yang perlu dikotakan. Mereka mahu bersama-sama bermain salji jika adiknya sihat kelak……

“Abang, saya mahu bermain salji di luar sana.” Ujar Kanaria secara tiba-tiba. Takeya yang baru sahaja tiba di  untuk melawatnya agak terkejut dengan permintaannya itu.

“Eh, kamu masih belum lagi sihat sepenuhnya! Kalau kamu demam nanti, semakin melarat penyakit Kana nanti. Bukankah kakak Maki sudah memberi amaran.” Takeya tahu bahawa penyakit adiknya itu menyebabkan badan adiknya kekurangan daya ketahanan terhadap penyakit. Jika Kanaria menghidapi demam, maka berminggu-minggu lamanya masa diperlukan Kanaria untuk sembuh. Sebab itulah Takeya berkeras.

“Mmm…” Kanaria memuncungkan bibirnya tanda protes. Takeya senyum.

“Nah, ini hadiah dari abang…” Takeya menghulurkan sebungkus hadiah kepada Kanaria. Kanaria mengambilnya lalu tersenyum.

“Novel baru?” Tanya Kanaria sambil membuka balutan hadiah itu.

“Bukan…” Memang jelas bukan novel, tetapi sebuah buku diari yang cantik. Takeya mahu adiknya mencatatkan dalam diari itu segala-galanya yang dilaluinya. Kanaria gembira sebentar, tetapi kembali monyok kerana larangan abangnya itu. Takeya tersenyum lalu mengusap kepala adiknya itu.

“Abang janji kalau kamu sihat nanti, kita main salji bersama-sama seperti zaman kanak-kanak kta dahulu…” Kanaria kembali tersenyum apabila mendengar kata-kata abangnya itu.

“Janji…?” Ujar Kanaria sambil menghulur anak jarinya tanda perjanjian.

“Em, abang janji…” Takeya menyambut jari itu dengan penuh harapan, adiknya akan pulih.

Zaman Sekolah

Seperti remaja biasa yang lain, Takeya juga mempunyai hasrat untuk bercinta. Ketika dia memasuki sekolah tinggi, adiknya berada pada tahun pertama di sekolah menengah. Oleh yang demikian, mereka terpisah semasa waktu persekolahan. Dia meminati Nadeshiko, yang juga belajar sekelas dengannya semasa sekolah menengah dahulu. Malangnya, surat cinta yang dihantarnya telah diketahui oleh rakan-rakan sekelasnya kerana kecuaian Nadeshiko. Seluruh rakan sekelasnya menyindir dan mengejeknya menyebabkan hatinya tertutup untuk bercinta lagi. Baginya lebih baik menyayangi adiknya itu daripada orang luar yang langsung tidak memahaminya itu. Nadeshiko telah beberapa kali cuba meminta maaf, tetapi tidak diendahkan oleh Takeya. Takeya sedaya-upaya mengelakkan diri daripada bertemu dengan gadis itu. Setelah beberapa ketika, Nadeshiko berputus asa dan membiarkan perkara itu berlalu tanpa sebarang penyelesaian.

Kanaria sering tidak hadir ke sekolah atas sebab masalah kesihatannya. Dari waktu sekolah rendah lagi, bilangan kedatangan Kanaria ke kelas tidak memberangsangkan. Mujurlah pencapaian akademiknya agak baik dan dia pun diterima masuk ke sekolah menengah berdekatan. Lagipun, abangnya sentiasa melawatnya dan membantunya belajar dan mengulangkaji kerana pencapaian abangnya sangat baik dalam akademik. Kanaria sering bercita-cita untuk masuk ke sekolah tinggi abangnya yang dianggap sekolah elit di kawasan Kantou. Takeya sentiasa memberikan galakan yang penuh kepada adiknya itu untuk terus berusaha demi masa hadapan. Biarpun dia tahu penyakit adiknya itu mungkin tidak dapat disembuhkan namun dia mahu adiknya optimis dengan masa hadapan.

Masa terus berlalu, dengan masa-masa lapang Takeya diisi bersama Kanaria. Ibu-bapanya berasa lega kerana komitmen mereka pada pekerjaan mereka mengehadkan kunjungan mereka ke hospital untuk bersama Kanaria. Takeya dan Kanaria faham akan tanggungjawab dan karier ibu-bapanya itu. Lagipun, pembelanjaan perubatan Kanaria agak mahal. Biarpun wang tidak mampu membeli segalanya, tetapi segalanya perlukan wang.

Takeya kini sudah menamatkan persekolahannya. Hari ini hari terakhir untuknya berada dalam sekolah tinggi ini. Sepertinya, adiknya juga telah tamat  sekolah menengah dan kini sedang menduduki peperiksaan untuk kelayakan sekolah tinggi. Takeya sudah pun mendapat tawaran belajar di Universiti Kebangsaan Tokyo, seperti mana yang dia impikan. Takeya masih ingat lagi senyuman Kanaria yang begitu ceria apabila dia berjaya mendapat tawaran ke universiti itu. Takeya juga berharap yang adiknya berjaya dalam peperiksaan kelayakannya itu.

“Takeya…” Suara yang cukup dikenalinya itu menyentak khayalan Takeya. Dia memaling mukanya ke arah suara itu, dan Nadeshiko yang dilihatnya.

“Nadeshiko… Boleh saya bantu?” Ujarnya selamba. Takeya cuba berlagak seperti biasa.

“Maafkan saya. Semua yang berlaku di luar jangkaan saya…” Kata-kata Nadeshiko itu bagai meruntun jiwanya. Perkara itu sudah lama berlaku.

“Ya, saya maafkan awak, lama dahulu. Cuma, saya masih tidak dapat menerima hakikat itu dahulu. Sekarang tidak lagi. Saya sudah cukup matang. Saya akui kekecewaan saya ini kecil berbanding orang lain.” Takeya tenang bertutur. Dalam kata-kata itu, tergambar olehnya penderitaan adiknya itu.

“Kita berkawan, ya…” Nadeshiko tersenyum.  Permusuhan itu sudah berakhir. Walau bagaimanapun, mungkinkah persahabatan itu berbunga menjadi cinta?

Musim Bunga

Kanaria berjaya memasuki sekolah tinggi yang diidamnya. Abangnya, Takeya pula sudah bergelar mahasiswa. Setelah Takeya menguruskan kemasukannya ke universiti, dia mengiringi adiknya ke sekolah tinggi lamanya itu untuk membantu adiknya mendaftar di sana. Keadaan fizikal adiknya yang lemah itu menyebabkan Takeya menemai adiknya itu kerana bimbang akan segala kemungkinan yang boleh terjadi. Selepas sahaja selesai menguruskan dokumen dan pendaftaran, mereka pun berangkat pulang. Hari ini, Kanaria dibenarkan pulang ke rumah oleh doktor, namun, hanya dua atau tiga hari bergantung kepada keadaan Kanaria. Oleh sebab itu, Takeya membawa adiknya bersiar-siar ke kawasan bandar sebagai meraikan kepulangan adiknya itu.

“Kana, hari ini abang akan bawakan kamu ke mana-mana kamu suka.” Ujar Takeya sambil tersenyum.

“Benarkah?” Kanaria ceria. Lantas jarinya menuju ke arah kain rentang yang mengiklankan sebuah pusat akuatik di situ.

“Pusat Akuatik Dan Maritim Yuma?” Soal Takeya, mencari kepastian. Adiknya mengangguk tanda benar.

“Baiklah…” Mereka mengunjungi tempat itu yang mempamerkan kehidupan laut yang pelbagai. Dia tahu, Kanaria amat suka akan ikan lumba-lumba. Kanaria kelihatan bahagia dan lebih sihat daripada dahulu. Dia ingat lagi saat-saat duka ketika Kanaria baru masuk ke wad kerana penyakitnya itu. Namun, mungkin masa yang lama itu mematangkan fikiran si adiknya itu. Kanaria menerima kenyataan pahit itu akhirnya.

Kanaria begitu asyik memerhati kehidupan laut yang dipamerkan. Takeya juga turut terhibur melihat haiwan-haiwan tersebut berenang bebas, biarpun dalam kolam terkurung itu. Dia mengerti perasaan adiknya itu. Terkurung dan tidak bebas melakukan apa-apa aktiviti yang dihajatinya. Takeya merasakan menjadi tanggungjawabnya menggembirakan hati adiknya itu.

“Takeya!” Dia tersentak. Ada suara yang memanggilnya di belakang.

“Nadeshiko?” Takeya melihat Nadeshiko berlari-lari anak daripada sekumpulan gadis di situ. Kanaria yang berada di sisi Takeya mula tidak berasa selesa dengan kehadiran Nadeshiko.

“Secara kebetulan kita berjumpa di sini. (Memandang ke arah Kanaria) Teman wanita awak?” Soal Nadeshiko. Takeya ketawa kecil.

“Bukan begitu, ini ialah adik saya, Kanaria namanya. Kanaria, ini kawan abang, Nadeshiko.” Ujar Takeya, memperkenalkan satu sama lain. Kanaria sekadar tunduk hormat sahaja.

“Kanaria, selamat berkenalan…” Nadeshiko senyum lega. Adik Take rupa-rupanya.

Kehidupan

“Kana, abang datang.” Ujar Takeya sambil mengetuk pintu. Selepas habis kuliah, dia akan melawat adiknya itu. Selepas bersiar-siar ke bandar, keadaan kesihatan Kanaria agak kurang memuaskan menyebabkan Kanaria terpaksa kembali ke hospital selepas dua hari di rumah.

“…….” Tiada balasan dari Kanaria.

Biarpun tiada jawapan darinya, aku tahu dia di dalam. Di situ sahajalah tempat untuk dia kini….

“Abang masuk….” Takeya memulas tombol pintu itu.

Apabila sahaja aku buka pintu itu, aku ditelan dunia putih ini. Segala-galanya putih : cadar putih, siling putih, dinding putih, katil putih dan segala-galanya. Ya, itu sahajalah yang aku mampu gambarkan mengenai bilik wad khas hospital ini. Dan, di situ jugalah seorang gadis muda berkulit putih, dan berbaju tidur putih menghabiskan masanya di ruangan putih ini. Seraya gadis itu menatap ku.

“Hai, abang….” Ujar Kanaria, lembut.

Adik ku itu masih mesra tersenyum, biarpun senyumnya lemah. Aku menahan perasaan ku. Kuat-kuat aku simpankan rasa hati ini. Aku mengambil kerusi, dan duduk hampir dengan tilamnya. Dengan ini aku dapat merenung matanya itu, dan meneruskan perbualan kami ~ hati ke hati…..

“Bagaimana kesihatan kamu kini, Kana.” Terus sahaja Takeya menyoal. Dia mahu mengetahui perkembangan adiknya itu.

“Hmm…..” Kanaria tidak terus sahaja menjawab. Dia tutup buku di pangkuannya itu, lalu diletaknya di tepi. Wajahnya kini tertumpu pada Takeya.

“Baik….” Kanaria akhirnya menjawab, dengan wajah ceria.

“Yakah… Baguslah begitu. Adakah kamu ikut jadual makan kamu? Pastikan kamu habiskan apa-apa yang dihidangkan.” Soal Takeya lagi, yang benar-benar mengambil berat tentang adiknya itu.

“…….” Kanaria senyap lagi. Tiada kata-kata darinya. Tak lama kemudian, dia mengangguk, sebagai respons kepada soalan abangnya itu.

“Yalah tu…. Walau bagaimanapun, hari ini kamu nampak sihat. Adakah kamu menghidapi deman lagi baru-baru ini….?” Takeya meletakkan tapak tangannya pada dahi Kanaria.

“Ada… Tapi sedikit sahaja…” Ujarnya perlahan. Tak mahu membimbangkan abangnya itu.

“Benarkah? Adakah ianya lebih teruk dari semalam? Kenapa? Adakah kamu lakukan senaman atau aktiviti lain hari ini?” Takeya memandang tepat pada Kanaria. Kanaria senyum lagi.

“Tadi, saya berjalan-jalan sebentar….” Kanaria membalas soalan Takeya dengan tenang. Takeya lega.

“Kalau begitu demam kamu pastinya akan pulih menjelang petang ini. Baguslah kalau begitu….” Takeya gembira dengan keadaan adiknya. Semalam, adiknya demam panas. Dia sangat gusar keadaan adiknya itu. Hari ini adik kelihatan sihat sedikit.

“Ya….” Kanaria memandang ke arah luar tingkap. Pemandangan di hospital ini sangat mengasyikkan.

“Kamu sedang membaca buku ya…” Takeya mengambil buku di sebelah Kanaria. Dia tahu selalunya masa Kanaria dihabiskan dengan membaca buku-buku. Kadang-kala dia beli buku untuk adiknya itu.

“Diari kamu, sudah bertulis…?” Soal perlahan Takeya. Kanaria menganggukkan kepalanya tanda ya. Takeya tersenyum. Dia tahu adiknya tidak selesa jika dia bersama orang lain datang ke sini. Pernah sekali Nadeshiko datang, terus sahaja raut wajah Kanaria berubah. Oleh sebab itu, dia sering bersendirian datang melawat adiknya itu.

“Untuk kamu…” Takeya menghulurkan sebuah bola kaca yang kelihatan bersalji di dalamnya. Kanaria terkejut lalu mencapai bola salji itu dengan gembira.

“Terima kasih, abang.” Ujar Kanaria sambil memeluk Takeya. Takeya membalas pelukan Kanaria dengan hati yang sayu. Dia mahu adik sembuh.

Perpisahan Terakhir.

Akhirnya, pembedahan itu tamat. Selama lapan jam doktor-doktor di situ berperang menyelamatkan nyawa seorang insan. Dan dipenghujung itu, jawapannya hanyalah pada ketakdiran Tuhan. Kita manusia hanya boleh merancang. Takeya berkejar  ke arah doktor bagi mendapatkan keputusan pembedahan itu.

Takeya memasuki bilik wad yang menempatkan Kanaria. Perlahan-lahan dia duduk disebelah adiknya itu. Kehadiran Takeya disedari oleh Kanaria. Seraya Takeya memegang tapak tangan halus milik adiknya itu. Kanaria membalas genggaman itu dengan penuh kelembutan~penuh dengan kasih sayangnya.

“Kana… Kamu akan sihat nanti.” Ujar Takeya, tersenyum pahit. Adiknya sekadar memandangnya dengan senyuman yang penuh bermakna itu. Sedihkah adiknya itu? Atau sengsara menghadapii derita ini? Air matanya mengalir laju tanpa mampu ditahannya.

“Abang… Saya sayang akan abang…” Kanaria menyeka air mata abangnya. Kesedihan itu bagai terus menghimpit-himpit dirinya. Dia peluk tubuh kecil adiknya itu.

Sebentar tadi, doktor menyatakan bahawa hayat adiknya sudah hampir berakhir. Pembedahan belum cukup untuk menyembuhkan penyakit adiknya itu. Ditambah pula dengan keadaan fizikal adiknya yang lemah serta kurang stabil menyulitkan lagi keadaan adiknya itu. Adiknya akan terus menderita akibat penyakit itu hinggalah penghujung riwayatnya. Cara terakhir menamatkan penderitaan adiknya itu ialah menamatkan riwayat adiknya dengan suntikan maut.

“Setujukah kalian jika nyawa Kanaria ditamatkan?” Doktor berumur itu meminta izin pada ahli keluarga Takeya. Di sisi doktor itu, jururawat yang pernah merawatnya dan Kanaria ketika kecil, Maki, menangis teresak-esak. Dia tahu perasaan Takeya ketika ini.

“Baiklah…” Ujar Takeya, sebagai menjawab bagi pihak keluarganya. Ibu bapanya hanya senyap sahaja. Dia tahu, segala keputusan keluarganya akan menyakitkan hatinya dan Kanaria. Biarlah dia bertanggungjawab. Penderitaan Kanaria tidak harus berterusan lagi. Tubuh kecil milik Kanaria itu mana mungkin mampu menahan penderitaan itu.

“Takeya…” Maki memeluknya. Takeya bagaikan adiknya. Begitu juga dengan Kanaria. Dia ingat lagi, bahawa kedua-dua adik-beradik ini ialah pesakit pertamanya. Takeya membalas pelukan itu.

“Terima kasih kakak Maki…”

“Abang…” Kata-kata Kanaria itu menyebabkan dia kembali ke dunia realiti. Dia melihat adiknya menahan sisa-sisa keperitan kerana kesan bius ubat sudah hampir habis. Bila-bila masa sahaja doktor akan menyuntik suntikan maut itu kepada Kanaria. Saat itu Kanaria akan berpisah jauh daripadanya. Cukup jauh dari dunia ini.

“Kana, abang….” Secara tiba-tiba Kanaria mula menjerit kesakitan. Kesakitan itu berpunca daripada fungsi hatinya yang abnormal. Akhirnya masa perpisahan sudah bermula. Tanpa suntikan itu, adiknya akan berterusan begini hingga penghujung nyawanya. Dia genggam kuat tangan adiknya sambil doktor mula melakukan tugasnya itu. Air matanya berjuraian lagi. Selepas beberapa ketika, Kanaria menjadi tenang kembali. Matanya semakin layu dan layu. Kemudiannya, Kanaria berada dalam lena yang panjang. Takeya masih tidak mahu berganjak. Tangan adiknya itu masih hangat. Kanaria masih di sisinya.

Diari

Senyumlah kepada ku,

Sentuhlah ku dengan jarimu,

Impian ini bisa berkekalan,

“Abang…” Suara Kanaria mengejutkannya dari lena. Takeya bangkit daripada baringannya lalu memandang sekeliling. Segala penuh kehijauan. Mereka berada dalam sebuah taman yang penuh tumbuhan kecil.

“Kana, kamu sudah sihat  ya?” Ujar Takeya dengan gembira. Kanaria tidak menjawab, sekadar tersenyum manja. Kanaria menarik tangan abang sambil berlarian ke arah padang rumput yang luas. Takeya mengekori adiknya itu sambil ketawa riang.

Aku mahukan segala-galanya,

Penuh dengan kemesraan,

Untuk  merentasi lautan kesepian itu

Langkah Kanaria terhenti tiba-tiba. Begitu juga dengan Takeya. Mereka berada di sempadan kawasan yang bersalji. Takeya agak pelik, mengapa di kawasan sebelahnya tidak bersalji seperti di hadapannya.

“Oh, ya! Abangkan telah berjanji untuk bersama Kana bermain salji jika Kana sudah sihat. Memandangkan Kana sudah sihat, marilah kita bermain bersama-sama!” Ujar Takeya keanak-anakan dengan penuh gembira.

Kanaria geleng kepalanya. Kanaria tersenyum sepi. Raut wajahnya penuh dengan persoalan. Takeya menghampiri Kanaria.

“Untuk abang….” Kanaria menghulurkan diari yang pernah dihadiahkannya kepada adiknya itu dahulu.

“Diari ini…” Takeya menyambutnya sambil memandang wajah adiknya itu.

Walaupun hari ini kau terasa seksa,

Namun memori itu akan menjadi memori hangat untukmu,

Jika kau percaya akan hatimu yang tabah….

“Masa saya sudah tamat di sini. Kini, tibanya masa untuk abang pergi jauh ke hadapan. Abanglah yang akan memenuhi diari itu, dengan ketiadaan saya…” Kanaria tenang menuturkan ayat-ayat sedih itu.

“Tapi, Kana… Abang tidak dapat hidup tanpa kamu! Kamulah segala-galanya untuk abang…” Air mata itu terus mengalir membasahi pipi Takeya.

“Abang, selamat tinggal….” Kanaria berpaling dari Takeya.

Aku mengerti erti kehidupan ini,

Untuk merasai kebahagiaan apabila kita dilahirkan,

Marilah bersama, selamanya……

“Kana….!” Jeritnya, kemudiannya dunia itu menjadi kelam….

Salji.

“Kana!” Takeya terjaga daripada lenanya itu. Dia agak mengantuk kerana seharian tidak tidur, semata-mata menunggu pembedahan adiknya.

“Kana…” Dia pegang tangan adiknya itu. Bunyi alat pengesan nadi menandakan Kanaria sudah pun meninggal dunia. Tangan adiknya sudah pun dingin. Air matanya mengalir sepi, meratapi pemergian Kanaria. Saat-saat indah bersama Kanaria sudah pun menemui nokhtahnya. Persoalannya kini, apakah lagi makna untuknya hidup. Dia kemudiannya menekan butang panggilan untuk memanggil doktor bagi mengesahkan kematian adiknya itu.

“Takeya, bersabarlah…” Maki  memeluknya sejurus tiba di bilik itu. Takeya berterima kasih kepada jururawat itu kerana membenarkannya bersama Kanaria hinggalah nafas terakhir adiknya itu.

Kana, aku tidak pasti apa yang aku harus lakukan. Kamu pergi meninggalkanku akhirnya. Namun, pemergian kamu menamatkan derita kamu selama hampir sedekad itu. Aku tidak terdaya membantu kamu walau aku mahu. Aku tidak dapat menunaikan janji kita dahulu. Hanya air mata yang dapat aku beri, dan kesedihan yang akan aku hadapi. Kana, sesungguhnya aku tidak akan melupakanmu…

“Salji…” Ujar Maki yang terlihat salji turun di luar tingkap. Takeya terkejut.

“Kana….” Dia berbisik perlahan, dalam hatinya, sambil tersenyum pahit.

Salji itu turun,

Seakan air mataku,

Yang sedih meratap,

Pemergian itu,

Salji itu turun,

Sedingin hatiku yang sepi,

Kerana keseorangan lagi,

Meniti hari-hari esok,

Tanpamu di sisi,

Salji itu turun,

Menutup tirai kasih sayangku,

Dan hilang dikala musim hangat nanti….

“Selamat tinggal, Kana…”

Selepas kedinginan.

Hari ini ialah hari penting buat Takeya. Dia telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan. Dia akan menjadi graduan yang disambut oleh universitinnya itu. Ibu bapanya turut hadir dalam majlis gilang-gemilang itu. Dia juga telah mendapat tawaran di sebuah hospital yang dahulunya dia kerap kunjungi. Nadeshiko juga turut hadir, berpakaian kimono yang cantik. Rakan-rakannya turut sama memberikan ucapan tahniah atas kejayaannya itu.

Setelah selesai upacara itu, dia memohon untuk beredar daripada majlis itu. Dia hanya ditemani Nadeshiko untuk berkunjung ke suatu tempat istimewa. Nadeshiko yang memahami Takeya itu mengiringnya ke sana. Nadeshiko kini bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi yang terkenal. Namun, hati gadis itu hanyalah pada Takeya. Oleh sebab itu, dia sanggup mendampingi Takeya ke mana-mana sahaja dia pergi.

Takeya tidak kisah lagi berada di sisi Nadeshiko. Dahulu, dia cukup janggal apabila gadis itu selalu mendampinginya. Dia cukup faham akan hati gadis itu. Namun, dia perlukan masa untuk mengubati hatinya itu. Malah, kehadiran Nadeshiko menyemarakkan dirinya untuk terus menamatkan pengajiannya di universiti. Justeru, dia amat bersyukur kerana mengenali Nadeshiko, yang mengambil berat terhadap dirinya.

“Kita sudah sampai.” Kata-kata Nadeshiko mengembalikannya pada dunia realiti. Dia sekadar tersenyum kecil lalu membuka pintu kereta itu.

Tanah Perkuburan Yuma. Itulah tulisan yang terpampang pada papan tanda di situ. Dia menapak perlahan menuju ke arah sebuah batu nisan yang tertulis, ‘KANARIA’. Lantas dia terus sahaja membersihkan sekeliling kubur itu, sambil menukar bunga yang lama dengan bunga yang diterimanya semasa majlis tadi. Kemudiannya dia membakarkan seikat colok dan diletaknya di atas pusara itu.

17 Disember – Hari ini abang datang memberikan sebuah bola kristal yang cantik. Abang juga berjanji untuk bersama saya bermain salji apabila saya sihat nanti.

13 Januari – Bahagian dada saya ini sakit lagi. Abang pula sibuk kerana terpaksa menyiapkan tugasannya. Saya kesunyian hari ini.

21 Februari – Abang bawakan coklat dan pelbagai jenis manisan untuk saya. Biarpun hari valentine sudah berlalu, tetapi abang tetap juga membawakan hadiah ini untuk saya.

8 Mac – Saya baru sahaja sembuh daripada demam. Abang selalu datang kerana bimbangkan saya.

13 April – Saya belajar menulis pantun.

“Kalau ada sumur di ladang,

Boleh hamba menumpang mandi;

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi……”

26 Mei – Kesakitan ini bagai tak tertahan lagi….. Abang, saya takut mati.

2 Jun – Doktor telah menetapkan hari pembedahan, dan saya hanya menerimanya. Lagipun, saya mahu terus sihat untuk berada di sisi abang.

10 Julai – Saya demam lagi. Abang sanggup menemani saya beberapa hari di sini. Kakak Maki pun ada bersama kami. Pembedahan terpaksa dibatalkan lagi.

31 Ogos –  Tiga hari lagi, saya akan menjalani pembedahan itu. Abang, ayah dan ibu banyak memberikan galakan. Alangkah bagusnya jika saya dapat menulis buku diari ini lagi. Jika tidak, saya harap nanti, abanglah yang memenuhinya. Abang, kalau abang membaca diari ini, mungkin saya sudah pun meninggalkan dunia ini. Saya harap abang teruskan kehidupan abang dan capailah cita-cita abang nanti. Kepada kakak Nadeshiko, maafkan saya atas ketidak sopanan saya terhadap kakak. Bantulah abang, kerana abang saya akan kesunyian tanpa kehadiran saya. Abang, saya sayang akan abang selamanya, dan ingatlah saya seperti mana saya mengingati abang.

Tulisan diari itu menghiris jiwanya. Seraya dia menangis lagi. Biarpun sudah hampir tiga tahun kematian adiknya berlalu namun masih lagi hangat memorinya pada adiknya. Mungkin adiknya sudah pergi meninggalkannya. Mungkin nanti dia akan melupai wajah adiknya kelak. Namun begitu, dia begitu pasti yang dia tidak akan melupakan yang dia punya adik yang begitu istimewa buatnya.

“Nadeshiko…” Ujar Takeya setelah lama membisu di hadapan kubur adiknya itu.

“Ya?” Nadeshiko menjawab.

“Kita kahwin, ya….” Musim sejuk tidak akan berterusan selama-lamanya. Kini, musim bunga yang hangat akan mewarnai kehidupan Takeya. Nadeshiko hanya membisu, dan kemudiannya mengalirkan air mata…

KOMPONEN SASTERA

TEMA :

NILAI- NILAI MURNI –

PERSOALAN :

PENGAJARAN :

SIPNOSIS :

WATAK:

PLOT ;

PERMULAAN:

PERKEMBANGAN:

PERUMITAN (KONFLIKS) :

KEMUNCAK (KLIMAKS):

PELERAIAN :

2 Responses to “Cerpen”

  1. nyra Says:

    hm ending yg membanggakan. sedih, gembira, kasih sayang.

  2. naiem the skyscrapper Says:

    gempak gak la…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s