Tahun baharu ini

Saat ini,
Mengajarku erti,
Yang kelak bertukar kini,
Yang kini menjadi silam,
Lalu kekesalan,
Dan kegembiraan ini,
Sebati dalam hakikat….

Saat inilah,
Usahamu dinilai,
Gigihmu ditakrif,
Hatta setahun menyerah kudrat,
Bermandi peluh,
Untuk setahun mendatang….

Saat itu,
Telah menjadi detik akhir,
Kendatipun apa hasilnya,
Berbuah pelbagai rasa,
Aturan hidup kita…..

HN Harima

Salam sejahtera dan salam muhibbah. Hari ini, puasa telah bermula. Semoga sidang pembaca dan pelayar blog saya bakal menghadapi ibadat ini sebaiknya!

Kujalani saat-saat,
Yang mengamit ketabahan,
Sesekali digigit haus,
Dan lapar melata,
Apakah ada tika,
Memaut kekalahanku ini,
Atau menang meninta iman?

Ramadan yang bermula,
Hapuskan dakyah,
Yang membisa mulut,
Mengotor hati nurani,
Sebalik ironi kepayahan,
Ada buah pahala,
Ranum manisnya.

Oh, kuhamba-Nya,
Kerdil tetapi gagah,
Meneruskan ibadat-Mu,
Bukan selalu hadir,
Puasa….

Kawan,
Penjodoh bilangan bagi haiwan,
Yang berkelompok,
Untuk melindungi diri,
Sedangkan mereka ini,
Hanya bertapak,
Demi kepentingan,
Individualis….

Kawan,
Definisinya pelbagai,
Apa tanggapmu,
Adakah sekadar hiasan,
Atau kebanggaan,
Untuk sedikit keangkuhan,
Hinanya takbur,
Sosialis hatimu…

Sahabat,
Hanya engkau sahaja,
Pengisi lompong,
Kawan-kawan yang mengendeng,
Menumpang hakikat kehidupan,
Andai kata kawan itu,
Menjadi sahabat,
Maka saat itu,
Digelar harmoni…

Wahai kawan,
Sahabatku memangkin,
Engkau mengingkar…

HN Harima

Sebungkus nasi lemak,
Membawa satu kehidupan,
Yang terdapat variasi rasa,
Memenuhi cita rasa,
Biar terbahagi,
Resepi mereka sendiri…

Sambal kehidupan pedas,
Sesekali dibenci,
Tetapi itulah pelengkap,
Untuk perjalanan hidup,
Yang tidak bertepi,
Tetapi bernoktah….

Dihiasi pelbagai rencah,
Kau dan aku,
Sama-sama memilih,
Tetapi ingatlah,
Keasyikannya membawa mudarat,
Diri dan kesihatan,
Kendatipun begitu,
Sederhanalah,
Agar nikmat itu,
Menterjemah kehidupan indah…

Buah tangan lalu,
Bukan kauhargai,
Ibarat monyet mendapat bunga,
Kauhancuri,
Dengan keseronokan,
Yang sementara…

Buah tangan lalu,
Yang ikhlas dihulurkan,
Insan bernama guru,
Sering kali dicerca,
Bahkan sifat culas,
Menghanyutkannya…

Kini,
Buah tangan lalu,
Kaucari-cari kembali,
Setelah sinar mentari,
Seakan membenci,
Kau yang tiada haluan,
Rumput ditepi jalan…

Alangkah indahnya,
Buah tangan lalu,
Tersemat dalam jiwamu,
Sambil mendongak kepala,
Melalui menara gading,
Bangga dan bahagia….

HN Harima

Kita membesar.
Membentuk kendiri,
Rohani dan jasmani,
Untuk diimplankan,
Selangkah mengejar cita,
Demi masa yang tiba.

Walakin saat itu,
Perit dan derita panjang,
Sesekali bergelinangan.
Air mata yang menemani,
Hakikat dan realiti hidup,
Visi yang kudsi,
Cahaya kegemilangan.

Janganlah alpa,
Setelah engkau garap,
Kejayaan yang indah,
Ingatlah daratan terbentang,
Daripada usaha,
Dan keredaan-Nya.

Aku yang melalui,
Pilihan yang bercabang,
Tapi dia tidak ada,
Dalam apa yang ku putus,
Barangkali aku yang tersekat,
Perkataan “Jika”…

Dia yang mengharungi,
Pilihan yang bersiur,
Tapi aku tiada dalam mantiknya,
Kerana aku yang membuat keputusan,
Yang ku anggap terbaik,
Untuk dia dan aku…

Namun termangu aku,
Jika aku dan dia,
Jika kami bersama,
Apakah kesudahan itu,
Hanyalah terselit,
Pada perkataan “Jika”…

Mata itu kemerahan,
Ditelan kantuk,
Disapa dingin menggoda,
Tetapi setia,
Amanah dengan tugasnya…

Dialah pelindung mereka,
Tetapi mereka hina,
Merendah-rendahkan si dia,
Bena sahaja mereka,
Dia terus menjaga,
Untuk sesuap nasi….

Dikoyak,
Dicicah,
Dan dimamah,
Pelbagai versi,
Dan cita rasa….

Di perut kebangsaan,
Penuh variasi budaya,
Pada sekeping roti canai,
Yang dinikmati bersama,
Kita senegara…

Kerusi itu tidak empuk,
Seempuk kerusi diduduknya ini,
Namun kerusi itulah,
Yang mengubah persepsi,
Kehidupannya dasawarsa,
Bangga dan hebat…

Meja itu tidak ceria,
Seceria mejanya terhias mewah,
Tetapi meja itulah,
Pemangkin ilmu dan metodologi,
Kejayaannya kini,
Cemerlang dan gemilang…

Ruang putih itu tidak berseri,
Seseri kediaman istananya yang gah,
Tetapi ruang putih itulah,
Menghulur pengetahuan berharga,
Bersama teman seperjuangan,
Memori dan ingatan…

Kerusi, meja dan ruang putih itu,
Simbolik buatku dan buatmu,
Yang akan terus kau kenangi,
Hingga akhir hayat nanti….