Kertas Dua Bahagian A
Panduan Menjawab (Mentafsir Bahan Grafik)

1.0 Pengenalan
Hanya satu soalan bergambar / ilustrasi dikemukakan. Bagi menjawab soalan ini, dicadangkan langkah-langkah berikut:

1.1 Baca dan fahami kehendak atau arahan soalan
• Baca soalan dan fahami arahannya.
• Anda dikehendaki menulis lima ayat lengkap berdasarkan situasi atau keadaan / aktiviti dalam bahan ilustrasi yang diberi.

1.2 Memahami / meneliti situasi atau keadaan

• Sama ada bahan ilustrasi itu gambar tunggal atau bersiri, anda perlu melihat dan memastikan perkara / situasi / keadaan yang terdapat dalam gambar / ilustrasi.
• Catat perkara itu berdasarkan yang tersurat / nyata atau dilihat.
• Masa yang dicadangkan untuk memahami situasi gambar ialah 3 minit.

1.3 Menulis ayat yang lengkap

• Ayat yang ditulis hendaklah lengkap.
• Satu perkara / keadaan / aktiviti ditulis dalam satu ayat.
• Masa yang dicadangkan untuk menulis ayat ialah 5 minit.

1.4 Menyemak

• Semak, sama ada ayat yang ditulis benar-benar berdasarkan perkara / keadaan / aktiviti yang terdapat dalam gambar / ilustrasi.
• Pastikan ayat yang ditulis mengikut struktur, selain ejaan, tanda baca dan pemilihan kata yang betul.
• Masa yang dicadangkan bagi menyemak ialah 2 minit.

2.0 Panduan Umum Menjawab Soalan

2.1 Teliti Bahan
• Teliti gambar yang terdapat dalam soalan
• Kenal pasti tema / tajuk yang diberi
• Kesan aktiviti / perlakuan yang terdapat dalam soalan
• Tulis aktiviti- aktiviti yang ada pada gambar

2.2 Membina Ayat
• Bina lima ayat (nomborkan 1-5).
• Bina ayat-ayat tentang maklumat tersurat.
• Membina ayat-ayat tersirat sebagai pelengkap atau ayat utama.
• Kelima-lima ayat anda berdasarkan kepada maklumat yang ada pada bahan grafik.
• Boleh menamakan watak.
• Susun ayat mengikut keutamaan isi.

2.3 Struktur Ayat
• Ayat yang jelas menggambarkan maklumat yang hendak disampaikan.
• Ayat yang dibina hendaklah ayat yang gramatis.
• Membina ayat tunggal atau ayat majmuk.
• Ayat anda berdasarkan kepada maklumat tersurat sahaja.
• Ayat daripada isi tersirat mesti ada pertautan dengan bahan grafik

2.4 Menyemak Semula
• Semak dengan membaca semula ayat.
• Tulisan anda hendaklah jelas dan kemas.

2.5 Teknik Semasa Menjawab Bahan Grafik
• Kenal pasti kata kerja & kata adjektif dalam gambar.
• Tulis kata kerja & kata adjektif dalam gambar. (Kertas soalan)
• Menulis sebanyak mungkin kata kerja & kata adjektif

2.6 Isi Tersurat dan Isi Tersirat
• Perkara-perkara atau aktiviti yang terdapat atau yang dapat dilihat dengan jelas dalam gambar dikenali sebagai maklumat tersurat.
• Idea-idea yang berkaitan atau yang boleh dikaitkan dengan gambar dikenali sebagai maklumat tersirat.

Contoh Soalan Bahagian A

BAHAGIAN A
[Masa yang dicadangkan: 15 minit]
[10 markah]

Tulis lima ayat yang lengkap tentang aktiviti yang terdapat dalam gambar:

Contoh 1:

Aktiviti / Kata Kerja
– Mengutip
– Mencangkul
– Mencabut
– Membuang
– Menyorong

Konsep Memperluas ayat
– Adik menangis
– Adik menangis kerana demam
– Adik menangis kerana demam campak
– Adik menangis tersesak-esak kerana demam campak
– Adik menangis teresak-esak di atas katil kerana demam campak
– Adik menangis teresak-esak di atas katil kerana demam campak sejak
semalam.
Contoh 2:

Teknik:

1. Catatlah kata kerja, kata nama dan kata adjektif berdasarkan gambar.
2. Nyatakan idea keseluruhan gambar tersebut
3. Nyatakan isi tersurat berdasarkan gambar berpandukan kata kerja atau nama dan kata adjektif yang dicatatkan.
4. Nyatakan isi tersirat yang boleh memperluas idea.
5. Membina lima ayat.

Kata nama : Kata kerja.

1. Mak ; Berbual-bual dengan jiran.
2. Ayah : Menyabit rumput
3. Adik : Bermain buaian
4. Abang : Membaca buku.
5. Ali : Menonton Televisyen

Contoh 3:
Tuliskan lima ayat yang lengkap tentang gambar di bawah.

Mencatatkan Perkataan:

Membina lima ayat:

1. Ahmad tekun membaca buku sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR.
2. Semasa peperiksaan, Ahmad dapat menjawab setiap soalan di dalam kertas peperiksaan dengan penuh keyakinan.
3. Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, Ahmad mendapat keputusan yang cemerlang.
4. Ahmad berasa gembira dan bersyukur kepada Tuhan kerana usaha yang bersungguh-sungguh menghasilkan kejayaan.
5. Ahmad mendapat hadiah sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran pada Hari Penyampaian Hadiah.

Panduan Menjawab Soalan Karangan

Tiga soalan karangan dikemukan. Anda dikehendaki memilih satu soalan sama ada Soalan 1, 2 atau 3. Bagi menghasilkan karangan yang baik, anda perlu merancang karangan anda terlebih dahulu. Berikut cadangan langkah-langkah yang perlu dilakukan sebelum dan selepas menulis karangan.

1. Baca dan fahami kehendak atau pertanyaan soalan
– Baca soalan dengan teliti, fahami kehendak atau arahannya.
– Bagi sesetengah soalan, ayat pertama atau ayat kedua adalah maklumat, situasi, manakala kehendak atau arahan soalan adalah ayat terakhir
– Hindari sikap terlalu gopoh.

Sebagai contoh, perhatikan soalan berikut:
Sekolah kamu menganjurkan kejohanan olahraga. Tuliskan sebuah karangan yang menggambarkan suasana di kejohanan tersebut.

Ayat pertama maklumat atau situasi, manakala ayat kedua kehendak soalan. Amati kehendak soalan dan jawab apa yang ditanya. Perkara lain yang berkaitan dengan situasi dan kehendak soalan juga boleh dimasukkan bagi menghasilkan sebuah karangan yang lebih menarik. Perkara-perkara yang tiada kaitan elakkan sama sekali.

2. Merangka atau mencatat isi-isi penting karangan
– Rangka karangan hendaklah dibuat berdasarkan tiga bahagian Iaitu:
a. Pengenalan / pendahuluan
b. Isi ( memadai tiga isi ) beserta huraian dan contoh
c. Penutup
3. Menulis karangan lengkap berdasarkan kerangka atau isi-isi penting karangan
– Panjang karangan tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
– Perenggan pertama pendahuluan, perenggan kedua, ketiga dan keempat isi dan perenggan akhir penutup.
– Setiap isi hendaklah disertakan dengan huraian dan contoh.

4. Semakan
– Pastikan struktur ayat, ejaan, tanda baca dan kosa kata yang digunakan betul dan tepat.
– Pastikan setiap isi disertakan huraian dan contoh.

Langkah Menjawab Bahagian B

– Baca ketiga-tiga soalan yang disediakan dan cuba fahami kehendak soalan.
– Pilih satu sahaja soalan yang paling mudah. (Mudah mencari isi. Gunakan panduan / cara / petua mencari isi yang telah dipelajari)
– Bina kerangka karangan atau peta minda semasa mencari isi.
– Tulis karangan mengikut format yang betul dengan :
– Jelas dan terang
– Ayat yang gramatis dan struktur ayat yang betul
– Ejaan dan tanda baca yang betul
– Susunan cerita yang menarik
– Elakkan cerita-cerita yang tidak berkaitan dengan isi atau kehendak soalan.
– Semak semula dengan teliti untuk memastikan tiada kesalahan ejaan, tanda baca, struktur ayat dan imbuhan yang digunakan.

Strategi menulis karangan

Pendahuluan

– Jangan tulis lebih daripada satu peranggan
– tepat
– jelas
– 2/3 ayat sahaja
– teruskan bicara tentang tajuk
– jangan libatkan isi
– Pendahuluan hendaklah ditulis dalam satu perenggan sahaja. Bahagian ini
– Juga hendaklah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan tajuk.
– Pendahuluan yang baik dapat menerangkan seluruh isi yang akan anda tulis dalam karangan.
– Pendahuluan sesebuah karangan hendaklah pendek, ringkas dan padat.

Kertas Dua Bahagian C

Panduan Menjawab Rumusan

Pengenalan
1. Calon diminta untuk membuat rumusan berdasarkan bahan yang diberikan dalam bahagian ini.
2. Calon ada diberikan rangsangan atau situasi dalam bentuk petikan, puisi, rencana dan sebagainya.
3. Calon diminta untuk membuat rumusan dalam lingkungan 50 perkataan.
4. Perkara yang perlu dicari daripada petikan ialah seperti Nilai Murni, Amalan Baik, Faedah dan juga Pengajaran daripada rangsangan atau situasi yang diberikan tadi.

Langkah-langkah yang dicadangkan ialah:

1. Baca dan fahami kehendak atau arahan soalan
• Baca soalan dengan teliti dan fahami arahannya.
• Arahan meminta anda menulis beberapa nilai atau pengajaran berdasarkan petikan yang diberi.
• Jawapan itu hendaklah ditulis dalam satu perenggan.

2. Mencatat nilai murni atau pengajaran
• Baca dan fahami kandungan petikan.
• Catat seberapa banyak nilai murni / pengajaran yang terdapat dalam petikan.
• Dicadangkan anda mencari dan mencatat sekurang-kurangnya lima nilai murni / pengajaran.
• Masa yang dicadangkan untuk mencari dan mencatat nilai murni ini sekitar lima minit.

3. Menulis ayat lengkap
• Berdasarkan nilai murni / pengajaran, tulis dan nyatakan keterangan lanjut tentang nilai murni / pengajaran dengan menggunakan ayat sendiri.
• Sebaiknya setiap nilai murni / pengajaran itu disertakan contoh.
• Hendaklah ditulis dalam satu perenggan.
• Masa yang dicadangkan untuk mengarang ialah 10 minit.

4. Menyemak
• Setelah siap, baca dan pastikan ayat yang digunakan lengkap dan mengikut strukturnya.
• Semak juga aspek tatabahasanya.
• Masa yang dicadangkan untuk menyemak ialah 5 minit.
Panduan Menjawab Bahagian C
1. Baca arahan dan petikan yang diberi dengan teliti
2. Gariskan perkataan / rangkai kata / ayat yang menunjukkan nilai murni, amalan baik, faedah atau pengajaran.
3. Tulis semula nilai murni / amalan baik dengan membefri contoh ayat yang terdapat dalam petikan.
4. Tulis pengajaran atau rumusan tentang petikan.
5. Semak semula dengan teliti untuk memastikan tiada kesalahan ejaan, tanda baca, struktur ayat dan imbuhan yang digunakan.

Contoh Soalan dan jawapan:

Latihan 1: Baca arahan dan soalan dengan teliti.

Tulis beberapa nilai murni/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Apabila balik dari sekolah, Liza mengeluarkan buku-buku barunya dari beg. Kakaknya berkata, “Biar kak tolong kamu balut buku-buku kamu itu.” Liza menjawab, “Terima kasih, kak. Biar saya sendiri yang membalut buku-buku ini.”
Liza merupakan anak yang suka menolong ibu dan ahli keluarganya yang lain. Liza selalu menolong ibunya mencuci pinggan mangkuk, melipat kain dan mengemas rumah. Liza juga membantu ayahnya mencuci kereta.
Setiap pagi sebelum mandi , dia akan mengemas bilik tidurnya supaya kelihatan kemas dan bersih. Dia sentiasa menjaga kebersihan diri. Rambutnya diikat kemas, kukunya dipotong dan dia sentiasa menjaga kebersihan pakaiannya.
Pada hari minggu, Liza dan keluarganya selalu bersama-sama membersihkan rumah dan menanam pokok-pokok bunga. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga di halaman rumahnya. Menanam pokok bunga merupakan hobi keluarga mereka. Kawasan tempat tinggal mereka sentiasa kelihatan bersih dan cantik.

LANGKAH 2: Gariskan perkataan / rangkai kata / ayat yang menunjukkan amalan baik, nilai murni , faedah atau pengajaran.

Apabila balik dari sekolah, Liza mengeluarkan buku-buku (kerajinan) barunya dari beg. Kakaknya berkata, “ Biar kak tolong kamu balut buku-buku kamu itu.” Liza menjawab, “Terima kasih, kak. Biar saya sendiri yang membalut buku-buku ini.”(berdikari)
Liza merupakan anak yang suka menolong ibu (tolong-menolong) dan ahli keluarganya yang lain. Liza selalu menolong ibunya mencuci pinggan mangkuk, melipat kain dan mengemas rumah. Liza juga membantu ayahnya (tolong-menolong) mencuci kereta.
Setiap pagi sebelum mandi , dia akan mengemas bilik tidurnya supaya kelihatan kemas dan bersih. Dia sentiasa menjaga kebersihan diri.(kebersihan fizikal dan mental) Rambutnya diikat kemas, kukunya dipotong (berdisiplin) dan dia sentiasa menjaga kebersihan pakaiannya.
Pada hari minggu, Liza dan keluarganya selalu bersama-sama membersihkan rumah (bekerjasama) dan menanam pokok-pokok bunga. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga di halaman rumahnya. Menanam pokok bunga merupakan hobi keluarga mereka. Kawasan tempat tinggal mereka sentiasa kelihatan bersih dan cantik.

LANGKAH 3: Tulis semula nilai murni / amalan baik dengan memberi contoh ayat yang terdapat di dalam petikan

– Liza mengeluarkan buku-buku barunya dari beg (kerajinan)
– Biar saya sendiri yang membalut buku-buku ini (berdikari)
– Suka menolong ibu. membantu ayahnya mencuci kereta (tolong- menolong)
– Menjaga kebersihan diri (kebersihan fizikal)
– Rambutnya diikat kemas, kukunya dipotong (berdisiplin)
– Liza dan keluarganya selalu bersama-sama membersihkan rumah (bekerjasama)

LANGKAH 4: Tulis semula maklumat yang disusun dalam bentuk perenggan

Sikap Liza yang rajin dan berdikari kerana tidak mengharapkan bantuan daripada kakaknya patut kita contohi. Dia tidak suka akan keadaan yang kotor dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Dia ialah seorang yang berdisiplin kerana mengemas biliknya dan menjaga penampilan diri. Liza juga suka menolong keluarganya membersihkan rumah.

Tafsiran Nilai Murni:

BAIK HATI
• Belas kasihan (Bersimpati terhadap kesesusahan orang lain)
• Bertimbang rasa (Mengambil kira keperluan dan perasaan orang lain apabila membuat sesuatu tindakan)
• Murah hati (Memberi bantuan secara ikhlas kepada mereka yang memerlukannya)
• Saling memahami (Sanggup memberi dan menerima pandangan serta memahami perasaan dan keperluan masing-masing)
• Saling bermaafan (Sanggup meminta maaf dan memberi kemaafan)

BERDIKARI
• Berupaya bertindak sendiri (Sanggup dan boleh melakukan sesuatu tanpa mengharapkan orang lain)
• Yakin pada diri sendiri (Percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sanggup mencuba)

HEMAH TINGGI
• Kesopanan (Berbudi bahasa dan beradab dalam pergaulan)
• Mengakui kesalahan sendiri (Sedia mengaku kesilapan diri sendiri serta sanggup menerima nasihat)
• Ramah mesra (Sedia bergaul mesra dengan semua orang)

HORMAT-MENGHORMATI
• Ibu bapa (Memuliakan dan mentaati ibu bapa)
• Ahli keluarga, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin (menunjukkan rasa hormat kepada kumpulan tersebut dengan memberi layanan yang baik)
• Institusi kerajaan dan Negara (Menerima dan hormat kepada kerajaan serta lambang-lambang kebesaran negeri)
• Kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan (Menghormati kepercayaan dan adat resam semua keturunan di Malaysia)
• Patuh kepada undang-undang negara (Mematuhi undang-undang yang telah ditentukan tanpa mengira di mana seseorang itu berada)
• Patuh kepada ketepatan masa (Menepati waktu dan menggunakan masa dengan berfaedah)

KASIH SAYANG
• Sayang diri sendiri dan orang lain (Menyayangi diri sendiri dan orang lain)
• Sayang akan alam sekitar (Memelihara dan memulihara kehidupan flora dan fauna untuk kesejahteraan hidup)

KEADILAN
• Adil (Membuat pertimbangan secara objektif, menyeluruh dan bersesuaian)
• Saksama (Tidak berat sebelah dalam sesuatu tindakan dan keputusan sama ada dalam memberikan ganjaran atau hukuman)

KEBEBASAN
• Boleh melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar batas peraturan dan undang-undang yang tersurat dan tersirat dalam keluarga, sekolah, komuniti, masyarakat, negara dan agama

KEBERANIAN
• Berani mencuba (Berani melakukan sesuartu perkara yang baru dan mencabar untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain dengan mengambil risiko yang akan dihadapi)
• Berani kerana benar (Berani mempertahankan sesuatu yang diakui sebenarannya dengan menunjukkan bukti yang nyata)

KEBERSIHAN FIZIKAL DAN MENTAL
• Kebersihan diri (Kebersihan anggota yang perlu dijaga oleh setiap individu untuk hidup sihat)
• Kebersihan persekitaran (Pemeliharaan alam sekeliling supaya rapi dan bebas daripada kekotoran dan pencemaran)
• Kebersihan mental (Pertuturan dan perlakuan yang terpuji yang perlu diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan orang lain)

KEJUJURAN
• Amanah (Bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan dan dapat menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain)
• Bercakap benar (Menyatakan perkara yang benar tanpa menokok tambah atau berselindung)
• Ikhlas (Melakukan sesuatu dengan suci hati tanpa mengharapkan balasan)

KERAJINAN
• Daya usaha (Berusaha bersungguh-sungguh dengan inisiatif, kreatif dan inovatif untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti.)
• Dedikasi (Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga untuk perkara yang berfaedah)
KERJASAMA
• Gotong-royong (Melakukan sesuatu tugas secara beramai-ramai dan sukarela)
• Toleransi (Bertolak ansur serta dapat mengawal diri untuk mengelakkan berlakunya perselisihan)
• Perpaduan (Bersefahaman dan bekerjasama di peringkat keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa)

KESEDERHANAAN
• Pertuturan dan perlakuan yang sederhana (Bertutur dan berkelakuan yang tidak melampaui batas serta menyinggung perasaan atau menimbulkan kemarahan orang lain)
• Kesederhanaan dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain (Membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya Memuaskan diri sendiri dan orang lain)

KESYUKURAN
Berterima kasih (Melahirkan perasaan untuk menunjukkan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan dan pemberian)

PATRIOTISME
• Semangat cintakan negara (Mempunyai semangat yang tinggi untuk menjaga keselamatan, nama baik negara)

RASIONAL
• Membuat pertimbangan (Berupaya mengambil kira baik buruknya sesuatu perkara sebelum membuat keputusan)

SEMANGAT BERMASYARAKAT
• Bermuafakat (Mengutamakan persetujuan dan kerjasama dalam sesuatu pekerjaan bagi kepentingan bersama)
• Kejiranan (Berbaik-baik, bertolak ansur, tolong-menolong, dan bekerjasama dengan jiran tetangga)
• Peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat (Menyedari masalah masyarakat dan sedia berusaha menyelesaikannya)

Latihan Contoh 1:

Tuliskan beberapa amalan baik yang kamu dapati daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan.Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Hamdan bangun lewat pada pagi itu kerana dia menonton televisyen hingga larut malam. Dia tidak sempat bersarapan. Dia terus mencapai basikal untuk pergi ke sekolah tanpa bersalam dengan ibu dan bapanya. Tiba di persimpangan jalan, dia tidak menghiraukan lampu merah lalu terus memecut ke sekolah. Mujurlah tiada kenderaan ketika itu. Sesampainya di hadapan sekolah, murid-murid telah berada di tapak perhimpunan. Dia terus berlari ke tapak perhimpunan tanpa mengunci basikalnya. Sedang semua murid menyanyi lagu “Negaraku” , dia masih lagi berlari untuk masuk ke dalam barisan. Ketika hendak pulang ke rumah, dia mendapati bahawa basikalnya telah hilang. Dia telah diberi peluang tumpang oleh rakan untuk pulang ke rumah.

Isi-isi cadangan:
Bangun lewat – Bangun awal supaya tidak tergesa-gesa ke sekolah.
Menonton hingga lewat malam – Tidak digalakkan kerana menjejaskan kesihatan. Tidak cukup tidur.
Tidak sempat bersarapan – Bersarapan terlebih dahulu mendapatkan tenaga untuk belajar.
Tidak bersalaman – Bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa untuk mendapat restu.
Melanggar lampu isyarat – Mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan.
Berjalan semasa lagu “Negaraku” – Berdiri tegak untuk menghormati lagu kebangsaan.
Memberi pertolongan kepada yang memerlukan.

Jawapan Contoh 1:

Kita sepatutnya bangun awal supaya tidak tergesa-gesa untuk ke sekolah. Kita mestilah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa kita bagi mendapatkan restu daripada mereka. Kita hendaklah mematuhi peraturan demi menjaga keselamatan diri kita. Kita perlulah menghormati lagu kebangsaan negara kita dengan berdiri tegak. Apabila rakan-rakan kita memerlukan bantuan, kita semestinya menghulurkan bantuan kepada mereka.

Latihan Contoh 2:

Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada puisi di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

Isi Cadangan:

– Membelai penuh manja (Kasih sayang)
– Sungguh mulia jasa / dikenang sentiasa (Mengenang jasa)
– Berkorban harta dan nyawa (Bertanggungjawab)
– Terima kasih ibu dan bapa (Berterima kasih)
– Bersyukur kita hidup bahagia (Kesyukuran)
– Pengajaran/kesimpulan daripada teks (Hormat-menghormati)

Jawapan Contoh 2:

Sebagai seorang anak kita hendaklah menyayangi kedua-dua ibu bapa kerana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Di samping itu, kita hendaklah mengenang jasa mereka . Kita hendaklah berterima kasih kepada mereka di samping bersyukur kepada Ilahi kerana mendapat ibu bapa yang baik. Kita mestilah sentiasa mentaati dan menghormati mereka untuk membalas jasa kepada kedua-dua ibu bapa.

Latihan Contoh 3:

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

Ibu bapa telah membela anaknya dengan penuh kasih sayang

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

Kita hendaklah sentiasa mengenang jasa ibu dan bapa kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita

Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

Ibu bapa juga merupakan orang yang bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai pengorbanan semasa membesarkan kita.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

Kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan bersyukur kepada Ilahi kerana mempunyai ibu bapa yang baik

Jawapan Contoh 3:

Ibu bapa telah membela anaknya dengan penuh kasih sayang. Kita haruslah mengenang jasa ibu dan bapa kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita. Ibu bapa juga merupakan orang yang bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai pengorbanan semasa membesarkan kita. Kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan bersyukur kepada Ilahi.

One Response to “Kertas Dua”

  1. Mir Amirul Williams MSU Says:

    Complete !

Leave a comment