October 2015


Tema-tema popular yang perlu diberikan perhatian:

  1. Kepenggunaan – cara berbelanja, obsesi produk berjenama
  2. Alam sekitar – Sungai, sumber air bersih
  3. Semangat kejiranan – langkah-langkah
  4. Isu membaca – Bangsa Membaca Bangsa Berjaya, peranan ibu bapa
  5. Pemerdagangan manusia – punca dan kesan
  6. Isu remaja – persediaan masa hadapan, melahirkan remaja berwawasan
  7. Teknologi Maklumat dan Komunikasi – Implikasi, laman sembang, telefon bimbit
  • Karangan format : Rencana (seperti fakta, tetapi mempunyai tajuk dan nama)
  • Karangan keperihalan : Berdasarkan peribahasa

Fokuskan!

P/S : Cerita resit saya;

cerita resit

Kesan-kesan Pembalakan di Malaysia

Malaysia terkenal dan dikenali di mata dunia kerana kaya dengan pelbagai jenis khazanah  semula jadi seperti hutan hujan tropika, hutan pantai, hutan paya dan hutan gunung.  Sememangnya tidak dapat disangkalkan bahawa hutan merupakan khazanah dunia yang sangat bernilai dan berharga.  Namun, kegiatan pembalakan yang semakin berleluasa bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan telah menyaksikan dampak yang ketara kepada nusa tercinta kita ini. Persoalannya, apakah implikasi negatif akibat pembalakan haram yang kian menjadi-jadi di Malaysia?

Salah satu kesan pembalakan termasuklah kemusnahan habitat flora dan fauna. Biodiversiti kita terdiri daripada seribu satu flora dan fauna yang menjadikan hutan sebagai habitat mereka. Sebagai akibat daripada pembalakan haram yang tidak terkawal, binatang-binatang liar akan kehilangan tempat tinggal dan secara tidak langsungnya menjejaskan keseimbangan ekosistem. Buktinya ,hutan juga merupakan sumber makanan bagi binatang liar yang tergolong dalam kategori maun. Sekiranya mereka kehilangan sumber makanan, kita juga akan kehilangan sumber makanan kerana sumber protein kita ialah daging binatang-binatang yang diperolehi daripada hutan. Kemusnahan flora dan fauna turut meninggalkan impresi buruk kepada pelancong asing yang seterusnya menjejaskan imej negara. Tegasnya, pembalakan haram harus dikawal bagi mengelakkan situasi seperti kerana nila setitik, rosak susu belanga.

Selanjutnya, peningkatan suhu juga berlaku kerana pembalakan secara berterusan. Tumbuh- tumbuhan merupakan pelindung bumi daripada kepanasan matahari serta dapat menstabilkan peratus oksigen di permukaan bumi. Hal ini demikian kerana hanya hutan sahaja yang boleh menjalankan proses fotosintesis. Proses fotosintesis amat penting dalam kehidupan masyarakat dalam memastikan purata suhu di negara kita tidak meningkat kerana kesan rumah hijau boleh mendatangkan impak negatif kepada masyarakat. Misalannya, sekiranya penebangan hutan berlaku, bilangan tumbuh-tumbuhan akan menurun dan menyebabkan karbon dioksida di atmosphera  meningkat seperti pegaga tumbuh melata, manakala kadar oksigen yang amat vital kepada kita akan berkurangan. Fokusnya, fenomena ini akan mendatangkan peningkatan suhu di bumi kita. Tegasnya, masyarakat yang bersikap materialistik perlulah menjaga hutan rimba kita supaya generasi  kini tidak menyesal ibarat peribahasa sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.

Seterusnya,  hakisan tanah akan berlaku sekiranya ada penebangan hutan yang tidak terkawal. Bencana alam seperti tanah runtuh akan menimpa kerana pembalakan hutan akan menyebabkan permukaan tanah menjadi gondol dan terdedah kepada hakisan. Selain itu, bahan hakisan seperti sampah sarap dan sebagainya akan dimendapkan di dasar sungai. Apabila hujan lebat, sungai yang menjadi cetek akibat hakisan tanah yang berterusan tidak mampu menampung air yang banyak dan melimpah ke kawasan sekeliling.Kemudian, banjir akan berlaku. Sebagai contohnya, pembalakan haram telah menyumbang kepada kejadian banjir kebelakangan ini di Malaysia. Kejadian malang tersebut bukan sahaja membawa penderitaan kepada mangsa-mangsa, malah pihak kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi memulih kembali kawasan yang ditimpa bencana alam. Adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung, sesungguhnya kita haruslah berfikir dengan wajar dan rasional sebelum bertindak tanpa mengabaikan kepentingan orang lain kerana keputusan kita akan mendatangkan impak sama ada yang positif atau negatif kepada masyarakat, negara serta alam sekitar.

Intihanya, pembalakan haram telah menampakkan seribu satu kesan negatif kepada kita. Sikap yang bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak patut dipraktikkan dalam isu ini kerana sikap sedemikian hanya akan mendatangkan kemudaratan kepada kita.  Setiap satu insan sewajarnya sedar akan kepentingan hutan dan menggembleng tenaga dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan boleh dijalankan dengan lancar. Pihak kerajaan turut memainkan peranan penting dalam menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang masih menjalankan pembalakan hutan dengan giat. Tiada penyakit yang tiada penawarnya, jadi dengan adanya kerjasama  bagai aur dengan tebing, kita dapat membendung isu ini daripada terus membelenggui masyarakat dan meragut keindahan alam ciptaan ilahi. Seperkara lagi, mampukah kita hidup dengan selesa  tanpa  kewujudan hutan? Tepuk dada, tanyalah selera.

Contoh soalan ; Setiap novel memaparkan persoalan untuk membawa pembaca menghayati watak-watak yang ditampilkan. Berikan satu conoth perbandingan persoalan antara dua watak sampingan yang ada dalam novel yang anda kaji.

Rangka :

Novel : Merenang Gelora

Watak : Cikgu Jailani dan Jamil

Persoalan : Tanggungjawab

Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan tanggungjawab yang dapat membandingkan dua watak sampingan iaitu Cikgu Jailani dan Jamil dalam novel ini.

Persoalan untuk Cikgu Jailani ialah tanggungjawab seorang guru dalam menjalankan tugas. Misalnya, Cikgu Jailani bertanggungjawab sebagai seorang guru disiplin untuk memberikan denda dan hukuman kepada pelajar yang melanggar disiplin sekolah dan menyiasat kebenaran apabila Badri difitnah memiliki telefon bimbit.

Persoalan untuk watak Jamil pula ialah tanggungjawab seorang anak mematuhi arahan ibu bapanya. Buktinya, Jamil berpindah dan bersekolah di Sarawak kerana akur akan arahan ibu bapanya setelah terlibat dengan masalah disiplin di sekolah.

Begitulah yang saya kaji dalam novel ini.

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Pengetua, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Berdirinya pokok kerana batangnya,
Berdirinya bangunan kerana tiangnya,
Tetapi berdirinya saya pada pagi yang mulia ini tidak lain tidak bukan untuk menghujahkan tajuk syarahan saya iaitu “Langkah-langkah untuk Menjaga Alam Sekitar”.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya meneruskan hujah, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan pada hari ini. Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi. Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya digunakan pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi. Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.

Hujan pertama saya, langkah-langkah yang boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Media massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar . Pada hari ini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian kerana setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Pihak-pihak berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.

Hadirin yang dirahmati,

Hujah saya seterusnya, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan  sisa pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini.

Langkah ketiga bagi mengatasi pencemaran alam sekitar pula ialah melalui organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan juga syarikat-syarikat tertentu. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah dalam pelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat menengah khususnya dalam pelajaran sains seperti Biologi dan di peringkat pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru sekolah haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cintakan alam sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan cinta alam sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah. Pertandingan kelas terbersih di  antara kelas juga perlu dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan dengan proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan hubungannya dengan hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan alam sekitar akan dapat dipupuk dalam diri pelajar.

Hujah terakhir saya ialah melalui penggunaan teknologi moden yang mesra alam. Penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting. Penggunaan teknologi moden dapat mengawal dan mengurangkan pencemaran dengan lebih cepat dan efektif. Dengan adanya teknologi moden, tumpahan minyak di lautan adalah lebih mudah dibersihkan tanpa meninggalkan sisa tumpahan minyak. Selain itu, dengan menggunakan teknologi moden kita dapat menjalankan aktiviti kitar semula bahan-bahan buangan dan sisa-sisa pepejal seperti surat khabar, majalah lama, kain dan bahan-bahan plastik. Hal ini sudah tentu  akan dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna. Penggunaan teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian telah dapat mengurangkan kadar gas karbon monoksida yang dilepaskan. Hal ini akan dapat mengurangkan kadar pencemaran udara di sekeliling.

Hadirin yang dimuliakan,

Sudah terang lagi bersuluh, pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan haruslah memainkan peranan penting dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar. Sebagai golongan yang mendapat mandat, mereka pasti dapat menjaga dan mengawal alam sekitar daripada terus tercemar.Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun;

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan dalam hati.

Sekian, terima kasih.

Menukarkan ayat diberi dengan ayat tanya.

Contoh Soalan:
Berdasarkan rangkai kata yang digariskan, bina ayat tanya yang menepati penyataan di bawah.

  1. Saya akan ke Perak hari ini.
  2. Lelaki yang kacak ini ialah guru bahasa Melayu.
  3. Seminar ini dijalankan selama 3 jam.
  4. Saya menghadiri seminar ini demi kejayaan dalam PT3 kelak.
  5. Tidak, saya tidak menyesal menyertai seminar ini.
   Tugas guru ialah mengajar di sekolah untuk mendidik pewaris kepimpinan masa hadapan supaya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Tidak syak lagi, guru juga ibarat ibu bapa kedua kepada pelajar kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah. Atas kesedaran inilah, sebagai murid kita sewajarnya menghargai guru lantaran terdapat banyak cara untuk menghargai insan istimewa ini.
     Salah satu cara terbaik untuk menghargai jasa guru ialah dengan menghormati mereka. Sebagaimana kita maklum, guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu yang berguna kepada diri kita. Sebagai contohnya, kita boleh mengucapkan salam apabila berjumpa dengan  guru. Usahlah kita bersikap sombong terhadap guru kerana segala ajaran yang mereka sampaikan semata-mata untuk mendidik kita supaya menjadi insan yang berguna bukannya menjadi individu kacang lupakan kulit.
     Selanjutnya, pelajar juga dapat menghargai guru mereka dengan cara menyiapkan kerja sekolah yang telah diamanahkan. Umum mengetahui bahawa guru memberikan kerja sekolah bukannya untuk membebankan pelajar, sebaliknya sebagai latihan tambahan atau pengukuhan di rumah. Bukti terbaik ialah kita mesti menghantar kerja sekolah  mengikut masa yang ditetapkan kerana jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Sudah pasti, hal ini dapat membantu pelajar untuk membuat pembetulan sebagaimana kata falsafah, pembelajaran ialah membetulkan kesalahan.
     Akhir sekali, pelajar  boleh menunjukkan kasih sayang kepada mereka dengan mengenang jasa  guru. Dalam konteks ini, pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku guru ke bilik guru atau mengadakan sesuatu program untuk menghargai mereka. Contohnya, kita boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan Hari Guru pada setiap 16 Mei. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya sekaligus berasa diri mereka dihargai bak kata pepatah, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa.
     Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang membakar diri, sanggup menerangi orang lain. Sedarlah bahawa setiap pelajar perlu menghargai guru. Hal ini demikian kerana, jasa guru tidak ternilai harganya dalam melahirkan insan-insan berjaya, iaitu individu yang cemerlang, gemilang terbilang sebagai menyahut seruan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jawapan Ulasan PT3
Carta pai menunjukkan peratusan pengguna lapangan terbang di tiga buah lokasi di Malaysia. Angka tertinggi dicatatkan ialah 64.2 peratus, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang didominasi oleh kaum Hawa. Bilangan ini menunjukkan bahawa Malaysia telah menjadi tumpuan golongan wanita kerana terkenal dengan jolokan syurga beli-belah di seluruh dunia. Seterusnya, Lapangan Terbang Kota Kinabalu mencatatkan jumlah sebanyak 24.6 peratus, dan dikuasai pengguna-pengguna lelaki. Tidak hairanlah, Sabah menjadi destinasi utama peminat sukan pendakian kerana di sinilah terdapatnya Gunung Kinabalu. Akhir sekali, terdapat 12.2 peratus pengguna Lapangan Terbang Kuching, juga dimonopoli kaum Adam. Secara umumnya, Sarawak terkenal dengan aktiviti sukan air kerana kuewujudan Sungai Rajang. Kesimpulannya, Malaysia menjadi tumpuan pelancong-pelancong disebabkan pelbagai keistimewaannya.