PERMAINAN TRADISIONAL

– CONTOH KARANGAN –

Cara-cara mempopularkan kembali permainan tradisional :

          Permainan tradisional merupakan permainan lama atau warisan yang diperturunkan dari genersi ke generasi sejak zaman nenek moyang kita.Antara contoh permainan tradisional adalah seperti wau,gasing,congkak dan sepak raga.Era pembangunan teknologi yang pesat telah meminggirkan permainan tradisional dari jiwa dan minda rakyat.Walaupun permainan tradisonal ini masih diamalkan dan dimainkan,namun popularitinya semakin pudar ditelan zaman sehinggakan terdapat generasi muda yang tidak langsung mengenali permainan tradisional ini.
          Terdapat banyak faktor yang telah menyebabkan permainan tradisional ini semakin dilupai oleh masyarakat kini.Faktor utama yang menyebabkan fenomena ini berlaku kerana perubahan zaman.Generasi muda kini beranggapan bahawa permainan tradisional ini sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai lagi dipraktikkan pada zaman ledakan teknologi maklumat sekarang.Persaingan dengan permainan moden yang canggih seperti permainan komputer,permainan video dan sukan popular seperti bola sepak dan badminton juga merupakan ancaman kepada permainan tradisional.Malah,remaja hari ini juga lebih cenderung kepada sukan lasak yang dianggap lebih mencabar dan memerlukan daya saing serta daya tahan yang tinggi seperti berkayak dan mendaki gunung.Selain itu,generasi muda kini juga terlalu mengutamakan aspek hiburan seperti menonton televisyen daripada meminati permainan tradisional.Kegagalan ibu bapa mendedahkan anak-anak kepada permainan tradisional sejak kecil turut mengakibatkan permainan ini semakin lenyap ditelan peredaran zaman.
          Kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bersama-sama bertanggungjawab dan berganding bahu untuk mempopularkan kembali permainan tradisional agar terus berkekalan seperti bak kata pepatah ‘tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas’.Terdapat beberapa langkah untuk mempopularkan kembali permainan tradisional.Antaranya,pihak kerajaan harus mewajibkan setiap sekolah di Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional sama ada di peringkat sekolah,daerah,negeri dan kebangsaan.Langkah ini bagi memperkenalkan kembali permainan tradisional dan cara-cara memainkannya agar sentiasa segar dalam ingatan generasi muda.Pihak kerajaan dengan kerjasama media massa memainkan peranan yang besar untuk mempopularkan permainan tradisional.Pihak kerajaan dan media massa jugak boleh mengadakan pelbagai kempen mempromosikan permainan tersebut dengan mengadakan pameran dan pertandingan berkaitan dengan permainan tradisional.Kempen-kempen ini perlulah diadakan secara berterusan terutama di tempat-tempat yang dikunjungi ramai masyarakat tempatan dan para pelancong.
          Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka.Mereka perlu mendidik dan mengajar cara-cara bermain permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi.Situasi ini dapat dikaitkan dengan peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa boleh membelikan permainan tradisional untuk anak-anak mereka.Mereka juga boleh bermain bersama-sama dengan anak-anak mereka.Situasi ini secara tidak langsung dapat mengeratkan pertalian antara keluarga dan dapat menyelami hati serta perasaan anak-anak.Di samping itu,ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka untuk menonton atau menyaksikan pertandingan permainan tradisional khususnya di Kedah,Kelatan dan Terengganu.Dengan cara sebegini,kita dapat meluaskan dan memperkenalkan permainan tersebut dan memupuk minat sejak usia yang kecil.
          Satu lagi langkah yang efektif untuk memperkenalkan permainan tradisional ialah dengan memasukkan permainan ini sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institut pengajian tinggi.Malah,kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan tradisional.Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan secara meluas.Tambahan pula,pertandingan permainan tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat pelajar untuk memahirkan diri dengan permainan ini.Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara kita.
          Kesimpulannya,semua pihak perlu berganding bahu untuk mengadakan lebih banyak program dan pertandingan yang melibatkan permainan tradisional supaya budaya warisan ini dapat dipertahankan dan tidak pupus dek ditelan zaman.
Advertisements