Bab 2  Kata-kata daripada sebuah buku.

Kehidupan ini penuh dengan misteri. Sedikit pun tidak pernah lekang dengan persoalan yang tiada jawabnya. Namun, perjalanan hidup ini berterusan tanpa sesiapapun merasai kehilangannya. Dari muda, remaja, dewasa dan waktu tua kita, masa itu tidak pernah henti sedikit pun menunggu kita yang tertinggal. Alangkahkah, jika manusia itu menghargai kehidupan….

“Nama saya Ichinose Kotomi. Saya pelajar tahun tiga di sekolah ini. Hobi saya membaca, dan jika kamu tidak keberatan, semoga kita boleh menjadi kawan.” Inlah kata-kata yang diajar oleh Tomoya kepada Kotomi. Kata-kata inilah yang membuka hatinya untuk menerima kawan selain Tomoya. Tomoya memang baik. Walaupun dia tergolong dalam pelajar bermasalah, mempunyai rekod disiplin, selalu membuli Kotomi dan suka mengusik Sunohara Youhei (kawan baik Tomoya), tetapi Tomoya suka membantu orang yang memerlukan.

Kotomi mencapai sebuah buku kegemarannya. Buku ini pernah dibacanya kepada Tomoya ketika mereka masih kecil. Tomoya ketika itu suka berkunjung ke rumahnya, dan sering menghabiskan masa bersamanya. Pernah sekali dia bertanya pada Tomoya.

“Kenapa Tomoya-kun suka datang di sini…?”

“Pai Epal emak kamu sangat sedap….” Ketawa besar.

Biarpun Tomoya kata begitu, tetapi, itu bukan alasannya untuk sentiasa berkunjung ke rumah Kotomi Dia tahu, Tomoya mengambil berat ke atas dirinya.

“Hari ini ialah kamu.” Kotomi membacakan tajuk Novel yang dipegangnya. Novel ini adalah hasilan sastera dari Jerman dan diterjemahkan dalam bahasa Jepun. Biarpun kurang popular, novel ini tetap menjadi salah satu bahan bacaan kesukaannya. Berpuluhan kali dia membaca novel ini. Tidak, mungkin ribuan.

“Hari kelmarin, aku  ternampak seekor rusa, hari semalam, seekor arnab, hari ini, kamu…” Inilah kata-kata pendahuluan novel tersebut. Misteri, apabila diperkatakan ertinya.

Novel ini berkisarkan seorang pemuda yang suka merantau mencari makna dalam hidupnya. Lelaki itu merupakan pemuda kampung yang tinggal sendirian bekerja sebagai pembantu ladang. Dia menolong seorang pengusaha ladang mengusahakan ladang gandum yang luas. Sepanjang dua puluh tahun dia menghabiskan masanya di situ, bekerja dan bekerja.

Pada suatu hari, dia nampak seekor binatang, yang dia tidak pernah lihat sebelum ini. Bertanduk, liar dan melarikan diri apabila didekati. Selama ini dia menjaga pelbagai jenis haiwan. Tiada satu pun serupa dengan makhluk sedemikian. Pelbagai soalan muncul dalam benaknya – Kuda? Kambing? Semuanya bukan. Lantas, dia pun bertanyakan pada pemilik ladang yang merupakan majikannya itu.

“Apakah gerangan namanya binatang itu?” Soal pemuda yang tertanya-tanya itu.

“Rusa…” Ringkas. Tetapi jawapan itu cukup memberikan tanda tanya kepadanya.

“Rusa?” Soalnya lagi.

“Ya. Rusa. (ketawa).” Pemilik ladang itu menepuk bahu pemuda itu perlahan-lahan. Tiada soalan lagi.

Malam itu, dia tidak dapat melelapkan mata. Masih lagi tertanya-tanya. Bukan pada rusa, tetapi dirinya. Barulah dia sedar, bilakah dia mula terhenti daripada berfikir? Apakah matlamatnya? Adakah hayatnya untuk dihabiskan disini sahaja? Di akhir soalan itu, dia dapat satu jawapan yang dia tak pasti. Bebas. Kebebasan untk bergerak, tanpa dikawal…

“Ya, aku mahu menjelajah…”

Selepas dua minggu berlalu, dia berjaya mengumpulkan sedikit wang untuk perjalanannya merantau di pelusuk dunia. Pemilik ladang tidak menghalang, sekadar memberikan galakan pada pemuda itu.

“Jika nanti, kamu kegagalan, ingatlah, pintu aku sentiasa terbuka buatmu.” Kata-kata akhir pemilik ladang itu mengusik hatinya. Dia terharu.

“Terima kasih.”

Pemuda itu memulakan langkahnya untuk keluar daripada kampung itu. Dia tahu, ada sesuatu yang menunggu, lebih dari seekor rusa itu.

Hari bertukar hari. Minggu bertukar minggu. Bulan bertukar bulan. Perjalanannya bagi tiada penamat. Entah beberapa bandar dia singgah. Entah beberapa kerja dia lakukan demi perjalanannya itu. Entah beberapa ketika dia sempat menghayati apa sebenarnya yang dicari. Hari ini salji turun memutihkan segala pandangannya dihadapi. Sejuk, sepi, dan paling memedihkan adalah perasaan laparnya. Bekalan makanannya semakin kurang.

Dia berlindung di dalam sebuah gua. Mujur ada, bisik hatinya. Jika tidak, dia pasti masti kesejukan. Setelah menyala unggun api, dia pun duduk menghadap sambil memanaskan minumannya. Dia paling ke arah luar pintu gua. Keputihan yang terbentang menutup kehijauan buminya dahulu. Dalam asyiknya dia termenung, dia perasan ada kelibat kecil di hadapanya. Ada satu lembaga kecil melompat-lompat di luar.

“Telinga panjang, berbulu dan melompat lompat. Arnab?” Tiada jawapan. Pertama kali dia melihat haiwan itu yang masih hidup. Selalunya, hanya daging mentah arnab sahaja dilihatnya selama ini.

“Daging?” Dia mula berselera. Bak kata pepatah rezeki jangan ditolak. Dia berdiri dan mula mengatur langkah untuk menangkap arnab itu.

Seperti biasa, mana mungkin dia mampu menangkap haiwan lincah itu. Tanpa disedarinya, musim sudah bertukar ke musim bunga. Jutaan kegagalannya menelan sebahagian waktunya. Sekali lagi dia melihat keajaiban. Warna bulu arnab itu bertukar daripada putih ke warna coklat. Dan dia sendiri, mula mengerti sesuatu daripada duduknya di sini. Segalanya berbeza….

Akhirnya, arnab itu jatuh jua ke tangannya. Ketika arnab itu sedang minum di tepi sungai, dia pantas menyambar peluang yang ada. Maka tertangkaplah arnab itu menandakan kejayaan besarnya dalam beberapa bulan menghabiskan masa memburu. Selama ini, dia makan ikan dan tumbuhan liar yang diperolehi berdekatan. Inilah piala kejayaannya. Seekor arnab untuk dimakan.

“Tolong!” Jeritan daripada arah berdekatan menamatkan kegembiraan yang sedang dinikmati oleh lelaki malang ini. Lantas, dia pun berlari deras ke arah suara itu.

“Serigala?” Larinya terhenti. Dilihatnya seorang gadis bersama seorang perempuan tua dikepungi beberapa ekor serigala. Dalam perjalanannya, dia pernah diserang, tetapi dia berjaya menyelamatkan dirinya. Dia mencari akal untuk menyelamatkan mereka.

“Arnab….” Satu pilihan yang agak baik, tetapi…..

“Nah, Ambil ini…!” Dia mencampakkan arnab tadi sebagai umpan untuk menyelamatkan diri. Sebaik sahaja dia melakukannya, dia berlarian ke arah dua mangsa itu. Dipikulnya perempuan tua dan dicapainya tangan halus gadis itu dan melarikan diri.

“Ayuh, kita perlu pantas berlari!” Mereka berlarian ke arah perkampungan yang berdekatan. Agak lama mereka berlari, barulah mereka memperlahankan langkah.

“Kita sudah selamat…” Lelaki itu tersenyum, biarpun termengah-mengah keletihan. Diturunnya perempuan tua itu dan menyandarkannya pada sebatang pokok. Gadis tadi juga turut membantu lelaki itu.

Setelah berehat, mereka meneruskan perjalanan ke kampung gadis itu. Di sana, lelaki itu menumpang untuk tempat tinggal. Dia membantu gadis itu mengusahakan kembali ladang gandum yang ditinggalkan oleh ibu-bapa si gadis itu. Si gadis itu yatim piatu dan tinggal bersama neneknya. Mujurlah gadis itu mengambil upah menjahit bagi menyara kehidupannya bersama neneknya. Kedatangan lelaki ini, banyak membantu, dan selepas beberapa bulan, usaha lelaki ini membawa hasil lumayan. Kehidupan mereka sekarang lebih baik. Dia tidak perlu lagi meredah hutan untuk membeli bahan jahitan di kampung lain. Cukup dengan hasil tani yang diusahakan oleh pemuda itu.

Setahun kemudiannya, nenek gadis itu meninggal dunia. Mereka kemudiannya berkahwin. Lelaki itu kemudiannya belajar menulis dan membaca. Dia mahu menulis kisah hidupnya. Dia mahu semua orang tahu, kehidupan ini tidaklah sesempit yang kita sangka. Dunia ini indah, dunia ini luas. Dan kerana perjalanan itu, dia mengerti apa itu suka, apa itu duka, dan menghargai ribuan perasaan yang dikurniakan oleh Tuhan.

Perjalanan ini sebenarnya untuk aku dewasa. Berbulan, tidak, bertahun lamanya aku merantau mencari sesuatu. Seringkali aku tanyakan diriku ini, mana yang indah dan mana yang gelap. Jawapannya ialah kita. Yang mengindahkan, kita. Juga, yang merosakannya, kita. Dunia dan kita adalah satu. Kalian pasti tertawa dengan pengembaraanku. Seekor rusa, hanya kerana aku melihat haiwan itu, akhirnya aku berada di sini. Kemudiannya aku berusaha, dan aku tiba dipenamat perjalanan itu. Bukan, ini adalah permulaan lain, daripada penamat yang lain.

Hari kelmarin, aku terlihat akan seekor rusa, hari esoknya, arnab, dan hari ini….

“Ialah kamu…” Kotomi senyum.

Leave a comment