LATIHAN SAJAK (TINGKATAN 4)

Sajak Mahsuri

Arahan: Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Selendangmu mengibar di pantai
menyambut tetamu pulau
setiamu menjadi lagu
nyanyian ombak pagi
rambutmu menjadi jalur hitam
terapung di laut malam
air matamu dingin embun
jatuh di tujuh telaga
dendam tujuh keturunan
melengkung tujuh tanjung
putihlah pulau ini
disimbah darah suci

Mahsuri
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi
kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini.

Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuat dia lebih hidup dari kehidupannya
sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri

Langkawi tidak sebegini bererti.
Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.

Sebuah sajak yang sangat indah ciptaan Zurinah Hassan
(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Soalan latihan:

1)    Berikan maksud rangkai kata disimbah darah suci dalam sajak ini.

2) Sekiranya anda menjadi pemimpin di Pulau Langkawi, apakah usaha yang akan anda lakukan untuk memajukan lagi sektor pelancongan pulau tersebut? Sila berikan empat usaha yang bakal anda lakukan.

3)  Berdasarkan sajak “Mahsuri”, nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut.

4)  Jika anda pernah bercuti di Pulau Langkawi, apakah tempat paling indah yang pernah anda lawati disana?

ANALISIS SAJAK “DI PERPUSTAKAAN”
Sajak kedua dalam antologi “Harga Remaja”, teks komsas tingkatan 4, begitu jelas dan ringkas tajuknya iaitu “Di Perpustakaan”. Namun, di tangan Shafie Abu Bakar, mantan professor persuratan Melayu UKM, dan kini seorang ahli politik, pemilihan kata (diksi) yang begitu puitis menyebabkan lontaran idea dalam sajak tidak sejelas dan seringkas tajuknya. Unsur perlambangan, walaupun tidak menjadi fokus kajian komsas, menjadi teras kekuatan sajak ini.

Perhatikan rangkap pertama:

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Penyajak cuba menggambarkan perbezaan yang ketara sebaik sahaja seseorang melangkah ke dalam ruang perpustakaan, iaitu daripada “kehangatan merata” kepada “kedinginan yang menerpa”. Penyajak melanjutkan gambaran suasana perpustakaan yang “terlalu hening”. Ringkasnya, suasana hiruk-pikuk di luar berubah kepada suasana tenang tenteram di perpustakaan.

Bait “Gua pendeta bersemadi” pada baris ke-6 boleh dianggap sebagai definisi atau takrifan perpustakaan dalam bentuk yang paling konservatif. Gua melambangkan satu lingkungan atau ruang yang eksklusif, pendeta ialah bijak pandai, manakala bersemadi melambangkan pengekalan sesuatu idea atau kebijaksanaan. Maka, perpustakaan merupakan tempat himpunan pemikiran bijak pandai dipelihara.

Dalam keadaan perpustakaan yang senyap sunyi (di puncak sepi) memberi peluang kepada pengunjung memberi tumpuan terhadap pembacaan (kepala-kepala runduk meneliti). Maka, apa-apa yang dibaca dapat diproses oleh otak (Mata dan fikir bersebati).

Jika rangkap pertama ialah gambaran penyajak tentang suasana perpustakaan, rangkap kedua pula memasukkan “aku” (penyajak sendiri) sebagai pengguna buku di perpustakaan.

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Setiap satu daripada 15 baris rangkap kedua walaupun amat ringkas, tetapi begitu sarat makna. “Aku” yang maju ke ruang buku berasa begitu kerdil justeru “terapung di laut ilmu”. Buku yang diibaratkan sebagai khazanah ilmu yang melaut luasnya menyedarkan “aku” bahawa dirinya tidaklah sehebat mana!

“Aku” seterusnya berasa bahawa walau sekuat manapun dia berusaha, (betapapun kulayari)  tidak mungkin baginya menguasai semua ilmu yang termuat dalam buku-buku di perpustakaan yang menghimpunkan kebijaksanaan zaman-berzaman. “Aku” menyatakan dia hanya mampu mencatat sedikit sahaja ilmu (Hanya setitik dari tinta) dan memperoleh sedikit sahaja kebijaksanaan (Hanya sebiji dari mutiara). Perpustakaan juga disifatkan sebagai warisan peradaban manusia sejak sekian lama.

Rangkap ketiga merumuskan kedudukan “aku” di perpustakaan sebagai seorang “pelayar yang dahaga”. Penyajak mengungkapkan:

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak  berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tidak pernah langsai

Kali ini gambaran khazanah ilmu di perpustakaan lebih luas daripada laut, iaitu Di dada samudera, Tak berpantai. “Aku” sebagai pencinta ilmu kini berada di tengah-tengah lautan ilmu (samudera) yang tidak bertepi. Meneguk air laut (masin) pastinya tidak menghilangkan dahaga, bahkan sebaliknya. Maknanya, proses pencarian ilmu tidak pernah menemui noktah..

Tugasan

Soalan petikan:

a)   Berikan maksud Satu pertukaran yang kontras (rangkap 1, baris 2)                 (2 markah)

b)   Mengapakah penyajak menyifatkan dirinya kerdil apabila berada di perpustakaan? (3 markah)

Soalan komsas:

c)   Jelaskan dua persoalan dalam sajak.   (4 markah)

d)   Nyatakan empat nilai murni yang dipaparkan oleh penyajak.                            (4 markah)

e)     Berikan contoh metafora dalam sajak tersebut.
( 4 markah)

Soalan KBKK

f)   Huraikan dua cara bagi menarik perhatian orang ramai mengunjungi perpustakaan awam. (4 markah)

g)    “Kempen membaca hanya akan berkesan jika terdapat kemudahan perpustakaan yang mencukupi.”
Terangkan dua alasan anda untuk menyokong atau menolak pernyataan di atas.             (4 markah)

Latihan Sajak Harga Remaja

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?

Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta maruah
atau madu ajaran
dari ilmu susah

Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah pendirian
keberanian dan ilmu

Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju

Rahman Shaari
(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Bahagian Latihan:

“Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju”

Latihan 1 : Berikan maksud rangkap pada petikan di atas.

Latihan 2 : Berikan contoh metafora dalam sajak tersebut.

Latihan 3 : Pada pandangan anda, apakah kesan yang berlaku sekiranyan remaja gagal mengisi usia remajanya dengan perkara-perkara yang berfaedah. Sila nyatakan empat kesan tersebut.

Latihan 4 : Jelaskan tiga mesej penyajak kepada remaja seperti yang terkandung dalam rangkap ketiga sajak “Harga Remaja”.

4 Responses to “Antologi KOMSAS – sajak (tingkatan 4)”

  1. Liyana Hidayat Says:

    assalamualaikum , boleh saya bertanya , apakah yg di maksudkn dengan ‘kedinginan yang menerpa’ dlm rangkap pertama sajak ini ? mohon tinggalkn comment . terima kasih 🙂

    1. Harima Says:

      semasa penyajak masuk ke dalam perpustakaan, tiba-tiba rasa sejuk daripada pendingin hawa yang terdapat di dalam perpustakaan itu.

  2. nurakmal Says:

    Apakah tiga meaej dalam sajak ini??

  3. nurakmal Says:

    Apakah tiga mesej dalam sajak ini?

Leave a comment