Bab 7 – Tomoya

 

 

Dia merenung ke arah siling yang kosong itu. Terlalu sepi pandangan itu. Biarpun seketika tadi, dia berpelesiran bersama teman-temannya. Semuanya gadis. Sepatutnya dia harus berbangga. Dia mengeluh kecil. Barangkali keseronokan itu telah dirosakkan oleh kehadiran lelaki misteri itu. Dia sendiri tidak memahami perasaan takut Kotomi. Siapakah lelaki itu? Perasaan lama bermain kembali. Dan bayangan lelaki itu berlegar dalam memori kaburnya. Benaknya menjerit-jerit meminta definisi entiti itu. Kotomi, dia seorang gadis yang misteri, dan juga gadis yang pelik. Agaknya, dia tertarik dengan Kotomi mungkin kerana mereka mempunyai satu persamaan, kesunyian.

“Kotomi….” Tomoya bermonolog sepi.

Keesokan harinya, dia bangun awal pagi. Entah mengapa, dia mulai bersemangat untuk melangkahi ke sekolah yang pernah dianggapnya sebagai ‘neraka’. Sebenarnya dia bermimpi lagi. Dia bermimpi mengenai memori silam yang dilupainya. Dalam perjalanan ke sekolah, dia meladeni sahaja matanya yang mengantuk. Dia cuba menggunakan keindahan pagi itu untuk menenangkan hatinya. Namun ketenangan pagi itu tidak lama. Semasa dalam perjalanan, dia disapa oleh suatu suara yang cukup dikenalinya.

“Tomoya-kun, cuba teka, siapa?” Mata Tomoya ditutup rapat oleh jemari halus. Tomoya menjadi malu kerana dada Kotomi merapat belakang badan Tomoya.

Mune ga sawatteru… mune ga…(dada awak tersentuh dengan saya, dada awak)”  Tomoya dengan kaget berbicara.

Munegasawatteru Munega-san…?” Kotomi bernada tertanya-tanya dengan jawapan Tomoya. Bentuk ayat Tomoya dijadikan sebagai nama seseorang. Tomoya menjadi haru-biru dengan persoalan Kotomi.

“Adakah kamu ini seorang gimnastik dari Rusia? Ah, kamu ialah Ichinose Kotomi, dan sekarang ini, dada kamu bersentuhan dengan belakang saya…” Segera Tomoya membalas dengan respons pantas. Dia tahu, lagi lama dia melayan soalan Kotomi, lagi lamalah dia berposisi yang agak memalukan ini.

“Ah….” Kotomi segera melepaskan tangannya lalu menutup bahagian dadanya tanda malu.

“Hati saya terlalu berdebaran sekarang…” Sambung Kotomi yang masih lagi malu dengan tindakannya.

“Siapalah yang mengajar kamu jenaka yang agak keterlaluan ini?” Tomoya masih lagi dalam keseganan menyoal Kotomi yang tertunduk malu.

“Saya…” Kyou dengan bangga menjawab. Tomoya menghela nafas keluhnya. Kyou mengembalikan beg Kotomi yang dipegangnya.

“Jangan ajar Kotomi bukan-bukan…” Marah Tomoya namun Kyou masih selamba.

“Alah, bukannya rugi apa-apa pun….” Kyou ketawa kecil. Kotomi pula masih tertunduk malu dengan kata-kata Kyou. Dia menekap dadanya dengan beg yang diberikan oleh Kotomi.

Sedang rancak mereka berbual-bual, datang Nagisa yang berlarian, tergesa-gesa seperti sesuatu yang buruk sedang berlaku. Tomoya memandang tepat ke arah Nagisa, menanti apa-apa yang bakal keluar daripada mulut Nagisa.

“Kyou-chan, hari ini Ryou-chan menaiki bas, bukan?” Ujar Nagisa tercungap-cungap. Kyou memandang tepat ke arah Nagisa yang belum reda dengan lelahnya.

“Ya. Kenapa?” Jawab Kyou, yang tertanya-tanya akan kegusaran Nagisa.

“Tadi, ada sebuah bas terbalik berhampiran sebatang jalan raya berdekatan sekolah kita… Saya rasa bas itulah yang Ryou-chan selalu naiki.” Jelas Nagisa, padat.

“Mustahil!” Kyou dalam nada gelisah.

Lantas mereka bergegas ke tempat kejadian. Tomoya berasa gelisah. Entah mengapa hatinya bukan merisaukan keadaan Ryou, tetapi perasaan Kotomi. Senyuman biasa Kotomi hilang entah ke mana. Wajah Kotomi juga sedikit pucat. Barangkali ketakutan dan kebimbangan pada kejadian malang itu. Tetapi, langkah itu diteruskan tanpa henti. Dia tahu, sudah agak lewat untuk membuat andaian. Kini, dia hanya mahukan kebenaran.

“Maaf kakak kerana membuatkan awak bimbang…..” Ryou dengan nada segan. Orang yang pertama mereka jumpa ialah Ryou, yang turut menyaksikan kejadian itu. Menurut Ryou, bas yang terbalik itu bukanlah bas yang berpenumpang, sebaliknya bas yang belum memulakan operasinya. Sebuah kereta meluru laju biarpun lampu merah sudah menyala, membuatkan bas itu cuba mengelak sebelum terbalik. Mujur kedua-dua pemandu terselamat dan tiada mangsa lain yang terlibat. Yang ada, hanyalah sedikit kerosakan pada kenderaan dan penghalang laluan.

“Oh, mujurlah kamu tidak apa-apa…” Kyou melahirkan rasa leganya. Masing-masing gembira keran Ryou tidak terlibat dalam kemalangan itu, kecuali Kotomi. Wajahnya semakin pucat. Matanya tercacak pada bas yang terbalik itu.

“Kotomi…” Tomoya mulai risau akan keadaan tersebut. Kebimbangannya pada Kotomi semakin bertambah.

“Tidak……!!!!” Kotomi menjerit histeria. Semuanya agak terkejut dan mulai resah dengan kelakuan mengejut Kotomi.

“Tidak…. Saya akan jadi budak yang baik…. Saya akan jadi budak yang baik….” Kotomi seperti dalam ketakutan. Kyou, Ryou dan Nagisa memimpin Kotomi ke sekolah, untuk mendapatkan rawatan. Tomoya yang mengekornya di belakang, dalam keadaan kebingungan.

“Kenapa…?” Tomoya berbisik sendiri.

Selepas waktu rehat bermula, mereka bergegas untuk berjumpa dengan guru kelas Kotomi. Mereka ingin tahu perkembangan Kotomi.

“Maaf, dia sudah pulang ke rumah, atas permintaannya.” Ujar guru kelas Kotomi, setelah ditanya mengenai diri Kotomi.

“Mengapakah Kotomi jadi sebegitu, sensei…?” Soal Kyou, dengan nada serius.

“Adakah kamu semua mengetahui keadaan dirinya? Adakah Kotomi pernah menceritakan mengenai dirinya kepada kalian?” Soal kembali guru kelas tersebut.

“Tidak… Tidak sekalipun….” Kyou memperlahankan suaranya.

“Kalau begitu, tidak wajarlah untuk saya menceritakan hal peribadi Kotomi kepada kalian. Eloknya, biarlah dia sendiri yang menceritakan….”

Kata-kata guru kelas Kotomi mematikan segala persoalan. Nagisa asyik menyalahkan dirinya kerana memberitahu mengenai hal kemalangan. Kyou dan Ryou pula cuba menenangkan keadaan. Youhei agak terkejut dengan berita itu, tetapi, seperti biasa cuba untuk tidak masuk campur. Katanya, eloklah Kotomi diberi sedikit masa.

Hari kedua Kotomi masih tidak menghadirkan diri ke sekolah. Tomoya mulai semakin bimbang. Mengapakah jadi sebegini rupa? Dia masih ingat senyum bahagia yang hadir di bibir Kotomi. Senyuman itu bisa menyelamatkannya daripada kesepian. Kotomi juga tidak lagi berkurung di perpustakaan. Dia sudah mula belajar di kelas bersama-sama pelajar lain dan mula berkawan dengan pelajar lain. Dia sering dihormati bukan kerana kepandaiannya tetapi sikap suka membantu rakan yang mempunyai masalah dalam pelajaran.

Hari ketiga berlalu, dan Tomoya mula merasai kehilangannya. Dia memaut dadanya, yang bagai disakiti sesuatu. Dia selalu merenung perpustakaan kosong itu. Kotomi. Hanya Kotomi yang tiada. Dia sudah biasa keseorangan. Tetapi, mengapakah tanpa Kotomi, dia kehilangan dunianya? Kotomi. Itulah nama yang terus berlegar dalam benaknya kini. Jiwanya terus menjerit sepi. Kotomi….

Hari keempat tiba, dan Kotomi masih juga tiada hati untuk ke sekolah semula. Akhirnya Tomoya nekad untuk ke rumah Kotomi. Tanpa pengetahuan Kyou, Ryou dan Nagisa, dia mahu bertemu dengan Kotomi, sambil mencari jawapan daripada jeritan batinnya selama ini. Dan, dia berdiri di hadapan rumah Kotomi kini. Bukan tidak pernah dia ke sini, tetapi sering kali dia merasai kenangan silam yang hilang berada di teratak milik Kotomi itu. Dia ingin sahaja membuka pintu pagar, tetapi, semacam ada suatu suara berbisik di telinganya.

“Belakang…. Belakang pagar….” Tangan yang cuba untuk membuka pagar itu terhenti. Dia melangkah kecil dan menuju ke lorong kecil itu. Dia ingat laluan ini. Laluan itu lantas membawanya ke halaman Kotomi. Halaman depan Kotomi tidak seindah ingatnya. Semuanya hanya dihiasi kekosongan. Lalang-lalang sebagai hiasan.

“Kotomi….” Memorinya mulai nyata, di sebalik kekaburan selama ini. Dia kenal Kotomi. Kotomi ialah rakan baiknya. Kotomi sangat baik padanya. Kotomilah yang memberikan cahaya dalam malam suram hidupnya. Dan kepercayaan Kotomi itu jugalah, dia hancurkan dengan janji kosongnya. Air mata Tomoya kegenangan. Kata-kata puitis Kotomi mulai bermain di benaknya.

“Kelmarin, aku terlihat seekor rusa, semalam, aku terlihat seekor arnab, dan hari ini….” Kata-kata itu tidak dapat diteruskannya. Dia sudah memungkiri janjinya. Mengapakah Kotomi tidak  pernah mengungkit hal ini? Adakah dia juga lupa….

“Tomoya-kun… Namamu memberi perasaan aneh pada saya. Tomoya (terhenti seketika) …kun.” Ingatan Tomoya pada kata-kata Kotomi menyedarkan dia bahawa Kotomi tahu akan segala-galanya.

Tomoya memasuki rumah itu, dan mula memanjat anak tangga satu per satu. Kakinya bagai bergerak sendiri tanpa arahan. Dia mula mengimbau kenangan lama. Dia tahu juga Kotomi, keseorangan kerana kehilangan ibu bapanya. Ketika itu jugalah dia memungkiri janjinya untuk menyambut hari jadi Kotomi bersama-sama. Sebenarnya, dia mahu menyambut hari jadi Kotomi dan sudah merancang untuk memeriahkannya dengan menjemput rakan-rakan yang dikenalinya. Apabila dia mengajak rakan-rakannya, semuanya menolak atas alasan Kotomi ialah seorang perempuan, dan mereka rasa malu untuk meraikannya. Akhirnya, Tomoya malu untuk menghadiri majlis Kotomi. Kotomi sendiri tidak punya teman untuk meraikan majlis itu bersama. Dia rasa menyesal untuk kerana berjanji kepada Kotomi. Lantas, dia tidak datang ke rumah Kotomi pada waktu dijanjikan.

Namun, rasa bersalah dalam diri Tomoya semakin menebal. Malam itu dia datang juga. Begitu, rumah yang dianggapnya sentiasa dalam keceriaan, sudah kosong. Kotomi tiada diruang halaman rumahnya. Tomoya tergerak hati untuk masuk ke rumah itu. Sebaik sahaja dia masuk, dia terdengar jeritan Kotomi pada tingkat dua rumah itu. Dia pantas berlari ke arah suara itu, dan melihat salah satu bilik rumah itu terbakar. Dia lihat Kotomi terduduk kaku di hadapan nyalaan api yang semakin marak. Segera dia mencari air untuk memadamkan api itu. Entah beberapa ketika, kelibat beberapa orang dewasa muncul membantu. Mereka kata, mereka merupakan rakan sekerja ibu bapa Kotomi.

Setelah api itu dipadamkan, sekumpulan orang dewasa menerangkan segala-galanya. Kotomi hanya menangis. Kelibat Tomoya tidak lagi diperlukan. Tomoya tidak lagi mampu berkata-kata. Dan saat itu, dia mengunci hatinya untuk tidak lagi datang ke rumah itu. Hari bertukar bulan. Bulan bertukar tahun. Memori hangat dia dan Kotomi dipadamnya perlahan-lahan. Tomoya kesepian lagi. Dia tahu juga, kesepian itu akan turut dirasai Kotomi. Dia berhenti daripada mengimbas memori silam. Ketika ini, dia berada di hadapan bilik yang pernah terbakar dahulu. Di situ ada Kotomi, yang terduduk sepi. Dia tidak tahu, apakah kata yang harus di lafaznya. Begitu, Tomoya mula menghampiri Kotomi.

“Dari pertemuan pertama, kamu mengenali diri aku. Mengapakah kamu tidak pernah memberitahu aku mengenainya?” Tomoya serius. Kotomi menarik nafas kecil.

“Apabila Tomoya datang ke perpustakaan pertama kali kita bertemu, saya benar-benar berasa begitu gembira. Saya rasa gembira seorang budak lelaki yang saya kenali daripada saat-saat gembira dahulu kembali menemui saya. Namun, saya kemudiannya sedar bahawa Tomoya-kun tidak lagi mengenali diri saya. Tetapi, Tomoya-kun masih lagi sudi menjadi kawan saya. Kamu melayani saya baik seperti mana pertama kali kamu bertemu dengan seorang perempuan seperti saya. Kamu memperkenalkan saya dengan ramai rakan baharu. Kemudiannya saya rasa bersalah. Saya tidak dapat membuat keputusan untuk mengingatkan kamu pada memori lalu atau terus mengabaikannya, untuk kamu tahu siapakah diri saya pada masa silam…” Tomoya mendengar dan memahami setiap patah kata-kata itu. Dia tunduk, dan hanya terus mendengar kata-kata itu.

“Orang yang mengejar kebenaran harus tidak mendabik dada. Hanya jika perkara itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik, kita tidak harus ketawa pada keajaiban yang berlaku. Jangan sesekali menafikan pandangan kita pada kecantikan dunia ini. Itulah kata-kata ayah saya.” Bicara Kotomi terhenti seketika. Dia memandang ke arah Tomoya.

“Pada masa itu, saya menganggap rumah, halaman rumah ini, ayah dan ibu ialah dunia yang saya miliki. Saya sering keseorangan di sekolah. Saya membaca buku yang tidak dibaca dan berfikir sesuatu yang tidak dijangkau daripada tahap kawan-kawan sekelas saya yang lain. Namun, datang seorang budak lelaki bernama Okazaki Tomoya, yang kelihatan jauh berbeza daripada budak-budak lelaki yang saya kenali di sekolah.”

“Kemudiannya, saya mula berlakon untuk menjadi seperti orang lain. Saya mula meminta hadiah sebuah anak patung beruang. Ayah saya begitu gembira dengan permintaan saya itu. Sebenarnya, saya langsung tidak kisah akan hadiah yang bakal saya terima. Saya hanya meniru sahaja kata-kata buku yang tertulis bahawa permintaan yang sering menjadi pilihan kanak-kanak perempuan seperti saya ialah sebuah anak patung beruang. Namun, ketika hari jadi saya, ibu bapa saya terpaksa keluar negara kerana kerja. Saat itu, saya berasa agak kecewa. Selama ini, dunia saya sentiasa diiringi ibu bapa saya. Saya marah dan sanggup mengatakan kebencian saya pada ibu bapa saya.”

“Tiada siapa pun yang hadir dalam majlis hari jadi saya. Orang gaji saya juga tiada disebabkan jatuh sakit. Malah, Tomoya-kun juga tidak muncul-muncul. Saya sabar menantikan kedatangan Tomoya-kun. Apabila loceng rumah berbunyi, saya dengan gembiranya membuka pintu itu. Akan tetapi, yang hadir hanyalah lelaki yang saya anggap jahat itu. Dialah yang memberitahu mengenai berita malang yang menimpa ibu bapa saya. Dia juga menceritakan kapal terbang yang dinaiki ibu bapanya tidak berfungsi baik dan terhempas lalu tenggelam di dalam laut. Malah, dia turut mengkhabarkan betapa kertas kajian penting milik ibu bapa saya turut tenggelam bersama. Dia mengharapkan mungkin ada salinan kertas kajian di bilik belajar ayah saya. Dia menyatakan kepentingan kertas kajian itu untuk masa depan dunia kita dan seharusnya ditemui di situ. Cepat-cepat saya mengunci pintu. Saya menghalaunya pergi. Dia mesti lelaki yang jahat. Dia mahu mengambil sesuatu yang penting milik bapa saya. Itulah yang saya fikir.”

“Saya berdoa kepada Tuhan semoga ibu bapa saya kembali. Saya berjanji untuk tidak mementingkan diri dan menjadi seorang anak yang baik. Saya setia menunggu sepanjang hari. Saya mengikuti perkembangan berita yang disiarkan pada televisyen. Akhirnya, saya cuba mencari ibu bapa saya di setiap penjuru rumah. Destinasi akhir saya ialah bilik belajar milik bapa saya. Saya sering dilarang ke sini, namun, itulah pilihan terakhir saya. Saya menjumpai suatu sampul yang berisi kertas kajian yang lelaki jahat itu mahukan. Saya yakin, kertas kajian itulah yang menyebabkan ibu bapa saya hilang. Bukan sepatutnya benda sedemikian harus menjadi sesuatu yang penting. Saya tidak kisah akan masa depan dunia ini. Apa yang saya mahukan hanyalah ibu bapa saya. Oleh itu saya membakar sampul yang mengandungi kertas kajian itu…”

“Mengapa kamu melakukan hal itu….” Tomoya mula bersuara kembali.

“Saya tidak tahu…” Kotomi ringkas menjawab.

“Kertas-kertas yang kamu tampal ini, adakah artikel mengenai kemalangan itu.” Tomoya bertanya kembali setelah melihat banyak kertas bertampal pada dinding bilik yang pernah terbakar dahulu.

“Saya mula berasa yang saya perlu menebus kesalahan saya dahulu. Saya mula mengumpul keratan artikel akhbar yang membincangkan mengenai ibu dan bapa saya. Tetapi, saya hanya keratan akhbar tidak memadai, jadi saya mula mengumpul keratan daripada buku-buku yang tertulis mengenai kajian ibu bapa saya. Kemudian, saya belajar bersungguh-sungguh kerana saya mahu mengikut jejak langkah ibu bapa saya. Ibu bapa saya cuba untuk menyatakan asas dunia ini dengan bahasa yang paling indah. Perkara itu haruslah diberitahu kepada semua orang di seluruh dunia. Hal ini bukanlah sesuatu yang dapat ditiru oleh sesiapa termasuklah diri saya. Tetapi, jika saya tidak lakukan, Tuhan tidak akan mengampuni diri saya kerana membakar kertas itu…” Air mata Kotomi mula berjuraian.

“Ah…. Kotomi…” Tomoya mulai memahami ketekunan Kotomi selama ini.

“Saya tidak mahu mengalami pengalaman yang sedih lagi. Saya tidak mahu kehilangan lagi orang yang saya sayangi. Jadi, tolong pulang sekarang…”

Tomoya melangkah perlahan meninggalkan Kotomi. Dia kemudiannya melangkah pergi dari halaman rumah Kotomi yang hilang serinya itu. Akhirnya, jejaknya membawanya keluar daripada rumah itu. Dia rasa cukup bersalah. Dia sedar kini. Dia sudah tahu mengapa bayangan Kotomi sering bermain dalam ingatannya. Akan begitu, benarkah perasaan kasihnya pada Kotomi disebabkan rasa bersalah? Dia tahu jawapannya. Dia cukup mengerti.

Okazaki Tomoya. Ya, dia ialah Tomoya.

Leave a comment