As-Salam dan salam muhibbah….

Para pelayar dan pembaca yang dihormati.

Pihak kami, hairiebmtutor akan mengalami sedikit masalah teknikal dan akan mula membekukan operasi kerana serangan SOPA dan PIPA oleh negara Amerika yang didalangi oleh FBI. Segala perkongsian maklumat cuba disekat dan laman sesawang yang aktif menjadi sasaran mereka. Malahan, hal ini menyusah banyak pihak terutamanya dalam sistem perkongsian fail antara pihak kami dan anda akan turut terganggu.

Sebagai pengguna laman sesawang, kami berasa sedih dan mengharapkan bahawa anda juga turut menentang pencebohan ini melalui medium sepatutnya. KONGSI idea anda dengan menulis komen di sini!

Salam sejahtera kepada pembaca.

Sila layari Fuyuki Fansub untuk membaca cerpen 2011 saya.

Ruangan Cerpen : Yuzuru Story!

Yuzuru Story!

Peribahasa : Benih yang baik kalau dilempar ke laut sekali pun menjadi pulau

Maksud : Orang yang baik keturunannya walau di mana pun, dia tetap dipandang mulia.

Contoh karangan peribahasa : Biografi berkaitan peribahasa

Detik 20 Disember 2125, Encik Mohamad bin Iskandar dan isterinya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi dikurniakan cahaya mata, insan yang menjadi salah satu tunjang dalam sejarah Malaysia. Beliau ialah Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Jasa dan bakti beliau yang tidak mungkin dibalas ini dikenang sentiasa dalam hati rakyat. Beliau merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik. Insan negarawan ini dibesarkan dengan penuh kasih sayang daripada ibu bapanya.

Ayah beliau, Encik Mohamad merupakan orang Melayu pertama menjawat jawatan guru besar dalam sekolah aliran Inggeris. Kegigihan encik Mohamad ditonjolkan melalui prinsipnya dalam mencapai kejayaan. Malahan, Encik Mohamad sangat tegas dalam pendidikan anak-anak beliau kerana hanya pendidikan akan membawa masa hadapan yang cemerlang. Tidak hairan mantan perdana menteri kita ini menjadi insan yang berjaya pada hari ini. Selaku guru besar, Encik Mohamad menerapkan nilai disiplin dan kerajinan dalam membentuk matlamat, yang menjadi inspirasi kepada Tun Dr.Mahathir sepanjang pemerintahannya.

Minat politik Tun Dr. Mahathir mungkin tercetus kerana ibunya, Wan Tempawan ialah zuriat Wan Saman, Menteri Besar Kedah yang bertanggungjawab membina terusan Wan Saman untuk kepentingan pertanian di Kedah. Atas dasar inilah, sikap Tun Dr. Mahathir tentang kepentingan rakyat dilihat sangat mendalam kerana keprihatinan beliau mengundang kegembiraan dalam hati rakyat. Lebih-lebih lagi, usaha berterusan beliau dalam membangunkan negara, menjadikan beliau sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” yang disanjung tinggi. Inspirasi dan didikan yang cukup dalam diri beliau menjadikan beliau  berjaya dalam segala bidang yang diusahakan. Penglibatan beliau dalam politik penuh onar dan duri namun kegigihan beliau membawa kejayaan.

Pendidikan awal Tun Dr. Mahathir berada di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan di Alor Setar yang kini dikenali Kolej Sultan Abdul Halim. Semasa penjajahan Jepun, persekolahannya tergendala dan beliau berkecimpung dalam perniagaan. Beliau tidak berputus asa untuk meneruskan pendidikan kerana elepas tamatnya perang dunia kedua, beliau menyambung persekolahan hingga tamat. Beliau meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di pusat pengajian tinggi Universiti Malaya di Singapura sebelum beliau bergelar doktor. Keazaman dan semangat beliau dalam pendidikan jelas diilhamkan oleh ayahnya. Peribadi mulia beliau ini menjadi sanjungan dalam rakyat jelata.

Pengalaman berniaga yang dilalui menyedarkan beliau betapa perlunya kemahiran berniaga untuk meninggikan taraf hidup kaum Melayu. Atas kesedaran inilah yang mendorong Tun Dr Mahathir bin Mohamad untuk menceburi bidang politik apabila beliau masih di bangku sekolah. Penglibatan beliau dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila Tun Dr Mahathir bin Mohamad menganggotai SABERKAS. Pada tahun 1946 Tun Dr Mahathir bin Mohamad menyertai pula Kesatuan Melayu Kedah. Apabila Kongres Melayu SeMalaya diadakan pada tahun itu, Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad turut sama dalam peristiwa bersejarah itu dan merupakan salah seorang pengasas UMNO apabila Kongres membuat resolusi untuk menubuhkan UMNO dan membuka keahliannya.

Secara rumusnya, pembentukan peribadi anak-anak seharusnya bermula dari rumah kerana menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membesarkan anak-anak mereka. “Benih yang baik jika dilemparkan ke laut, akan menjadi pulau”, peribahasa yang tepat untuk menggambarkan kewujudan insan seperti Tun Dr. Mahathir. Peribahasa yang membawa maksud orang yang baik keturunannya walau di mana pun, dia tetap dipandang mulia ini perlu digariskan dalam institusi kekeluargaan agar kita mampu melahirkan insan hebat seperti Tun Dr. Mahathir suatu hari nanti.

Salam sejahtera kepada semua pembaca.

Untuk pengetahuan umum, pengarang telah menghasilkan beberapa karya sebagai hobi pada laman Fuyuki fansubs, laman sesawang peminat yang menterjemah hasil karya anime ke Bahasa Melayu.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, sila layari laman sesawang ini.

http://fuyukisubs.co.cc/

 

Pendahuluan
Perpustakaan ialah tempat rujukan.  Murid sekolah mestilah memanfaatkan perpustakaan.
Perpustakaan ditubuhkan di sekolah, daerah, negeri, institusi pendidikan tinggi, dan sebagainya.
Terdapat pelbagai kebaikan jika murid/remaja mengunjungi perpustakaan.
Peribahasa/kata-kata indah : membaca jambatan ilmu.

Isi 1
Murid dapat membaca pelbagai jenis bahan bacaan.  Perpustakaan menyediakan pelbagai bahan rujukan spt.  buku teks, buku ulasan, buku ulang kaji, kertas model, surat khabar, jurnal, majalah, dll.
Bahan-bahan ini dapat meningkatkan pengetahuan murid/remaja. Khususnya murid yang akan menduduki peperiksaan utama spt PMR, SPM, STPM.
Bahan disediakan secara percuma dan boleh dipinjam oleh murid.
Peribahasa :  Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Isi 2
Murid/remaja dapat belajar dalam keadaan tenang di perpustakaan.
Suasana di dalam perpustakaan sangat selesa (kondusif), tenang, tidak bising.
Perpustakaan dilengkapi dengan pendingin hawa/penyaman udara.
Perpustakaan menetapkan peraturan supaya pengunjung tidak membuat bising. Membantu murid/remaja belajar secara berkesan.
Peribahasa :  sambil menyelam minum air.

Isi 3.
Murid/remaja dapat menggunakan masa secara bermanfaat.
Dapat mengelakkan murid/remaja terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah spt melepak, terlibat dengan gejala sosial, dadah, berpeleseran, dll.
Ibu bapa tidak berasa bimbang akan keselamatan anak-anak remaja mereka terutama pada masa cuti atau hujung minggu.
Peribahasa :  Masa itu emas.

Isi 4.
Murid/remaja dapat memupuk semangat perpaduan dengan lebih berkesan.
Perpustakaan dapat dijadikan tempat interaksi remaja daripada pelbagai kaum.
Mewujudkan kumpulan perbincangan kecil untuk belajar bersama-sama.
Memberi peluang kepada murid/remaja mengenali budaya, agama, bangsa-bangsa yang berbeza-beza.
Peribahasa :  Tak kenal maka tak cinta.

Isi 5.
Memberikan peluang murid/remaja mengakses ilmu melalui pelbagai kemudahan elektronik.
Perpustakaan menyediakan kemudahan internet.  Murid dapat mengakses bahan-bahan pembelajaran seperti nota, soalan-soalan latihan, soalan ramalan, dan sebagainya.
Contoh laman sesawang bercorak akademik ialah tutor.com.my,  skorA.com.my, laman-laman sesawang guru cemerlang, dan sebagainya.
Peribahasa : kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.

Kesimpulan
Banyak kebaikan perpustakaan yang perlu dimanfaatkan oleh masyarakat, khususnya remaja.
Semua pihak hendaklah mengambil peluang untuk memantapkan pengetahuan dengan mengunjungi perpustakaan.
Remaja yang tidak mengunjungi perpustakaan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Remaja yang berpengetahuan dapat bersaing dengan semangat 1 Malaysia.

Kertas 1

Bahagian A : Karangan Bahan Rangsangan (200 – 250 pp)

1. Pelancongan – kepentingan dan langkah memajukan
2. Masalah alam sekitar – Jerebu dan tanah runtuh
3. Kemudahan awam – kepentingan dan langkah menggalakkan

Bahagian B : Karangan berdasarkan respons terbuka (lebih 350 pp)

Soalan 1. (soalan berkaitan dengan remaja dan pelajar)
a) Kepentingan teknologi maklumat
b) Peranan remaja – sahsiah dan modal insan
c) Stres dan tekanan – Langkah menghadapi dan mengatasi
d) Ceramah dan ucapan – mengatasi permasalahan remaja

Soalan 2. (keluarga, kejiranan dan insan terdekat)
a) Peranan ibu bapa – sahsiah dan peribadi
b) Membentuk keluarga bahagia dan penyayang
c) Peranan masyarakat – mengatasi gejala sosial

Soalan 3. (isu nasional)
a) modal insan cemerlang dan keusahawanan yang berkualiti – kesan kepada negara dan langkah melahirkannya.
b) isu alam sekitar – kitar semula,tanah runtuh, sungai dan bekalan air.
c) Kemudahan awam – kepentingan dan langkah menggalakkan
d) Isu perpaduaan – kejiranan, penggalakkan dan usaha kerajaan

Soalan 4. (Isu global)
a) Ekonomi negara – Kepentingan pelaburan asing, kerjasama perniagaan dan bantuan luar
b) Pendidikan – pelajar pertukaran dan meningkatkan kualiti pendidikan negara

Soalan 5. (Kaitan Komsas)
a) Ulasan Karya – filem dan novel.
b) Peribahasa.

 

Peribahasa : Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapak

Maksud : Saiz fizikal bukan penentu kejayaan

Contoh karangan peribahasa :

Keadaan fizikal yang kecil sering kali dijadikan alasan oleh setiap individu untuk gagal dalam segala yang dikerjakan. Malah, tanggapan umu yang negatif mengenai kekurangan ini mengikis keyakinan seseorang. Wajarkah ciri fizikal kecil dipersalahkan sedangkan dengan usaha yang gigih, kita mampu mencapai kejayaan. Sesungguhnya, tekad dan ketabahan diri seseorang dalam mencapai matlamat hidup tidak sesekali mengecewakan diri kita. Inilah terjadi kepada bintang bola sepak Argentina, Diego Maradona yang menempa nama sebagai legenda terulung dalam sukan tersebut.

Beliau dilahirkan pada 30 Oktober 1960, di Kota Buenos Aires, Argentina. Beliau mula berkecimpung dalam sukan terpopular di dunia ini sejak kecil lagi. Rangka tubuhnya yang kecil selalu diperlekehkan, namun ia tidak menghalang beliau untuk terus berusaha dalam mencapai cita-citanya sebagai bintang terkenal. Berkat usah belia, akhirnya Maradona membuka langkah menjadi kesebelasan utama dalam dunia profesioanl melalui kelab Bola Sepak Argentina Juniors. Popularitinya melonjak tinggi dan akhirnya terpilih sebagai pemain kebangsaan Argentina, yang merupakan penghormatan kepada diri beliau.

Harga perpindahan bernilai satu juta Pound Sterling telah dibayar oleh kelab Boca Junior semata-mata untuk mendapatkan khidmat beliau. Ternyata, pelaburan besar itu tidak merugikan kerana kejayaan kelab baharunya itu menjulang piala Campeonato Metropolitano. Saat gemilang beliau tidak berakhir begitu sahaja kerana kelab gergasi Sepanyol, Barcelona membelinya dengan bayaran rekod dunia ketika itu,dengan nilai tiga juta Pound Sterling. Seperti biasa, legasi Maradona di Barcelona berkembang megah dengan kejayaan pasukan ini merangkul piala-piala utama. Biarpun pada mulanya pihak media mengkritik kemampuan Maradona yang berfizikal kecil, namun hal ini tidak menghalangnya untuk berjaya.

Pada tahun 1984, Maradona telah berhijrah ke kelab Itali, Napoli dan berjaya menggondol dua buah piala utama liga dan sebuah Piala UEFA sepanjamg lima tahun di kelab ini. Detik bersejarah yang paling dikenangi oleh peminat ialah aksi Maradona di kejohanan Piala Dunia Bola Sepak 1986, di Mexico, yang menyaksikan beliau menjulang piala berprestij itu di hadapan ribuan penonton. Beliau juga yang dianggap kerdil dipandang rendah oleh pihak lain akhirnya memakan diri mereka. Semasa perlawanan suku akhir, beliau menjaringkan gol terbaik sepanjang zaman dengan melepasi lima orang pemain pertahanan yang jauh lebih besar fizikal daripadanya.

Kegemilangan beliau ketika itu membolehkan Maradona bergelar pemain terbaik FIFA dan sebaris dengan bintang legenda yang lain. Walaupun pasukan Argentina tidaklah segah seperti pasukan negara lain, namun, krebitiliti beliau dalam pasukan menjulang kegemilangan bola sepak Argentina. Biarpun tewas pada final Piala Dunia 1990 di Itali tetapi kehebatannya terus menjadi bualan orang ramai. Biarpun selepas mengakhiri kariernya secara kontroversi, namun kegigihan lelaki yang dianggap pendek ini terukir dalam rekod sejarah dunia bola sepak. Malah, selepas bersara pun, beliau tetap menabur khidmat menjadi jurulatih dengan membimbing pasukan Argentina ke peringkat suku akhir piala dunia baru-baru ini.

“Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapak”. Begitulah ungkapan sesuai buat diri beliau yang kini menjadi ikutan para pemain bola sepak sekarang. Lihat pemain bintang bola sepak yang lain seperti Messi dan David Silva yang menempa nama dalam dunia bola sepak biarpun memiliki fizikal yang kecil. Pandangan umum juga harus diubah kerana bukan bentuk atau saiz yang dilihat untuk berjaya, tetapi keazaman yang unggul yang harus dilihat sepanjang masa.

Peranan ibu bapa dalam membentuk kecemerlangan anak-anak.

Ibu bapa merupakan tunjang dan teras keutuhan dalam suatu institusi kekeluargaan. Tanpa mereka, anak-anak ini akan hanyut dalam arus kehidupan yang penuh pancaroba ini. Atas dasar kesedaran inilah, ibu bapa haruslah peka dan lebih prihatin untuk membimbing anak-anak ke arah kecemerlangan dalam kehidupan mereka.

Salah satu peranan dominan ibu bapa ini ialah mendidik anak-anak ini sejak kecil lagi dengan ilmu dan asas kehidupan. Pendekatan didikan agama haruslah ditekankan agar anak-anak ini lebih telus kerohanian yang sangat penting dalam pembinaan sahsiah diri. Sebagai contohnya, keluarlah sedikit wang untuk menghantar anak-anak ini ke kelas agama dan program motivasi yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib. Tegasnya, didikan awal sangat penting demi membentuk kendiri yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diwar-warkan mantan perdana menteri kita.

Selain itu, kita perlu memastikan keperluan anak-anak dari segi batiniah dan jasmani cukup. Dalam mengharungi dunia siber ini, anak-anak perlu mendapat kelengkapan dan keperluan selengkapnya, tidak kira dalam pendidikan mahupun dalam kehidupan seharian. Tamsilnya, buku rujukan dan alatan pembelajaran yang sempurna wajar disediakan kerana kelengkapan tersebut merupakan medium untuk kecemerlangan pelajar. Pastikan anak-anak ini tidak ketinggalan dan menjadi katak di bawah tempurung hanya kerana ibu bapa terlalu kedekut untuk melabur masa hadapan anak-anak ini.

Seterusnya, ibu bapa sendiri perlulah menjadi contoh dan teladan yang cemerlang untuk memastikan anak-anak ini mengikut jejak langkah ibu bapa. Apa tidaknya, bukankan pepatah lama telah tertulis, di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasinya? Lantaran itu, ibu bapa hendaklah menjaga tutur kata, cara pergaulan dan segala kegiatan seharian mereka yang bakal diperhatikan oleh si anak-anak ini kelak. Jangan sampai anak-anak ini enggan mendengar nasihat si ibu bapa sebagai akibat perbuatan mereka laksana ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Konklusinya, asas pendidikan anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, bukannya di sekolah. Didikan ibu bapa sangat perlu kerana anak-anak ini ibarat kain putih, maka ibu-bapalah yang mencoraknya. Dengan ini, kita mampu melahirkan modal insan yang cemerlang demi pembangunan dan kemajuan negara selaras dengan visi satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Peribahasa : Nasi sudah menjadi bubur
Maksud : Perkara yang sudah tidak dapat diubah lagi.
Contoh karangan peribahasa :

Tangisan air mata darah sekalipun tidak mampu mengubah nasib dirinya. Dia hanya merenung kertas putih yang tertulis keputusan pemeriksaan darah yang diterimanya daripada doktor. Kini, sahlah dirinya menghidap penyakit yang masih tiada ubat atau vaksin iaitu penyakit HIV. Dia berasakan dunianya semakin berakhir kerana bukan sahaja dia bakal merana seumur hidup malah dihina oleh masyarakat sekeliling. Saat itulah dia mula terkenang nasihat dan kata-kata ibunya ketika dia alpa menikmati keseronokan pada zaman remajanya.
Ramli merupakan anak tunggal kepada Datuk Salman dan Datin Almah. Sebagai anak emas, dia dimanjakan dengan kemewahan harta benda sehinggakan apa-apa sahaja kehendak buah hatinya ini ditunaikan. Namun, di sebalik kemewahan yang diberikan oleh pasangan berada ini, mereka jarang meluangkan waktu berkualiti bersama Ramli. Akibatnya, Ramli berasa dirinya keseorangan sementelahan tiada adik-beradik untuk berkongsi masalah. Rompong kosong hatinya mula terisi apabila dia mula merapati teman-teman sebayanya. Ramli berasakan bahawa hanya rakan-rakannya sahajalah tempat dia bergembira dan mengubat kesepian hidupnya.
Walau bagaimanapun, rakan-rakan yang digauli oleh Ramli tergolong dalam kategori pelajar yang bermasalah. Bermula dengan ponteng sekolah, Ramli berjinak-jinak dengan rokok setelah dipelawa oleh rakan-rakannya. Dia terpengaruh dengan gejala negatif yang dibawa oleh kawan-kawannya. Lebih-lebih lagi, dia disenangi kumpulan rakannya kerana kemewahan dan wang ringgit yang ada pada Ramli. Tidak cukup dengan itu, dia terdorong pula ke arah kancah najis dadah. Biarpun pada mulanya dia enggan, atas desakan dan cabaran daripada teman-temannya, dia mengambil pil khayal. Lama-lama, dia mula gian akan nikmat sementara yang dialaminya ketika mengambil pil tersebut.
Kegiatan ponteng sekolahnya dihidu oleh pihak sekolah. Telah beberapa kali dia diberkas oleh pihak polis kerana ponteng, namun Ramli enggan insaf. Hampir-hampir dia hendak dibuang sekolah, tetapi pengaruh ibu bapa Ramli sebagai orang kenamaan menyebabkan dia sering terlepas dengan hukuman berat itu. Ibu bapanya cuba untuk menasihatkannya tetapi sudah pun terlambat. Hati Ramli bagai tertutup untuk menerima nasihat dan panduan daripada orang tuanya yang telah membesarkan Ramli dengan penuh kasih sayang. Bagi Ramli, nasihat yang diberikan umpama leteran yang tidak membawa sebarang erti. Pernah sekali ibunya menangis kerana Ramli mengherdiknya apabila dinasihati.
Semakin hari semakin teruk perangai Ramli di rumah. Dia sering pulang lewat kerana berpelesiran dengan rakan-rakannya. Kadangkala, dia tidak pulang langsung dengan alasan tinggal di rumah temannya. Dia mula mengambil dadah jenis ganja setelah muak dengan pil-pil khayal. Ternyata, penagihannya menjadi lebih kronik disebabkan pengambilan secara berlebihan. Sebagai akibatnya, ibu bapanya menghalaunya keluar dari rumah kerana tidak tahan akan sikap dan kegiatan Ramli. Sikap degilnya tetap tidak berubah, malah meneruskan lagi gejala yang tidak bermoral itu. Kehidupannya mula terhimpit kerana tidak mempunyai tempat bergantung lagi.
Dia mula mencuri untuk mendapat wang bagi menampung keperluan dadahnya. Malang sekali, dia diberkas oleh pihak polis lalu dihantar ke pusat serenti. Di sana, dia telah diperiksa secara rapi dan teliti oleh pakar perubatan. Dia disahkan menghidap HIV positif pada peringkat pertengahan. Nasi sudah menjadi bubur, segalanya sudah berlaku dan tidak dapat diubah lagi. Ramli mula mendekati dirinya dengan agama dan sentiasa berharap agar dia diampuni oleh Tuhan yang Maha Esa.

Karangan (bahagian A,B, dan C)

1. Alam sekitar – hutan dan penjagaan alam
2. Kepentingan pelancongan – inap desa
3. Sains dan teknologi – kepentingan (telefon bimbit, jalur lebar)
4. Surat kiriman rasmi – aduan
5. Sejarah dan warisan – kepentingan penjagaan
6. Peribahasa – sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua/ sehari selembar benang akhirnya menjadi kain
7. Peranan ibu bapa – sahsiah dan peribadi
8. Semangat kejiranan

Pemahaman Novel

1. Pengajaran
2. Latar tempat dan citra masyarakat
3. Perbandingan watak (F1/F3)

Next Page »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.